BAB 1 : He'll Be Mine

94 15 0
                                    

Puteri tak tahu kenapa tiba-tiba badan jadi berpeluh-peluh. Memang dah beberapa kali jadi begini. Makin lama, makin teruk. Dia rasa sesak dalam dada, senak dalam perut, rasa nak muntah, rimas gelisah sampai nak bernafas pun susah.

Kalau di rumah, memang dia dah berguling-guling tapi sekarang dia di tengah khalayak, di tepi dewan yang gah pula tu. Yang tambah buat dia kepanasan adalah mata-mata yang asyik mencuri pandang ke mukan­­ya. Mahu melihat apakah dia akan marah, merajuk atau nak mengamuk?

Puteri? Nak mengamuk? Ahh... dia kan wanita bertuah yang terpilih menjadi isteri Nuqman! Tanyalah siapapun yang kenal lelaki itu, automatik mereka akan berkata, bertuahnya siapa yang jadi isteri dia. Haa... Puterilah tu!

Ya! Nuqman yang jadi kesayangan semua orang itulah! Siapa lagi? Lelaki yang auranya memikat sesiapa sahaja. Itu belum dia mengayat lagi! Kalau kena ayat-ayat cintanya, hah... jadilah macam Puteri! Err... sebenarnya, tak payah dia mengayat, dia pandang dengan sepasang mata bening dia tu, Puteri dah cair bak mentega dipanaskan.

Sebab itulah Puteri jadi macam sekarang ni. Dah macam cacing kepanasan di dalam hati tapi dia kena berlagak tenang. Tahu kenapa? Sebab semua orang kata 'Puteri memang wanita hebat. Sebab itulah layak jadi isteri Nuqman'. Bila kena label macam tu, memang suka ataupun tak, dia kenalah jaga, kan? Ingat senang nak dilabel sebagai wanita hebat?

Tapi masalahnya, dia dah semakin tak tahan. Dia dah puas bersabar. Sekarang dah masuk tahun ketiga bersama Nuqman, sabarnya dah setipis kulit bawang. Sebab imannya setebal itulah!

"Ika okey tak ni?"

Suara abah dengan sentuhan lembut mengusap bahu Puteri buat dia mula rasa nak menangis. Tapi bila dia sedar yang ibu saudaranya, Mummy Nadia bersama suami, Ayah Zulkarnain dan tentu sekali dengan ibu mentuanya, Ibu Aisyah, semuanya sedang memandang tunak mahu melihat reaksinya, masa itu juga Puteri telan sebak dalam-dalam. Dengan seluruh kekuatan yang bersisa, dia tarik senyum sambil angguk. "Ika okey je, bah. Jomlah masuk dalam, majlis dah nak mula kejap lagi!"

Mereka saling berpandangan dengan riak tak puas hati. Puteri tahu, mereka mungkin tak percaya dengan sikap tenang yang cuba dia pamerkan. Dia hela nafas yang sarat. Mukanya dihalakan ke arah dalam dewan. Semua penuntut yang hadir dalam majlis konvokesyen hari ini kelihatan riang ceria... kecuali dia. Sepasang matanya mula berkaca.

"Biarlah Ika masuk dulu. Cukup ibu saja tunggu Man. Dia dah bagitahu yang dia tetap nak datang macam mana sekalipun. Lewat sikit agaknya. Eh... Megat dengan Nadia, masuklah. Biar Zul temankan ibu. Norhan dengan Nabil pun ada ni. Biar kami di luar dulu."

Tengok betapa ramainya yang datang untuk meraikan kejayaannya hari ini! Sedangkan tiket masuk hanya dua sahaja. Mereka tetap nak datang kerana sayangkannya. Dia tahu! Tapi kenapalah hati degil sangat, masih mengharapkan kehadiran yang seorang itu! Yang entah di bumi mana dia berada sekarang. Kali terakhir mesejnya dibalas, dia masih di Karachi, Pakistan. Sibuk dengan tugasnya membimbing ramai arkitek sukarela di sana yang sanggup bekerjasama membina semula penempatan pasca banjir dan gempa bumi.

Puteri dengar nada suara ibu mentuanya serba salah. Tentulah! Itu kan anak kesayangan dia, yang selalu tepati janji, yang pandai berdiplomasi, bijak serba-serbilah. Tapi dengan merekalah... bukan dengannya!

Puteri? Dia nak masuk ke dalam dewan. Dia dah tak sanggup lagi nak menunggu lelaki itu di ruang legar tepi dewan yang gah. Puteri dah tak nak fikir entah dia datang ke tidak. Sebab lagi difikir, lagi huru-hara jiwa raga dibuatnya. Dah berapa malam Puteri tidur dengan airmata. Bila siang, dia pening meloya. Dia bertahan sampai pagi ini pun sebab dia dah berjanji. Tapi... tengoklah! Janji tinggal mimpi.

Puteri melangkah sambil menghentak kasut bertumit setinggi satu inci yang dipakainya bagi melepaskan geram. Namun langkahnya tak stabil. Entah kenapa lantai seperti tinggi rendah dan Puteri...

"Ika!"

Mujur mummy sempat sambar lengannya. Kalau tidak, memang dia cium lantai dengan baju kurung yang cantik ini hadiah daripada mentua. Serentak itu, jantung Puteri berpalu semakin kuat. Beg yang tadi digalasnya didakap erat. Dadanya makin sesak. Dia juga sedar yang pipinya basah. Takkan dia berpeluh sampai pipi basah. Dia menangis?

Mummy kesat pipinya dengan tisu. "Sayang, sabarlah! Fikir yang baik-baik. Hari ni, hari istimewa Ika. Focus on yourself, okay."

Puteri angguk. Betul cakap mummy. Lebih baik dia fokus dengan hari konvonya. Lagipun, dia dah berjaya buktikan kepada semua orang, walaupun berkahwin di usia muda tapi dia tetap berjaya genggam segulung ijazah. Ingat mudah ke? Belajar dalam keadaan dia diulit cinta. Persis Laila dan Majnun!

Duduk dalam dewan kuliah tapi rasa nak terbang ke sisi suami. Rindu menggila. Berpuluh kali namanya dipanggil pensyarah, ditanya soalan untuk membuatkan dia fokus dengan kuliah. Tapi yang selalu terjadi, ditanya lain, dijawab lain. Satu bilik kuliah ketawakan dia. Dia sendiri ikut ketawa. Biarlah! Apa mereka tahu tentang rindu dendamnya yang parah.

Tersedar yang ramai penuntut mula beredar dan ahli keluarga mereka yang berada di keliling dewan mula masuk ke dalam, Puteri jadi semakin gelisah kerana dia harus bergerak segera. Semua penuntut harus masuk ke dalam dewan melalui pintu laluan yang sudah dimaklumkan. Lantas dia minta diri dari mummy yang jelas risau mahu melepaskannya. Mujur sahabat sejatinya, Maliha Affiah, sedang bergegas menaiki anak tangga tak jauh dari situ.

"Liha, tunggu!" Puteri seru namanya agar dia dapat masuk bersamanya. Bila Maliha menoleh sambil tersenyum melambai, cepat dia mohon permisi dari mummy dengan senyuman yang entah pahit, entahkan manis. Mummy angguk, masih dengan wajah bimbang.

Puteri paut lengan Maliha lalu berjalan menaiki anak tangga beriringan dengannya sambil melindungi wajahnya.

"Eh, aku tak nampak pun dia! Kau tau tak, berapa ramai yang nak tengok dia hari ni?"

'Dia tak jadi datang!" Puteri jawab acuh tak acuh sambil tarik lengan Maliha supaya bergerak cepat walaupun perutnya terasa semakin senak dan sakit. Baru beberapa anak tangga, tiba-tiba bunyi kuat seperti helikopter menguasai suasana. Semua orang menoleh ke arah padang yang luas menghijau di hadapan dewan. Terperanjat, Puteri ikut berpaling.

Sebuah pesawat peribadi sedang berlegar merendah lalu mendarat di padang kawad di hadapan bangunan itu. Seorang lelaki segak bersongkok dan berbaju batik turun lalu bergegas menuju ke arah dewan dengan beg galas di bahunya dan sebuah lagi beg bimbit di tangannya. Sempat dia berpaling ke belakang dan melambai. Seorang wanita cantik berdiri di pintu pesawat membalas lambaiannya.

Pada waktu yang sama, sepasang kaki bersarung stiletto merah hati yang melangkah laju tiba-tiba terhenti. Pandangannya yang tadi mengelingas mencari susuk tubuh seseorang berubah fokus kepada lelaki yang baru turun dari jet peribadi di tengah padang.

Serentak itu, jantungnya berdebar luar biasa. Sudah terlalu lama dia tak merasai perasaan aneh begini. Adrenaline rush!

"Eh, itu kan husband Puteri?"

"Yang arkitek tu ke?"

"Fullamak! Private jet tu!"

Suara-suara mula kedengaran di sekelilingnya. Gadis bertubuh langsing idaman seluruh hawa itu terangkat keningnya. Puteri? Puteri Zulaikha? Gadis naif dengan baju kurung kain kapas itu? Meletus tawa di bibirnya. Langsung lelaki tadi yang bergegas merentas padang diperhatikan dengan minat berganda. Debar di hati belum hilang malah bertambah kuat bila wajah lelaki itu semakin jelas dalam pandangannya.

"Ahh... he will be mine! And only mine."

...BERSAMBUNG

Note: Please like and vote!

SIHIR CINTA adalah stand alone novel. Begitu juga dengan MAKNA PADA RASA dan PERSIS AKAR DANI. Hanya watak-watak dalam ketiga-tiga novel ini adalah sama dengan plot yang berkembang. 

Terima kasih sudi hadir di sini. Salam kenal dan salam sayang!

SIHIR CINTAWhere stories live. Discover now