Entah apa yang berlaku selepas itu, Puteri langsung tak sedar. Bila buka mata, dia sudah terbaring di wad. Kedengaran suara esakan yang menghibakan, halus bunyinya yang hampir hilang dalam debar jantungnya sendiri.
"Syukur alhamdulillah, Ika dah sedar. Sayang...!"
Aneh. Suara itu terlalu sarat... hingga putus di situ. Tangan Puteri pula dikucup berkali-kali. Bila terasa tangannya basah, Puteri tersentak. Nuqman menangis?
Langsung marahnya berterbangan. Dia mahu menggenggam jemari suaminya, untuk memujuk hiba hatinya tapi kudrat seperti hilang dalam diri. Mahu mengangguk pun dia tak daya. Akhirnya, hanya kelopak mata dipejam perlahan untuk melepaskan rasa kecewa.
Nuqman bangun mengucup ubun-ubunnya lalu melangkah pergi sambil memberitahu, "Abang panggilkan doktor!"
Puteri hela nafas lemah. Apa yang berlaku kepada dirinya sampai begini sekali keadaannya? Sedangkan saat ini dia hanya mahu memeluk suaminya erat. Tapi nak angkat tangan pun dia tak mampu.
Rasa sakit yang dahsyat tadi sudah hilang. Namun tubuhnya terasa lemah dan berdenyut-denyut entah di mana.
Seorang doktor masuk bersama seorang jururawat. Mereka memeriksa keadaannya dalam diam. Tak lama kemudian, doktor menyapanya dengan wajah manis. "Assalamualaikum, Puan Puteri Zulaikha. Rasa macam mana sekarang?"
Puteri sekadar mengangguk, tak mampu bersuara.
"Alhamdulillah, keadaan puan dah stabil. Syukur puan dapat rawatan segera. Sekarang rasa lemah sebab puan hilang banyak darah. Rehat betul-betul, jaga makan, insyaAllah, puan akan pulih sepenuhnya."
"Alhamdulillah!" Suara Nuqman kedengaran amat lega.
"Ada berita kurang baik, harap puan tabah ya."
Nafas Puteri tersekat di kerongkong. Waktu itu juga tangan kanannya diraup Nuqman. Dia berdiri amat dekat dengannya. Berdebar jantung Puteri namun dengan adanya Nuqman, dia tak rasa keseorangan.
"Puan mengandung di luar rahim. Usia kandungan baru masuk enam minggu. Saiz embrio yang semakin membesar menyebabkan tiub fallopian meregang hingga pecah. Sebab tu, puan alami pendarahan yang banyak. Tapi keadaan dah stabil, kita akan terus pantau keadaan puan."
Puteri terkejut amat, kejung memandang doktor wanita itu tak berkelip. Dia tak percaya! Dia mengandung? Tapi dia cuma sakit perut, tak cukup tidur sampai naik pening dan mual sebab... sebab risaukan Nuqman!
Serentak itu dia menghunjam tajam ke arah suaminya yang sedang menahan rasa. Dia tahu?
"Sabar ya, sayang. Ujian Allah untuk kita tanda Dia sayang."
Puteri pejam mata rapat mendengarnya. Bibir dikemam sekuat hati sampai bergetar hebat. Segala rasa mula bergumpal dalam dirinya. Dia tak sedar yang dia mengandung! Ya Allah! Dia terlalu sayangkan lelaki itu sampai dia tak peduli dengan dirinya!
Tangannya memaut perut sendiri. Rasa ngilu dan bersalah mula mencengkam diri.
"Satu tiub fallopian masih ada dan rahim puan tak ada masalah. Yakinlah dengan rezeki dari Allah. Lagi cepat puan sihat, lagi cepat peluang untuk hamil lagi. Cuma kali ini, mesti berhati-hati. Puan perlu buat pemeriksaan bila direzekikan mengandung sekali lagi."
Dengan pesanan itu, doktor meminta diri lalu keluar bersama jururawat meninggalkan Puteri dan suaminya dalam ruang yang terasa amat kosong dan sunyi. Dia kembali terhenyak ke bantal. Pandangannya tak berarah. Nafasnya laju dan bibir diketap rapat.
"Sayang!"
Puteri rasa nak ketawa. Sayang? Sayang sungguh rupanya sampai dia jadi begini. Dia terperangkap dalam 'sayang' itulah sampai dia tak peduli dengan kehadiran zuriat dalam dirinya. Dan dia hanya sedar bila zuriat itu hilang.
Hilang! Dia kehilangan bayinya. Puteri tertarik nafas. Lebih parah, peluang untuk hamil lagi tak secerah mana! Doktor itu sengaja mahu menyedapkan hatinya! Dia... dia kehilangan dan mungkin dia takkan hamil lagi. Tangan Puteri mencengkam tilam sekuat hati.
"Ika! Istighfar, sayang! Abang... abang minta maaf! Abang tak tahu... Ika..."
Nuqman tunduk mendakap kepalanya ke dada. Puteri tahu dia menangis. Tentulah! Tentu dia kecewa, kan? Sebab bukan sekali dua dia menyanyi di ribanya, mahukan seramai-ramai zuriat. Nah! Sekarang dia punya isteri yang takkan mampu jadikan impiannya kenyataan. Dada Puteri macam nak pecah sakit menanggung kecewa teramat. Dengan sakit kesan pembedahan lagi. Deritanya jadi berganda.
Kedua telapak tangan Nuqman tiba-tiba memegang mukanya. Dikucup seluruh muka Puteri. Kemudian dia dakap lagi ke dadanya yang berombak kuat.
Puteri dengar degup jantung Nuqman. Dia pejam mata, menghayati setiap degupan, dicari lagu rindu yang selalu ada dalam rentaknya. Pelukan hangat lelaki itu sudah terlalu lama dia dambakan. Langsung dia biarkan wajahnya terbenam di situ.
Akhirnya, airmata yang tertahan tumpah juga. Puteri kemam bibir sekuat hati, menahan diri dari meraung. Sungguh dia mahu membalas pelukan itu. Supaya degupan jantung mereka bersatu seperti dulu. Supaya dia dapat rasakan betapa hebatnya rindu dan kasih Nuqman. Supaya terubat segala rasa sakit dalam dirinya saat ini.
Tapi entah kenapa, tangannya terkulai di sisi. Dan pelukan Nuqman juga bagaikan hilang saktinya.
... Bersambung.
Nota: Harap sudi komen, like dan vote untuk SIHIR CINTA ya. Moga semangat nak edit laju-laju. Nanti Kak Juea update lagi. Terima kasih sudi singgah!
YOU ARE READING
SIHIR CINTA
RomanceDulunya mereka pasangan paling bahagia. Tapi kini segalanya berubah. Dekat benci, bila jauh rindu menggila. Jiwa Nuqman dan Puteri Zulaikha keberantakan. Namun untuk berpisah tak sekali. Biar letih jasad menanggung, biar parah jiwa merana. Bila ret...