"Kenapa nak balik rumah abah? Rumah kita kan ada? Abang sendiri nak jaga Ika. Tak perlulah kita susahkan sesiapa."
Puteri terus berpaling ke arah abahnya. Dia tak mahu berkata apa-apa tapi amat mengharap yang abahnya faham apa yang dia mahu. Bergerak-gerak anak mata abah bila dia dipandang begitu. Riak mukanya serba-salah.
"Err... tak susahlah, Man. Rumah abah, rumah Man dengan Ika juga. Lagipun, kalau Man ada urusan ke mana-mana, abah ada ..."
"Man tak ada urusan lain, bah. Selagi Ika tak sembuh, Man nak jaga dia. Sebab tu, Man selesa di kondo je. Abah, mummy, siapapun boleh datang duduk dengan kami."
Langsung Puteri yang duduk di birai katil mengeraskan diri. Tangan kanannya peluk beg erat ke dada menunjukkan yang dia enggan balik mengikut lelaki itu.
Tiba-tiba Nuqman bertinggung dengan satu lutut mendarat di lantai di hadapannya. Puteri tergamam tapi cepat dia melarikan pandangan. Saat itu, entah kenapa jantungnya berdebar. Bila kekura tangan kirinya diusap lembut, dirinya terasa sejuk sampai ke jantung.
"Sayang, abang banyak 'berhutang'. Nak buat semuanya dengan Ika. Kita masak-masak, kemas rumah, nak buat macam-macam lagi sama-sama. Kita balik rumah kita ya?"
Bila ditanya dengan nada selembut itu, luruh habis kedegilan Puteri. Nuqman tersenyum menang bila dia mengangguk. Laju dikemas barang-barang isterinya bersama berbeg-beg hadiah yang diterima semalam. Tapi sebakul mawar merah yang tak bernama itu asyik buat isterinya berubah muka. "Ika, abang hadiahkan bunga ni pada nurse bertugas ya?"
Laju Puteri mengangguk. Dia lega melihat Nuqman menghantar bunga itu ke kaunter jururawat di luar wad. Dia sendiri ikut dari belakang, ditolak abahnya menghampiri jururawat di situ untuk mengucapkan terima kasih atas layanan mereka.
Dia berpisah dengan abah bila tiba di kereta. Mujur Ibu Aisyah sudi ikut balik ke kondo. Tapi malunya dengan mentua bila didukung Nuqman hingga masuk ke dalam rumah. Malah Puteri dimanjakan suami dan mentua sampai tak boleh buat apapun.
Nuqman juga diajar macam mana nak sediakan makanan orang berpantang, juga mandian dan rawatan untuk isterinya. Tapi bila ibu bersiap nak balik ke kampung usai makan malam bersama, Puteri berkeras tak mahu melepaskan tangannya. Dia tak sanggup tinggal hanya berdua dengan Nuqman. Malah dia bertegas nak tidur di sofa di ruang tamu sahaja. Ibu yang baik hati ikut tidur di atas tilam yang dibawa Nuqman ke ruang tamu. Maka tidurlah anak-beranak itu di tengah rumah.
Yang penting, Puteri rasa selamat dari berdua sahaja dengan suami sendiri! Rajuk dan marahnya masih membara. Dan dia sendiri bagaikan hilang segala rasa. Kosong mengapung dalam dada.
Tapi akhirnya dia juga yang teruji. Lelapnya tak juga datang meskipun selesa di sofa empuk. Dia asyik mencuri pandang ke wajah suaminya yang tidur di lantai berlapikkan comforter. Rindu mula berbisik. Tapi dia tak mau kalah lagi dengan emosi! Tak boleh terus begini. Dia tak mahu lagi terlalu menyayangi suami hingga memudaratkan diri. Sedangkan semua itu tak dihargai. Nuqman lebih mementingkan kerja amal dan firmanya. Isteri tak pernah jadi keutamaan.
Dia yang lemah sebenarnya! Tak pandai jaga diri. Kalaulah dia ke klinik lebih awal dan buat pemeriksaan, mungkin apa yang berlaku dapat dielakkan dan dirinya sempurna untuk mengandung lagi. Memang dia bodoh, bodoh dan bodoh! Puteri terlentang memandang siling, meratap sesal. Tangannya mengusap perut sendiri, ralat sungguh dengan kehilangan itu. Akhirnya dia juga yang sepi sendirian.
"Urrghhh...! Ik...! Ikkh...! Ikaaa!"
Puteri terperanjat sungguh dengan suara Nuqman. Terasa sakit abdomennya bila dia berpusing terlalu cepat untuk melihat keadaan suaminya. "Ya Allah!"
Nuqman berpeluh-peluh. Kedua tangannya menerawang tapi badannya keras kejung. Selimut entah ke mana. Dia seperti mahu memekik tapi tak ada suara yang terkeluar.
Panik, Puteri terjun dari sofa, menepuk dada Nuqman, cuba mengejutkannya. "Abang! Abang! Bangun! Ya Allah... abang!"
Buntu, Puteri tak tahu apa nak buat. Akhirnya dia laungkan azan perlahan di telinga suaminya, bimbang mengejutkan Ibu Aisyah yang sedang lena. Dia peluk tubuh Nuqman, cuba menenangkannya.
"Laillaha ilallah!" bisik Puteri lebih keras di akhir kalimah.
"Urrghhhh..." Nuqman bagaikan terlonjak dari berbaring seperti terlepas dari sesuatu yang menghempap. Kalut dia tarik nafas dan terhenyak semula keletihan.
Puteri sendiri terduduk di sisinya, masih terkejut dan risau dengan keadaan Nuqman yang tak pernah dia lihat sebelum ini. Kasihan melihat tubuh suaminya lencun dalam masa yang begitu singkat.
Perlahan-lahan Nuqman bangun berdiri. Tanpa melihat ke arah Puteri, dia berkata sepatah, "Tidurlah!"
Terkebil-kebil Puteri bila suaminya berjalan ke bilik mereka lalu menutup pintu rapat tanpa memandangnya. Tertelan liur seketika, dia bangun dalam susah-payah untuk mengelakkan sakit di bahagian abdomen makin teruk. Tak sampai hati membiarkan, dia menapak terbongkok-bongkok ke pintu bilik menahan sakit yang semakin terasa. Tapi bilik kosong. Suaminya tiada. Melihat lampu bilik air menyala, Puteri melangkah semula ke sofa.
Lama dia menunggu kalau Nuqman kembali berbaring ditempat tidurnya yang sudah dia kemaskan tapi lelaki itu tak juga muncul. DanPuteri terlena hingga ke pagi.
...Bersambung.
Note: Apa yang dah jadi dengan Nuqman? Keep reading ya! Hope you like the story. Don't forget to vote. Thank you!
YOU ARE READING
SIHIR CINTA
RomanceDulunya mereka pasangan paling bahagia. Tapi kini segalanya berubah. Dekat benci, bila jauh rindu menggila. Jiwa Nuqman dan Puteri Zulaikha keberantakan. Namun untuk berpisah tak sekali. Biar letih jasad menanggung, biar parah jiwa merana. Bila ret...