BAB 8 : Lelaki Edisi Terhad

38 4 0
                                    

'Ya Allah! Kenapa la aku lembab sangat, tak pengsan dulu! Huhuhu...'

"Itu babak paling romantik yang pernah aku tengok!'

'Kenapa dia pengsan? Surprised sangat kot boyfriend datang dengan private jet!'

'Drama apa tadi wei... aku teringat Khabi Khusyi Khabi Gham la!'

'Eh, siapa perempuan cantik kat pintu jet tu? Skandal dia ke?'

'Berapa harga jet tu? Aku nak tangkap satu la...'

'Dialah lelaki idaman akuuuuuu!'

'Wow! Lelaki edisi terhad tu!'

...

"Arrrrghhhhh!" Puteri mencampakkan telefon bimbitnya ke hujung kaki. Bantal ditekup ke muka sendiri lalu dia menjerit sekuat hati sambil kakinya menghentak-hentak tilam.

Berderet-deret komen dari netizen. Geram dia dengan Nuqman tak terkata. Menyampah! Mengada-ngada naik jet bagai, percuma je dia jadi viral tak tentu fasal. Mujur dalam banyak-banyak gambar dan video yang sedang hangat di media sosial sekarang wajah Puteri tak kelihatan.

Tapi video Nuqman turun dari pesawat itu memang terus viral. Dan Puteri tak sanggup mahu membaca komen-komen netizen. Boleh berdiri roma dibuatnya nanti!

"Sayang?"

Terus terkaku Puteri bila mendengar suara itu. Bukan tadi dia ke bilik air ke? Cepat-cepat dia mengiringkan badan membelakangkan Nuqman. Sebakul ros merah yang baru dihantar ke wad menyapa pandangannya. Lagi berganda sakit hatinya. Kiriman tanpa nama itu entah untuk dia, entahkan untuk Nuqman sebenarnya? Ahh... dia tak nak tahu!

"Tak habis marah lagi dengan abang?" soal Nuqman lagi. Selepas dikuliahkan lelaki-lelaki petang semalam, Nuqman tekad untuk belajar memahami isteri. Sifirnya mudah, semua harus diterbalikkan. Kalau dia marah, itu tandanya sayang. Kalau disuruh pergi, tandanya tak mahu berenggang. Hah! Mudah, kan? Dia orang teknikal, segalanya harus di ukur dan seimbang. Kalau tidak, bangunan rekaannya akan runtuh. Kalau dah tahu formula, dia tinggal ikut sahaja.

Dan tentang rajuk Puteri, dia akan memujuk dengan caranya. Dengan sihir cintanya! Bukankah sejak awal lagi Puteri tak mampu menolaknya? Nuqman tersenyum yakin.

"Kan baru lepas makan, tak elok terus baring. Buncit perut tu nanti, bising pulak. Abang juga yang kena dengar."

Cepat-cepat Puteri bangun duduk tapi masih berpaling ke arah lain, pura-pura membetulkan rambutnya. Malu pula bila ditegur begitu. Geram pun ada. Bukan main dia kalau dapat membebel! Takkan sekali pun dah buncit? Mana pernah Puteri baring sebelum ini kalau lepas makan.

Ya! Akhirnya dia makan. Sebab tak sampai hati bila lelaki itu mogok lapar. Sesuap ke mulutnya, sesuap ke mulut sendiri. Seharian, begitulah mereka makan. Puteri sudah letih berpaling. Sampai sakit leher dibuatnya mahu mengelak dari disuap. Tak cukup dengan ugut, lelaki itu main psycho lagi!

Pagi tadi dia bercerita, "Masa di Karachi, abang rindu sangat dengan nasi lemak ibu. Tapi kat sana, setiap hari makan roti. Ika tak perasan ke, badan abang dah sekeping macam roti?"

Puteri panah jeling. Mana ada roti tegap segak macam tu? Menyampah! Langsung dia buat pekak tapi tetap nampak Nuqman asyik menghirup bau nasi lemak air tangan ibunya. Memang wangi dan Puteri tahu, nasi lemak tu sedap sangat tapi seleranya hilang entah ke mana.

"Wanginya nasi lemak ibu ni. Nak menangis rasa. Rindu sungguh. Nasi lemak ibu ni, yang kedua abang rindu selepas Ika. Tapi sayangnya, abang dapat cium bau je. Abang takkan makan selagi Ika tak makan."

Puteri mendengus mendengarnya. Langsung dia rebahkan diri ke bantal dan memalingkan muka ke arah lain. Dia dengar Nuqman hela nafas kecewa. Padan muka dia!

Tanpa dijangka, lelaki itu naik berbaring di sisinya. Ya Tuhan! Tak cukup naik ke katil, tangannya pula melingkar erat di pinggang. Kelam-kabut Puteri menepis. Rimas dan geram.

"Ika, abang tak pernah puasa 24 jam. Abang dah letih sangat ni. Nak duduk pun tak larat dah. Boleh tak, kita makan dulu? Lepas tu, Ika sambung marah dengan abang. Boleh tak?"

"Isyhh... siapa yang marah? Turunlah! Nanti nurse datang! Turun!" Puteri tak mampu berdiam diri lagi, dia bangun duduk, ditolak tubuh lelaki itu, memaksanya turun dari katil sebelum mereka ditangkap basah!

"Abang takkan turun! Kecuali kalau Ika makan dengan abang."

Bagaikan anak kecil, lelaki itu memeluk lebih erat. Jenuh Puteri cuba tarik lengan kekarnya namun gagal. Dia geram tak terkata. Dek kerana malu dan cemas, akhirnya dia mengalah.

"Turun! Turun! Okey, saya makan!"

Laju sahaja Nuqman turun lalu membantu Puteri duduk dengan selesa. Bantal disendalkan di belakangnya untuk bersandar. Kemudian disuapkan nasi lemak walau puas Puteri menggeleng namun lelaki itu tak berganjak. Dan Puteri tahu yang dia takkan menang.

Tadi pun dia disuap lagi. Mujur mereka tinggal berdua sahaja. Ahli keluarga yang datang ziarah memang tak duduk lama untuk memberi ruang kepada mereka berdua yang asyik lama berpisah.

"Abang tahu Ika marah sebab Ika tak sudi nak panggil 'abang'. Abang mengaku, semuanya salah abang. Abang minta maaf!"

Puteri buat pekak namun tangannya yang diraih Nuqman tak mampu dia tarik. Jauh di sudut hati, dia tahu lelaki itu benar-benar sedih dan kesal. Tapi sikit pun dia tak tunjuk. Padahal Puteri nampak dia peluk erat ibunya bila tiba di wad pagi tadi, menangis senyap di bahu wanita itu.

"Biarlah lama mana pun Ika marah, abang tetap tunggu Ika maafkan abang. Cuma abang rayu Ika, tolonglah jaga kesihatan supaya Ika pulih dengan cepat. Banyak benda yang abang nak buat dengan Ika bila abang balik. Abang banyak 'berhutang' dengan Ika."

Puteri telan liur mendengarnya. Dia tunduk melindungi muka. Jangan mengharap lagi, Ika! Hatinya berbisik lirih. Cukup-cukuplah!

Memang sejak dulu lagi, Puteri ajar dirinya supaya tak berharap. 'Expectation makes you weak'. Itu yang selalu dia bisikkan dalam dirinya. Namun sejak kenal Nuqman, memang dirinya tak mendengar kata! Dia sentiasa dahagakan kasih lelaki itu. Terbalik jadinya. Puteri bukan seperti Laila yang digilai Majnun tapi dia yang mabuk dengan cinta Nuqman seperti Majnun.

Siapalah yang tak mabuk kalau kenal dengan lelaki itu. Hilangnya dicari, tiadanya dirindu dan hadirnya menyempurnakan. Belaian Nuqman selalu buat Puteri seperti hilang dari dunia nyata. Bak kata orang, hidup bagai di syurga sebelum syurga.

Namun siapalah yang tak diuji. Adam dan Hawa pernahterusir dari syurga kerana lalai dari perintah Allah. Puteri bermuhasabah diri.Apakah semua ini kerana dosanya yang lalai dalam membesarkan Tuhannya? 

... Bersambung.

Note: Thank you for being here. Don't forget to vote and comment. And I'll keep going. Muahhh!

SIHIR CINTAWhere stories live. Discover now