BAB 10 : Sabar Dengan Abang!

36 4 0
                                    

Puteri tersedar dengan bunyi orang bercakap-cakap dan bergurau di dapur. Tak sampai berapa minit, Nuqman datang mengucup dahinya selepas memberi salam.

"Jom! Kita mandi, lepas tu boleh sarapan. Abang dah siapkan air suam dalam bath tub."

Kita? Tak sempat Puteri bertanya, tubuhnya dicempung Nuqman. Kelam-kabut dia dibuatnya. "Isyyh! Awak! Saya boleh jalan sendiri. Nanti ibu nampak!"

"Lambat! Ibu pesan, Ika tak boleh jalan laju. Haa... kan dah sampai!"

Terbeliak Puteri bila melihat kelopak mawar merah memenuhi mangkuk mandi. Bila dia pergi beli bunga?

"Sini!"

"Eh? Awak nak buat apa? Keluarlah!"

"Nak bukakan bajulah. Bagi cepat sikit. Ika kan..."

"Orang buat sendiri. Tolonglah keluar..."

Nuqman angkat kening, senyum. Kalau suruh keluar, maksudnya mesti terbalik. Isterinya suka kalau dia tolong sebenarnya tapi malu nak...

"Keluar!" pinta Puteri lagi. Makin cemas bila suaminya tersenyum-senyum. Nuqman dah kenapa?

"Keluarrrrr!" Puteri menjerit macam nak menangis dibuatnya. Siap hentak kaki lagi. Geram dengan telatah Nuqman.

"Okey! Okey! Jangan marah, nanti bentan kata ibu. Apa-apa, panggil abang tau!" Mencicit Nuqman keluar dari bilik air. Formula tu tak boleh pakai dalam semua keadaan agaknya?

Mencerlung Puteri melihat suaminya kalut menutup pintu. Dia memang sengaja cari fasal. Laju Puteri menuju ke pintu dan mengunci dari dalam. Nuqman tu boleh boleh percaya sangat. Banyak akal!

Akhirnya Puteri tenggelam dalam tab mandi, asyik dengan hangatnya air yang wangi dengan bau mawar. Perlahan-lahan rasa jengkelnya surut berganti bahagia. Teringat kelopak mawar yang bertaburan di katil ketika di Istanbul dulu, dia tersenyum malu mengenangkan hubungan awal mereka berdua.

Bila dia melangkah keluar, Puteri terkejut melihat pakaiannya sudah disediakan di katil termasuk bengkung. Entah bila suaminya membeli semua itu? Elok juga, moga dapat bantu melegakan rasa sakit pinggang dan belakang selepas pembedahan. Tidaklah dia berjalan terbongkok-bongkok nanti.

"Rasa macam mana? Segar tak?"

Tersentak Puteri dibuatnya. Mujur dia sudah berpakaian. Sekadar mengangguk, dia kembali fokus untuk memakai bengkung.

"Sini! Abang pakaikan."

Sekali lagi Puteri terkejut. Macam mana dia tahu? Dia yang terkaku berdiri hanya melihat Nuqman membalut dan mengikat tali bengkung mengikut keselesaannya. Rasa kagum sungguh dengan kecekapan suaminya.

Dia didudukkan pula di hadapan cermin di meja solek. Nuqman yang memang sejak dulu suka menyikat rambutnya pandai pula mencekak rambut tinggi di atas kepala sampai rasa tegang mukanya.

"Ibu kata kena tarik rambut kuat-kuat kalau berpantang. Abang tak pasti kenapa. Agaknya tak nak muka sayang cepat berkedut. Tahan sikit ya! Tapi abang tak pandai nak sanggul..."

Kurang asam! Laju Puteri ambil alih mencekak rambut sendiri lalu disanggulkan. Sempat dia menjeling marah.

"Cantiknya bila sanggul macam ni. Anggun!"

Pipinya dikucup sekilas dan lelaki itu berlalu pergi. Nak hidangkan sarapan, katanya. Terkulat-kulat Puteri sendiri. Terus tak jadi nak marah. Nuqman bukannya selalu memuji tau! Hatinya berdesis riang dan senyum pun menguntum.

Tapi bila tengok diri sendiri tersenyum, Puteri berdesit marah. Jangan cepat cair, Puteri Zulaikha!

Mereka bersarapan bertiga dengan hidangan yang sama! Rupanya Ibu Aisyah memang suka makanan berpantang. Iyalah, dia wanita yang dah banyak melahirkan. Tapi si Nuqman?

"Kenapa masak macam ni bila pantang je, bu? Punyalah sedap! Kalau hari-hari pun Man suka macam ni. Kesianlah orang lelaki, tak dapat makan makanan orang pantang ni!"

Nak tercekik Puteri mendengarnya. Dah kenapa orang lelaki pun nak makan makanan orang pantang? Nuqman ni... macam-macam sungguh dia!

Ibu Aisyah tergeleng ketawa. "Kamu ni Man, turun sungguh arwah ayah. Dia dulu macam tu lah, berebut nak makan makanan pantang ibu. Apa yang sedap sangat, entahlah!"

"Iya, bu? Tapi memang sedap pun!" Nuqman siap menambah bubur nasi dengan hirisan ayam panggang yang dimasak ibunya. Disira pula minyak zaitun dara menambah rasa lemaknya.

"Kamu tak mengantuk ke? Subuh syafie dah ke pasar."

"Bu! Bukan selalu man bangun pagi ngadap dua orang wanita yang paling Man sayang. Kalau boleh, hari-hari Man nak macam ni. Tapi... itulah... Man lelaki..."

Bicaranya hilang di situ buat Puteri terngadah memandangnya. Tapi Nuqman hanya tunduk menyuap bubur nasi dalam diam. Dia tak mampu menyudahkan ayat sendiri. Takut nanti tambah melukakan dua hati yang masih merajuk di hadapannya.

"Allah tu Maha Pencatur. Kita masing-masing dijadikan untuk jalankan amanah Dia. Syukurlah, ada waktu kita bersama. Ada waktu kita jalankan tanggungjawab pada masyarakat. Macam Rasulullah SAW, bila di rumah, dialah ayah dan suami yang terbaik. Bila di medan juang, dialah pejuang yang terbaik. Kita ikut macam tu, buat yang terbaik di mana pun kita ada. Insya-Allah, hidup jadi bermakna." Lembut Aisyah menasihati keduanya.

Dia tahu, anak dan menantunya sedang berdepan dengan waktu yang sangat sukar. Walaupun tak diluahkan tapi masing-masing memendam rasa.

"Ika, kalau tak kena selera apa yang ibu dengan Man masak ni, bagitau! Jangan diam je. Ibu tak pandai nak masak yang moden-moden ni. Apa yang arwah mak masak dulu, itu jelah yang ibu tau," Aisyah merendah diri. Risau pula kalau terlalu mengatur makan-minum menantunya. Tambah pula bila Puteri Zulaikha tak banyak bercakap sejak di hospital lagi.

"Ya Allah... Ika makan je, bu. Tapi memang ibu masak sedap-sedap. Cuma Ika rasa serba-salah sebab menyusahkan ibu."

"Semua ni bukan susah, Ika. Tapi ibadah!" Aisyah senyum senang. Beruntung dia dapat menantu yang tak banyak soal. Cuma itulah... kasihan kerana dia asyik ditinggalkan. Memang sedari awal, dia amat risau tentang siapa di sisi Nuqman. Kalau tak cukup tabah, rumahtangga mereka pasti goyah. Itukah yang sedang berlaku sekarang? Hatinya berdetak bimbang.

"Mudah bila kita jadi hamba Allah. Semuanya jadi ibadah kalau kerana Allah. Sabar isteri jadi ibadah. Tunggu suami tak sampai-sampai pun jadi ibadah kalau ikhlas. Apatah lagi kalau sampai sakit-sakit macam ni," sempat Nuqman mengusap sanggul isterinya. "Moga Allah redha dengan sayang sebab sabar dengan abang!"

Terkedu Puteri mendengarnya. Ini perli ke sungguh ni? Tapi memang dia terpukul habis. Dalam lembut, suami dan mentuanya mendidik.

"Kejap lagi Nabil sampai, nak jemput ibu. Kami nak ke rumah keluarga Nur. Boleh ke Man jaga Ika ni?"

"Ibu jangan risaukan Ika. Ika boleh je jaga diri sendiri..."

"Mana boleh! Abang tak benarkan Ika buat apa pun! Ibu pergi jalan puas-puas sementara kat KL ni. Biar Man yang buat semuanya." Nuqman siap tepuk dada sendiri, yakin boleh!

Aisyah ketawa. Hatinya macam tak yakin tapi tak elok kalau dia merendahkan anaknya yang bersungguh. Elok juga beri peluang dia menjaga isteri yang asyik ditinggalkan.

"Nanti kirim salam pada Nur dengan keluarga dia, bu. Nur buat apa sekarang?"

"Kata Nabil, dia sibuk ikut kursus spa dengan urutan tradisional. Nak bukak spa, katanya."

Puteri diam mengangguk. Dia tahu tentang Kak Nur tapi tak ada mood mahu bercerita. Dia lebih cemaskan bila ibu mentuanya tak ada nanti. Entah macam mana dia nak hadap Nuqman dengan emosinya yang belum stabil.

Malah dia semakin pelik seolah-olah kejadian semalamseperti tak berlaku. Tiada apa-apa perubahan dalam diri Nuqman pagi ini. Atausebenarnya dia yang bermimpi malam tadi?

...Bersambung.

Note: Agak-agak boleh ke nak marah dengan Nuqman ni? Hehe.. Keep voting ya! 

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Jul 24 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

SIHIR CINTAWhere stories live. Discover now