BAB 6 : Terpinggir dan Sunyi

33 6 0
                                    


"Doktor dah terangkan semua pada abang tadi. Memang tak mustahil Ika mengandung lagi dengan satu tiub fallapio. Sayang, bukan dalam kuasa kita nak elak dari kandungan di luar rahim. Ni ujian Allah untuk kita. Ujian tanda Allah sayang. Pasti ada hikmah yang kita tak tahu. Kita sangka baik dengan Allah, ya sayang! Abang minta maaf, sebab abang, semua ni jadi pada Ika."

Puteri masih seperti tadi, memandang siling wad tanpa kata dalam menahan sakit yang belum hilang. Biar siapapun yang datang, apapun yang dikatakan kepadanya, begitulah dia. Dia hanya mahu sendirian. Dia diam supaya mereka semua cepat pergi. Tapi kenapa tak ada yang mengerti? Terutama Nuqman! Susah sungguh nak tinggalkan dia sendirian. Sampai tak tidur dan tak makan. Solatnya pun di bilik ini juga.

Entah kenapa Puteri ditunggu begitu? Saat dia dah tak ada apa-apa lagi. Kenapa waktu dirinya diperlukan, Nuqman sentiasa ada alasan untuk pergi?

"Man!"

Puteri tahu ibu mentuanya memerhati sejak tadi. Dia nampak dengan ekor mata, wanita itu meminta Nuqman ikut dia keluar. Tak lama kemudian, hanya Ibu Aisyah sahaja yang masuk semula. Ibu saudaranya, Mummy Nadia dengan anaknya Najjah Rabiah ikut masuk tapi hanya untuk bersalaman dan mohon permisi.

Dia tak mampu memandang. Dia tak suka dengan wajah-wajah yang simpati dengan nasibnya. Bukan simpati yang dia perlukan tapi kebebasan. Dia mahu bebas dari bebanan rasa dikasihani, rasa bersalah, rasa marah dan benci, juga rasa kehilangan yang sakitnya bagaikan sembilu. Setiap kali rasa-rasa itu datang, dia bagaikan mahu meraung sekuat hati. Kesalnya bertali-temali.

"Ika..."

Puteri tak mampu berpaling dari suara selunak itu. Perlahan-lahan dia terngadah ke arah ibu mentuanya tapi masih, anak matanya berlari-lari, tak daya mahu membalas pandangan.

"Ibu tahu Ika kecewa. Tapi... ibu tak dapat rasa sedalam mana... sesakit mana... ibu tak tau."

Suara ibu sarat dan sebak. Jemarinya diraih ibu, digenggam dengan kedua tangannya. "Menangislah, Ika... lepaskan! Ibu takkan tanya kenapa. Ibu takkan cakap apa-apa. Ibu cuma nak duduk temankan Ika, nak baca al-Quran. Sebab ibu sendiri tak kuat... entah macam mana ibu nak bagi Ika kekuatan. Ibu yang tengok pun tak mampu nak tanggung, ini kan pula Ika."

Ibu kesat airmata di pipinya, tunduk melindungi wajah. "Tapi... ibu minta maaf. Ibu tak mampu nak tinggal Ika sorang-sorang sebab ibu... kami semua... sayang sangat-sangat pada Ika."

Puteri angkat muka akhirnya kerana Ibu Aisyah kini teresak. Saat mereka bertatapan, wanita itu bertanya dengan mata yang bergenang basah, "Boleh Ika izinkan?"

Tuhan! Mana mungkin dia dapat menolaknya. Pandangan Puteri mula berkaca. Dia kemam bibir menahan tangis. Perlahan-lahan, dia mengangguk.

Ibu Aisyah kucup dahinya lama lalu bangun menuju ke sofa di sudut bilik wad itu. Seperti yang dia janjikan, dengan suara yang rendah, dia mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran dengan penuh penghayatan.

Puteri memandang dalam diam. Kata-kata Ibu Aisyah berlegar dalam ingatannya.

'Ibu sendiri tak kuat... entah macam mana ibu nak bagi Ika kekuatan.'

Ibu tak kuat? Apa maksudnya? Waktu itu juga Puteri teringat kata-kata Najjah ketika memujuknya bila tahu Nuqman menangguhkan kepulangan baru-baru ini kerana perlu ke Karachi yang dilanda musibah banjir.

'Kak Ika tahu tak, ibu pernah share tau, yang dia lebih sedih bila berjauhan dengan anaknya. Bayangkan, dari kecil dijaga, ditatang, semuanya depan mata. Makin besar, anak-anak makin jauh tinggalkan dia. Bila dah kerja, lagi-lagilah jarang jumpa. Dia risau, bila dah ada isteri nanti, entah di mana dia di hati anaknya. Ibu kata, entah-entah bila isteri dicintai sepenuh hati, mungkin dia akan dilupakan. Kalau ingatpun, hanya sesekali. Maksudnya Kak Ika, ibu pun sedih bila Abang Man tak ada. Tapi sejak ada Kak Ika, ibu lebih ceria. Dia rasa Kak Ika jadi pengganti Abang Man....'

Itukah maksud ibu yang ibu tak kuat? Airmata Puteri berlinangan. Jadi, ibu pasti dapat rasa apa yang dia rasakan waktu ini. Kalaulah dia ada anak, nanti akan terubat kekosongan bila suami tiada di sisi. Tapi dia tak direzekikan. Malah peluang untuk dia menjadi ibu semakin tipis.

Ya Allah... kini rasa kosong dan sunyi jadi berganda! Hidupnya terasa lebih parah dan memilukan.

Namun dia tak dapat nak kongsi dengan ibu! Ibu dah cukup menanggung sedih dan sunyi sebab selalu terpisah dengan anaknya. Mana mungkin dia sanggup menambah duka di hati ibu.

Puteri tarik selimut ke mulutnya. Dia gigit kain itusekuat hati demi menahan diri dari meraung. Terhenyak ke bantal lalu diamengerekot sampai kepala lutut bertemu dahi, menangis teresak-esak dalamsenyap. Hanya Tuhan yang tahu... tentang derita wanita yang terlalu mengasihitapi hidupnya terpinggir dan sunyi. Ya Allah!


...BERSAMBUNG.

NOTE: Terima kasih tau kepada yang sudi singgah dan vote. jadi pembakar semangat. chaiiyokkk!    

SIHIR CINTAWhere stories live. Discover now