SIAP mengemas pakaian dan barang-barang yang akan dibawa, langkah diatur keluar dari bilik. Mulanya dia mahu ke dapur, tapi langkahnya melencong ke arah pintu rumah bila ternampak anaknya duduk di situ.
“Qiel...” panggilnya perlahan.
Qiel yang entah merenung apa, terus menoleh. Bibirnya menggariskan senyuman buat si ibu sebelum pandangannya kembali disorot ke halaman rumah.
“Qiel buat apa kat sini? Dah kemas semua baju-baju nak bawa? Petang nanti Pak Cik Hafizi nak datang jemput kita.” Puan Sahila mengambil tempat di sebelah Qiel.
“Dah, ibu. Baju Qiel semua dah masuk dalam beg.”
“Barang-barang lain dah letak? Nanti tertinggal susah pula. Kita dah tak duduk sini lagi lepas ni.” Kepala si anak diusap penuh rasa kasih.
Qiel mengangguk. Sejak semalam dia mula mengemas barang-barang untuk dibawa ke rumah ayah tirinya. Lagipun dia bukannya ada banyak barang sangat. Barang-barang sekolah akan dibeli nanti bila hari persekolahan semakin dekat.
Ibu sudah menguruskan perpindahan sekolahnya sebulan yang lalu lagi. Jadi, darjah enam nanti dia tak akan sekolah di kampung ini lagi. Kata ibu dia akan bersekolah sekali dengan adik tirinya. Adik tiri yang sama sekali tidak dia kenal. Belum berkesempatan untuk bertemu.
“Ibu...”
“Ya, sayang?”
“Kita memang kena pindah ke?”
“Yalah. Kan ibu dah kahwin dengan Pak Cik Hafizi. Jadi ibu kenalah ikut suami ibu. Qiel pun mestilah ibu bawa sekali. Takkan ibu nak tinggalkan Qiel sorang-sorang?”
Qiel diam. Tapi nafasnya yang seolah mengeluh itu terdengar jelas di telinga Puan Sahila.
“Qiel marahkan ibu ya sebab kahwin dengan Pak Cik Hafizi?” cungkil Puan Sahila.
Sebenarnya dia bukan tak perasan, sejak dia mengenali suaminya Encik Hafizi tujuh bulan yang lalu, Qiel banyak termenung. Setiap kali Encik Hafizi datang ke rumah, Qiel mesti akan lari masuk bilik lepas bersalam.
Hanya sesekali sahaja Qiel akan bercakap dengan Encik Hafizi, itu pun tak lama. Anaknya lebih memilih memerap dalam bilik. Jadi, dia fikir Qiel mungkin tak sukakan ayah tirinya.
Qiel geleng perlahan. Matanya masih dihalakan ke halaman rumah yang akan ditinggalkan mulai hari ini.
“Ibu, Qiel takut.” Kali ini Qiel menoleh ke arah Puan Sahila di sebelahnya. Mata coklat itu terlihat seperti sedang memendam sesuatu.
“Takut kenapa pula?” Berkerut dahi Puan Sahila.
“Macam mana kalau Pak Cik Hafizi tu sia-siakan ibu sama macam ayah dulu?”
Puan Sahila tersenyum. Itu yang bermain dalam fikiran Qiel selama ini rupanya. Kepala anaknya yang sudah menginjak usia sebelas tahun itu diusap. Terasa begitu pantas masa berlalu. Sedar tak sedar anaknya sudah semakin membesar. Mulai pandai berfikir seperti orang dewasa. Mulai faham jerih perih seorang ibu.
YOU ARE READING
Setelah Hujan Berhenti
RomanceKerana memiliki seorang ayah yang tidak pernah menghargai dan menyayanginya, Khaira bersyukur dikurniakan abang tiri sebaik Qiel serta ibu tiri yang begitu menyayanginya seperti Puan Sahila. Namun bila Qiel mengambil keputusan untuk pergi meninggalk...