MATA kecil itu terkelip-kelip dari sebalik dinding yang memisahkan ruang depan rumah serta ruangan dapur. Ralit dia memerhati wanita yang sudah seminggu berada di rumahnya itu.
Dia tidak mengenali wanita itu sama sekali. Tapi dia pernah bertemu tiga kali dahulu ketika ayah membawa wanita itu datang ke rumah. Diperkenalkan sebagai bakal ibu tirinya.
Oh, kata ayah wanita itu sudah pun menjadi ibu tirinya kerana ayah sudah berkahwin dengan wanita tersebut. Disebabkan sejak lahir lagi tak pernah hidup bersama seorang wanita di rumah ini, Khaira akui dia rasa janggal dan aneh dengan keberadaan ibu tirinya itu.
Walaupun wanita itu melayannya dengan baik, Khaira masih belum mampu untuk tolak perasaan takutnya. Mungkin kerana dia tidak biasa ada susuk perempuan dewasa di rumah ini sementelah bertahun tinggal hanya bersama ayah.
Tapi ada satu perkara yang Khaira suka. Dalam tempoh seminggu wanita itu tinggal di sini, setiap pagi ada sarapan terhidang di atas meja makan. Baju-bajunya dibasuh bersih dan berbau wangi setiap hari. Keadaan rumah juga jauh lebih bersih dan teratur dibandingkan sebelum ini.
Sepanjang tinggal bersama ayah, jarang untuk dia dapat makan waktu pagi. Selalunya dia hanya akan makan di kantin sekolah. Kalau ayah tak bagi duit belanja, terpaksalah dia ikat perut.
Mujurlah waktu rehat dia diberikan makanan percuma dari sekolah di bawah Rancangan Makanan Tambahan (RMT). Boleh dihitung dengan jari berapa kali dia bawa wang ke sekolah dalam sebulan.
Baju-bajunya pun jarang nak berbau wangi. Selalunya lebih banyak bau yang tidak enak dicium kerana ayah jarang cuci menggunakan sabun. Sedikit sebanyak kehadiran wanita itu membuatkan Khaira merasai sesuatu yang tidak pernah dirasai selama ini.
“Ehem!”
Tepukan lembut pada bahu serta dehaman kecil itu membuatkan Khaira terperanjat. Laju dia menoleh ke belakang. Kanak-kanak lelaki yang lebih tinggi darinya itu dipandang.
Oh, wanita di dapur itu bukan datang berseorangan ke rumah ini. Dia datang dengan anak lelakinya yang berdiri di belakangnya sekarang. Kata ayah kanak-kanak lelaki itu adalah abang tirinya.
Sebagai kanak-kanak yang baru berusia lapan tahun, dia belum faham dengan jelas apa itu istilah ‘abang tiri’. Yang dia tahu dia sudah memiliki seorang abang.
“Kau intai apa?”
Khaira hanya mengelip-ngelipkan matanya. Pertanyaan abang tirinya itu langsung tidak dijawab.
“Kenapa kau berdiri kat sini? Kalau nak masuk dapur, masuk jelah.”
Khaira masih juga membisu. Tak ada sepatah kata yang keluar dari bibir comel itu.
Qiel hela nafas perlahan. Kanak-kanak peremouan itu masih berat mulut untuk bercakap dengannya.
“Kau tak nak makan ke?” Qiel tak putus asa.
“Qiel...” Puan Sahila memanggil dari dapur.
"Ya, ibu!"
“Bercakap dengan siapa tu?”
“Dengan Khaira, ibu.” Pandangannya tak beralih dari wajah adik tirinya itu. Dalam seminggu ini sudah beberapa kali dia cuba bercakap dengan Khaira, tapi Khaira masih juga begitu.
“Ajak Khaira tu sarapan sekali. Ibu ada buatkan cucur bilis ni.”
“Okey, ibu!” balas Qiel teruja. Cucur bilis adalah salah satu makanan kegemarannya. Lagi-lagi yang ibu buat. Tentu saja dia tak sabar nak makan.
“Jom kita sarapan sama-sama nak? Ibu ada buatkan cucur bilis. Cucur bilis ibu sedap.” Qiel cuba memancing.
Namun kanak-kanak perempuan itu terus berlari masuk ke biliknya. Qiel garu kepala. Pelik dia. Dah bermacam usaha dia buat untuk mendekati anak ayah tirinya itu, tapi Khaira seolah-olah masih takut dengannya.
Sudahnya dia sekadar mengangkat bahu. Tanda mengalah. Kakinya langsung menapak ke ruangan dapur. Meja makan dituju. Ibu sudah pun duduk di situ. Sedang menuang air kopi panas ke dalam dua biji gelas plastik. Sepinggan cucur bilis sudah pun siap terhidang di atas meja.
“Aik, mana Khaira? Tak ajak dia makan sekali?”
“Dah. Tapi bila Qiel ajak makan dia lari masuk bilik.” Qiel tarik kerusi di sebelah ibunya.
“Agaknya dia belum lapar lagi tu. Tak apalah, sekejap lagi ibu cuba tanya dia. Qiel makanlah.” Puan Sahila tuang sos cili ke dalam piring. Qiel memang suka cicah cucur bilis dengan sos cili.
“Ibu... kenapa Khaira tu macam takut-takut dengan Qiel? Banyak kali Qiel cuba ajak dia bercakap, tapi dia diam je. Lepas tu macam nak lari-lari dari Qiel. Dengan ibu pun macam tu,” adu Qiel. Sebiji cucur bilis diambil. Dicicah ke atas sos lalu disumbat ke mulut.
“Dia belum terbiasa dengan kita lagi. Kita kan baru seminggu tinggal sini. Mestilah dia takut-takut lagi. Bagi dia masa. Nanti lama-lama okeylah tu,” pujuk Puan Sahila.
Walaupun Khaira itu anak suami barunya dengan perkahwinan terdahulu, tak ada alasan untuk Puan Sahila tidak sayang. Saat dirinya diakad sebagai isteri, dia sudah berjanji akan layan dan sayang anak suaminya itu macam anak sendiri.
Dia pun tak ada anak perempuan. Dan memang berharap sangat untuk dikurniakan seorang anak perempuan. Dia sangat bersyukur ke hadrat Ilahi, kerana asbab dari perkahwinannya dengan Encik Hafizi, dia memiliki seorang anak perempuan yang comel.
“Dia tu comel kan, ibu?”
Puan Sahila tergelak kecil, lantas mengangguk.
“Qiel suka dia? Maksud ibu suka sebagai adik.”
Qiel laju mengangguk. Mestilah dia suka. Dia pun tak pernah ada adik. Tentu sahaja kehadiran Khaira buat dia rasa teruja. Malah mulai ada perasaan untuk melindungi gadis kecil itu.
“Qiel jangan putus asa untuk cuba dekat dengan dia. Dia tu belum biasa dengan kita lagi. Cuba ajak dia berbual-bual selalu. Mungkin lama-lama nanti dia jadi rapat dengan Qiel.”
“Okey, ibu.”
“Ingat pesan ibu. Jangan rasa cemburu kalau lepas ni ibu kena kongsi kasih ibu untuk Qiel dengan Khaira. Dia tak pernah rasa kasih seorang ibu macam apa yang Qiel rasa. Kesian dia.”
“Qiel janji Qiel tak akan cemburu. Qiel pun dah mula sayangkan dia macam adik Qiel sendiri.”
Puan Sahila tersenyum gembira. Dia cukup bangga dikurniakan anak seperti Qiel. Satu anugerah yang begitu bernilai.
“Ibu tahu anak ibu baik.” Dikucup tepi kepala anaknya.
NOTA PENULIS :
Terima kasih sudi singgah di sini. Jangan lupa tekan vote dan tinggalkan komen supaya cik author tahu yang singgah di sini adalah orang bukannya hantu. 😜
YOU ARE READING
Setelah Hujan Berhenti
RomanceKerana memiliki seorang ayah yang tidak pernah menghargai dan menyayanginya, Khaira bersyukur dikurniakan abang tiri sebaik Qiel serta ibu tiri yang begitu menyayanginya seperti Puan Sahila. Namun bila Qiel mengambil keputusan untuk pergi meninggalk...