SEBAIK saja tiba di halaman, basikal yang dikayuhnya ditongkat di bawah kolong rumah. Tote bag yang selalu dibawa ke mana-mana dikeluarkan dari dalam raga basikal dan disangkut ke bahu. Tak ada apa pun isinya selain beg duit, kunci rumah dan botol air.
Bungkusan plastik berisi tiga bungkus gula, dua bungkus tepung, sebungkus teh dan dua bungkus biskut yang diberikan oleh Pak Awang tadi turut dikeluarkan. Alhamdulillah, rezeki untuk keluarganya. Untuk dua ke tiga minggu ini mereka tak perlu lagi membeli gula, tepung dan biskut.
Tangga kayu rumah yang hanya ada lima mata itu didaki. Baru nak keluarkan kunci dari dalam beg, matanya terperasan mangga pada pintu tidak ditekan. Bermakna pintu rumah tidak berkunci. Ini mesti ayah dah keluar, tapi mangga tak ditekannya.
Risaukan keselamatan Puan Sahila, bergegas Khaira tarik kunci mangga. Pintu ditolak. Dia berjalan laju ke arah bilik ayah dan ibu tirinya. Ketika langsir bilik tersebut diselak, dia terkejut melihat ibu tirinya sedang menangis di atas katil.
Saat itu juga hidungnya tercium bau yang agak kurang menyenangkan. Tapi sedikit pun tidak mengganggu hidung Khaira. Dia sudah terbiasa dengan bauan itu.
“Ibu... kenapa ni?” Beg dan plastik tadi diletakkan di tepi pintu bilik. Dia mendekati Puan Sahila lalu duduk di depan ibu tirinya yang bersandar di dinding.
Puan Sahila cepat-cepat mengesat air matanya.
“Eh, Khaira dah balik?” Bibirnya mengukir senyuman, cuba menutup tangisannya tadi.
“Kenapa ibu menangis? Ayah ada buat apa-apa dekat ibu lagi?” Soalan Puan Sahila tadi tidak diendahkan.
“Tak adalah, mana ada ayah buat apa-apa.”
“Ibu jangan tipu Khaira. Mesti ayah ada buat sesuatu dekat ibu ni.”
“Betul, tak ada.” Puan Sahila masih cuba berbohong.
“Ibu... Khaira tahu ibu tipu Khaira. Takkan ibu menangis saja-saja? Cakap dengan Khaira, apa yang ayah dah buat?”
Puan Sahila menatap anak tirinya. Air matanya keluar semula tanpa dapat ditahan. Dia bukan sedih kerana apa, tapi terharu disebabkan anak tirinya itu terlalu baik. Hatinya bersih bak sutera.
“Maafkan ibu...” Hanya itu yang keluar dari bibir wanita itu.
Khaira terus melabuhkan duduk di tepi katil. Tubuh Puan Sahila dibawa ke dalam pelukan.
“Kenapa ni, ibu? Ayah ada buat apa-apa dekat ibu? Dia ada pukul ibu?” soal Khaira bertubi-tubi.
Puan Sahila menggeleng. Walaupun kerap dimarahi dan dimaki dengan bermacam kata-kata kesat, setakat ini Encik Hafizi belum lagi berkasar dengannya.
“Habis tu ayah buat apa sampai ibu menangis macam ni?”
“Ibu... ibu...” Bibir Puan Sahila terketap rapat. Dia malu dan segan nak beritahu. Dalam masa yang sama, dia kasihankan Khaira. Sudah terlalu banyak dia menyusahkan anak tirinya itu sejak keadaannya jadi begini.
YOU ARE READING
Setelah Hujan Berhenti
RomanceKerana memiliki seorang ayah yang tidak pernah menghargai dan menyayanginya, Khaira bersyukur dikurniakan abang tiri sebaik Qiel serta ibu tiri yang begitu menyayanginya seperti Puan Sahila. Namun bila Qiel mengambil keputusan untuk pergi meninggalk...