“INI kertas apa kau bagi aku ni?” Encik Hafizi menyoal tanpa melihat sedikit pun kandungannya yang bercetak dengan tulisan komputer.
“Cikgu bagi dekat sekolah pagi tadi. Suruh serahkan dekat penjaga.” Takut-takut Khaira menjawab. Masih tertunduk seperti tadi. Gerun untuk memandang muka si ayah.
“Aku tahulah cikgu kau bagi. Tapi kertas ni kau bagi aku nak buat apa?”
“Ci... cikgu minta datang sekolah.” Khaira telan liur. Dada berdebar.
“Cikgu sekolah kau ni kalau tak menyusahkan tak sah ya! Kali ini ada hal apa pulak?”
“Ci... cikgu kata... ada mesyuarat PIBG...” Terketar-ketar Khaira menjawab.
“Mesyuarat tak habis-habis! Ingat aku ni ada masa untuk benda tak berfaedah macam ni?!” jerkah Encik Hafizi, geram.
Lelaki itu terus mengoyak kertas yang diserahkan anaknya dan dicampak ke arah Khaira tanpa sedikit pun rasa bersalah. Cebisan kertas tersebut tepat mengena kepala anaknya lalu melayang jatuh ke lantai.
Khaira yang terkejut dengan tindakan ayahnya mengebam bibir menahan tangis dari pecah.
“Cakap dengan cikgu kau tu, aku tak ada masa nak datang sekolah. Aku sibuk. Buang masa je dengan semua mesyuarat entah apa-apa tu!”
Khaira hanya mampu diam tak bersuara. Tak berani nak membantah walaupun tahu nanti cikgu pasti akan mempersoalkan tentang ayahnya yang tidak pernah hadir ke sekolah untuk sebarang aktiviti melibatkan ibu bapa.
“A... ayah...” Khaira memanggil perlahan.
Sebenarnya ada perkara lebih utama berbanding hal mesyuarat PIBG. Khaira teringat yang Cikgu Aini ada menuntut duit buku latihan sejak dari dua minggu lepas. Rakan sekelas semua sudah menjelaskan bayaran, cuma dia seorang yang masih berhutang duit buku latihan.
Nak minta duit dengan ayah dia sama sekali tidak berani. Tapi bila Cikgu Aini menyoal hampir setiap hari, mahu tak mahu dia terpaksa berjanji akan bayar minggu ini juga.
“Kau nak apa lagi ni?!” Encik Hafizi cekak pinggang. Wajahnya cukup tegang.
“Kha... Khaira kena... bayar duit buku latihan dalam minggu ni jugak.” Terkacip bibirnya setelah memaklumkan hal itu. Berdegup laju jantungnya bagaikan menanti hukuman.
“Jadi?”
Khaira telan liur entah kali ke berapa. “Cikgu Aini minta duit...”
Pangggg!
Belum pun sempat Khaira menghabiskan ayatnya, Encik Hafizi menghentak kuat permukaan meja.
“Hei, cikgu kau tu ingat aku ni banyak duit ke?!”
Khaira yang terkejut dengan tindakan ayahnya automatik menekup telinga. Dia yang sudah sedia tunduk semakin menjatuhkan kepala kerana terlalu takut. Tubuhnya mulai menggigil ketakutan.
YOU ARE READING
Setelah Hujan Berhenti
RomanceKerana memiliki seorang ayah yang tidak pernah menghargai dan menyayanginya, Khaira bersyukur dikurniakan abang tiri sebaik Qiel serta ibu tiri yang begitu menyayanginya seperti Puan Sahila. Namun bila Qiel mengambil keputusan untuk pergi meninggalk...