BAB 5

593 96 5
                                    

BATANG penyedut dilalukan ke bibir. Sekejap sahaja ruangan mulutnya ditenggelamkan dengan air manis yang kemudiannya meluncur laju bak air terjun menuruni kerongkong yang kering.

Masam, manis, dan sejuk. Ah, limau ais tak pernah mengecewakan Adha.

"Adha, aku balik dulu tau. Nanti mak aku bising pula tak sampai-sampai lagi dekat rumah." Sahabat yang baru dia temui kurang dari satu jam itu sudah pun bangun dari kerusinya. Meluruskan pinggang, merapikan baju.

"Nak balik dah?" Terjungkit keningnya sebelah. Jam di skrin telefon dia jeling. Awal lagi, pukul 12 tengah malam pun belum.

"Haah, tadi mak aku dah pesan jangan balik lambat. Esok kena bawakan dia pergi klinik. Takut nanti dia risau menunggu, tak tidur pula kalau aku tak sampai-sampai rumah."

"Oh, okey." Hanya itu respon yang mampu Adha beri.

"Sorry tak dapat stay lama. Nanti ada masa kita lepak lagi. Apa-apa nanti kau roger je aku, eh?"

"Takde hal la, bro. Eloklah kau balik, risau pula mak kau nanti." Ikhlas Adha hadiahkan senyumnya dekat sahabat yang nampaknya sudah bersedia untuk pulang. Semua barang-barangnya telah dikutip meninggalkan hanya telefon Adha di atas meja berbentuk empat segi itu.

"Aku balik dulu. Jumpa lagi, Adha."

"Jumpa lagi." Perlahan Adha membalas sambil memerhatikan kelibat sahabatnya yang mulai menghilang dibawa jarak yang kian bertambah.

Dia bersandar malas ke kerusi. Tak perlu menoleh beria, dia tahu di sekelilingnya penuh dengan manusia. Memang sengaja dia datang ke kedai mamak itu sebab mahukan suasana yang riuh.

Ada suara orang berbual, ada juga suara anak-anak kecil nyaring menjerit entah marahkan apa.

Sungguh aneh. Dengan semua kegemparan yang sedang dia alami sekarang, tetap sahaja dia rasa sunyi.

Sunyi...

Bukan pada bunyi, tapi hati.

Telefonnya dia capai. Apabila skrin menyala, Adha jadi bengang sendiri. Kosong.

Tiada panggilan tidak berjawab, tiada mesej yang diterima, tiada juga sebarang notification lain. Senang cerita, tiada sesiapa yang risaukan kepulangan dia ke rumah.

Tiada.

Lambat-lambat, tangannya menari di atas skrin. Menaip satu mesej ringkas. Dihantar kepada satu-satunya insan yang bertanggungjawab menyediakan satu daerah yang sunyi di dalam hati yang tidak berjaya diisi dengan mana-mana penghuni setakat ini.

+Where are you?

Sepuluh minit masa yang diambil untuk mesejnya berbalas.

-Mama dekat Ipoh, ada meeting dekat sini. Kenapa, Ad?

Adha menatap skrin dengan perasaan yang kosong.

Kenapa, Ad?

Setiap kali Adha bertanya khabar atau menyapa terlebih dahulu, pasti soalan itu akan menyusul bersama. Adha perlukan sebab ke untuk berhubung dengan mamanya sendiri?

+Bila mama balik?

-Kenapa, Ad?

Dua kali.

+Boleh tak mama balik cepat sikit?

-Kenapa? Ada apa-apa jadi ke?

Tiga kali, soalannya dibalas dengan soalan juga. Kenapa, kenapa, kenapa!

Sebab Adha rindu!

Sebab Adha mahu jumpa dengan mamanya yang sentiasa sibuk!

Sebab... hari ini hari lahir Adha. Mama tak ingat? Tak mengapa, asalkan mama ada. Adha cuma mahu makan malam ditemani mamanya.

IvyWhere stories live. Discover now