BAB 8

576 93 4
                                    


"DUDUK diam-diamlah. Kau nak lari mana? Tak ada orang dekat rumah ni."

"Lepaskan saya, Datuk!" Jerit Ivy bersama rontaan yang kuat. Tak mahu terus berada dalam posisi lemah tidak berdaya apabila Datuk Jerry selamba menghimpitnya hingga tersandar ke dinding.

"Lepaskan kau? Lepas tu kau nak aku tangkap kau balik ke? Nak main kejar-kejar?" Tangan kasar itu kini sudah naik ke pipi. Dicekaknya ganas hingga kulit Ivy terasa pedih.

"Datuk, tolonglah jangan buat saya macam ni..." Ivy tak nampak jalan lain selain merayu untuk dibebaskan dari cengkaman Datuk Jerry. Bukan dia tak melawan tapi jelas-jelas kudratnya yang tidak cukup zat itu tidak mampu pun nak tolak Datuk Jerry yang gempal itu.

"Sedap juga suara kau merayu. Cuba lembut sikit lagi suara tu?" Berdekah-dekah si miang itu ketawa sampai terasa bergegar perutnya yang buncit itu di badan Ivy. Ya Tuhan, jijiknya!

"Lepaskanlah! Lepas!" Ivy cuba tolak badan Datuk Jerry dengan harapan lelaki itu akan berganjak tapi sayangnya, seinci pun tidak bergerak. Malah tawanya makin menggila seolah sungguh terhibur melihat Ivy yang bersungguh tapi perlakuannya sia-sia.

"Janganlah garang sangat, aku nak main kejap je."

Ivy dah tak tahan apabila dia rasa tangan si miang itu mula merayap pergi dalam bajunya. "Tak nak!! Lepaskan aku!!"


SEPERTI dirasuk hantu, Ivy bangun daripada pembaringannya. Nafas tersekat-sekat, mencungap seperti baru dibenam kepala hingga setiap rongga tidak lagi diisi udara.

Kulit pula berkilat dengan peluh hingga baju cerahnya jadi berbintik-bintik basah.

Melilau matanya memandang ke arah sekeliling, tercari-cari kelibat Datuk Jerry yang baru sahaja muncul di dalam mimpinya. Lega. Di bilik yang kecil itu cuma ada dia dan bayangnya, bersendirian.

Tanpa Ivy sedar, keluhan paling berat dihembuskan kuat. Dia tumbangkan badan ke belakang hingga badannya terbaring menelentang menghadap siling bilik yang berlumut.

Matanya dibiarkan terpejam rapat. Syukur, itu semua hanya mimpi semata. Tak mampu Ivy bayangkan seandainya peristiwa hitam itu berulang kembali. Peritnya terasa hingga ke hari ini.

Tok, tok, tok!

Terhinjut bahunya sebaik bunyi ketukan di pintu tiba-tiba bergema memenuhi ruang bilik yang kecil itu. Siapa yang mengetuk?

"Buka, oi, buka!"

Garau, Ivy tak kenal suara itu. Jam di telefon Ivy lihat, pukul 9 malam. Hari ini dia tidak ke The Vook. Sudah dua hari Ivy terpaksa ponteng kerja kerana bengkak di kaki masih belum surut. Jalan pun terhencot-hencot, macam mana nak berulang-alik hantar pesanan pelanggan?

"Buka!" Lagi suara itu menyuruh Ivy membuka pintu.

Tiba-tiba mimpinya tadi seperti terulang kembali buatkan roma Ivy menegak. Dia takut. Adakah yang sedang mengetuk itu... Datuk Jerry? Dia tahu ke dekat mana Ivy tinggal? Tapi macam mana dia tahu?!

"Diamlah Jazz, tak kelakarlah ketuk pintu rumah orang macam tu. Kita orang ni Ivy, Jazz dengan Luke."

Jazz? Luke? Si kembar?

Dengan berhati-hati, Ivy tongkat tangan untuk bangun. Perlahan dia jalan menyusur pergi ke arah pintu. Terlihatlah wajah cerah Jazz dan Luke yang sedang menanti di luar sana.

Tak berkelip mata Ivy pandang mereka berdua. "Apa yang kau orang buat dekat sini?"



IvyWhere stories live. Discover now