"LEPAS ni kita nak pergi mana, Adha?" soal Ivy sambil dia belek kuntuman bunga hidup yang Adha hadiahkan kepada dia beberapa minit yang lalu. Hari itu Adha benar-benar kotakan janjinya untuk buat Ivy rasa seperti seorang puteri.
Dalam masa tak sampai sehari, Adha sudah bawa Ivy pergi hampir ke semua tempat yang memang dah lama Ivy teringin hendak pergi.
KLCC, Aquaria, Balai Seni Negara, apa lagi? Oh! Beli bunga di Pasar Seni pun sudah juga! Adha hadiahkan Ivy sejambak kecil bunga daisy.
Terhenti langkah Adha. Lihatlah keningnya, tiba-tiba berkerut. "Pergi mana? I ingat kita nak balik?"
"Eh, nak balik dah?" Kini muka Ivy pula yang mula berubah. Tidak seceria awalnya. Awal lagi nak balik, jam baru menginjak ke angka tiga petang. Takkan Adha nak balik dah? Sempat lagi kalau nak singgah ke satu dua tempat.
"Sweetheart, malam ni you kerja tau? Dah la you tak tidur lagi dari pagi tadi." Ujar Adha prihatin. Kalau nak fikir seronok, sungguh Adha kata memang dia seronok menghabiskan masa dengan Ivy.
Orangnya mudah sekali untuk digembirakan. Berada di sisi Ivy buatkan Adha terasa begitu dihargai. Dia rasa apa yang dia beri kepada Ivy tidaklah besar atau mahal mana tapi gaya si gadis itu, betul-betul bersungguh terharu macamlah Adha beri dia sesuatu berharga jutaan ringgit.
"I dah biasa tak tidur, setakat ni okey je. Jangan risau."
Muka Adha berubah toya. Apa yang okey? Tengok muka Ivy pun tahu yang gadis itu sudah kehabisan tenaga. Mata kuyu, muka layu. Kejap-kejap menguap, kejap-kejap tenyeh mata yang berair.
Pantang masuk kereta, seminit aje dah tersengguk. Itu yang Ivy cakap okey?
"Kalau you okey, I yang tak okey. I hantar you balik, lepas tu you tidur. Tak fasal-fasal masa kerja nanti pitam." Kali itu Adha nekad untuk bertegas. Dia dalamkan nada suaranya, tidak lembut seperti biasa tapi hal itu cuma bertahan untuk beberapa saat sebelum tegang di wajah Adha melonggar.
Keluhnya terlepas apabila menyaksikan wajah murah pujaan hatinya.
"Kalau you rasa tak puas berjalan nanti I bawa you keluar lagi, ya?" pujuk Adha lembut. Rasa bersalah pula kerana tiba-tiba bertegas sedangkan di awalnya, Adha yang beria berjanji untuk tunaikan semua permintaan gadis itu.
Sekarang dia pula yang ajak pulang.
Ivy tilik jam di kaca skrin telefonnya. Lambat-lambat dia mengangguk pasrah. Betul juga kata Adha, sebenarnya memang Ivy mengantuk pun tapi dia tahan mata supaya kekal terbuka.
Ivy terlalu seronok untuk membiarkan masa-masa indahnya bersama Adha berlalu begitu sahaja tanpa dimanfaatkan sepenuhnya.
"Okey, jom la balik." Ivy senyum segaris lantas dia angkat wajahnya untuk menemukan matanya dengan Adha.
"You tak merajuk, kan?" duga Adha.
Perlahan Ivy menggeleng. "Taklah. Nak merajuk buat apa. Betul la apa yang you cakap, malam nanti I kerja. Sekarang pun I dah mamai, kalau tak tidur nanti mungkin malam nanti I call you dari hospital sebab rahang jatuh."
"Sebab rahang jatuh?"
"Banyak kali menguap."
Satu saat, dua saat, tiga saat. Oh! Okey, baru Adha faham lantas menghamburkan ketawa lepas. Kelakar juga Ivy ni ya.
"Okeylah, jom I hantarkan you balik tapi sebelum tu biar I belanja you aiskrim." Adha pimpin tangan Ivy untuk menyeberangi jalan pergi ke sebuah kedai di kaki lima jalan yang menjual manisan sejuk itu.
YOU ARE READING
Ivy
RomanceInsan yang sama,tapi berikan dia dua pengalaman yang berbeza. Dengannya dia bahagia, Dengannya juga dia derita. Bila cinta tak lagi sama... "Mama betul. Kau perempuan murah,dari awal,aku tak patut kutip kau." -Adha- Mereka saling mencintai tapi den...