Malam itu, hujan turun dengan lebat, seakan-akan langit pun turut menangis bersama Ayla. Dia duduk di atas lantai bilik tidur, memegang perutnya yang semakin terasa sakit. Perasaan takut dan cemas mula menyelubungi dirinya, tetapi dia tidak tahu ke mana hendak mengadu. Isaac semakin hari semakin sukar dijangka, dan malam ini, dia nampak lebih marah daripada biasa.Isaac pulang ke rumah dengan wajah yang suram dan penuh dengan kebencian. Sepanjang hari dia dihantui dengan kemarahan dan tekanan, dan semua itu kini menjadi bom waktu yang hampir meledak. Saat dia melihat Ayla di bilik tidur, duduk dengan lemah dan memegang perutnya, sesuatu dalam dirinya terdetik bukan rasa simpati, tetapi kemarahan yang tak terbendung.
"Sofea Ayla!" jerit Isaac dengan suara yang menggertak. "Apa yang awak buat? Kenapa tak kemas rumah? Kenapa semuanya tak sempurna?"
Ayla terkejut dengan nada suara Isaac yang mengamuk. Dia cuba bangun, tetapi perutnya yang terasa berat dan sakit membuatkan dia kesulitan. "Abang, saya... saya tak sihat. Perut saya sakit..."
Isaac menghampiri Ayla dengan langkah yang berat, wajahnya semakin menampakkan kemarahan. "Awak tak sihat? Awak selalu ada alasan! Semua ini salah awak, Ayla. Awak yang rosakkan hidup saya!"
Isaac tiba-tiba menarik tangan Ayla dengan kasar, membuatkan dia terjatuh kembali ke lantai. Ayla menjerit kecil, memegang perutnya yang semakin terasa sakit. "Isaac, tolonglah... saya sakit. Jangan buat macam ni..."
Tetapi Isaac sudah terlalu hilang akal. Dia tidak mendengar rayuan Ayla, malah dia semakin kasar. Dia menarik Ayla dari lantai dengan kuat, memaksanya berdiri. "Awak ni memang beban! Saya dah tak boleh tahan dengan semua ni!"
Isaac menolak Ayla dengan kuat ke dinding. Ayla terhuyung-hayang, dan perutnya terkena tepi meja. Sakit yang dia rasakan semakin tak tertahan, dan dia terjatuh ke lantai dengan teriakan yang menyayat hati. Ayla menggenggam perutnya dengan kuat, merasakan sesuatu yang tidak kena.
"Isaac... tolonglah... saya rasa ada yang tak kena dengan anak kita..."
Namun, kata-kata Ayla hanya dibalas dengan pandangan kosong Isaac. Dia memandang Ayla yang terbaring di lantai dengan wajah yang penuh penderitaan. Sejenak, ada rasa ragu dalam hatinya, tetapi kemarahan yang selama ini membara dalam dirinya telah memadamkan segala rasa kasih dan simpati.
"Awak fikir saya peduli?" jawab Isaac dengan dingin. "Anak tu tak penting. Tak ada apa yang penting sekarang!"
Isaac keluar dari bilik tanpa menoleh lagi, meninggalkan Ayla yang kini menggigil kesakitan. Dalam hati yang penuh dengan kesedihan dan ketakutan, Ayla merasakan darah mula mengalir di antara kakinya. Dia cuba menahan kesakitan, tetapi semuanya semakin gelap.
Malam itu, Ayla kehilangan bukan sahaja anaknya, tetapi juga sekelumit harapan yang pernah dia miliki. Keguguran yang dia alami bukan hanya kehilangan nyawa kecil yang belum sempat mengenal dunia, tetapi juga kehilangan keyakinan terhadap masa depan dan lelaki yang dia cintai suatu masa dahulu.
Di dalam rumah yang sunyi, Ayla terbaring lemah, meratapi nasib yang menimpanya. Hujan di luar terus mencurah-curah, seolah-olah turut menangisi tragedi yang menimpa wanita yang malang itu. Di antara sakit fizikal dan emosi, Ayla sedar bahawa kehidupan yang diharapkannya bersama Isaac kini telah musnah, digantikan oleh bayangan kelam yang tidak lagi mempunyai sinar harapan.
YOU ARE READING
Bayangan Dusta
Romance[Isaac Mikhail ] [Sofea Ayla] Isaac adalah seorang lelaki yang kelihatan sempurna di mata orang lain. Dia seorang ahli perniagaan berjaya dengan karisma yang memikat. Semasa bercinta dengan Ayla, dia sangat penyayang, romantik, dan penuh perhatian...