"Asyraf..." Panggil Puan Suraya lembut apabila melihat anak sulungnya hanya menjamah lauk yang dimasaknya dalam kuantiti yang amat sedikit.
"Ya ibu?"
"Sikitnya anak ibu makan. Makanlah lagi," tegur Puan Suraya dengan wajah yang penuh dengan simpati.
Asyraf menayangkan senyuman apabila mendengar pelawaan dari ibunya. Bukan dia tidak mahu untuk menjamah lagi, tetapi sejak akhir-akhir ini selera makannya semakin berkurangan.
"Bukan tak nak , ibu. Tapi Asyraf cuma tak ada selera nak makan pagi-pagi ni," jawabnya jujur.
Puan Suraya tidak membalas, sebaliknya dia menayangkan riak wajah yang agak kecewa namun dia cuba untuk menutup riak wajah tersebut bersama senyuman terpaksa.
Faham akan riak wajah yang ditunjukkan oleh sang ibu, Asyraf terus menggapai tangan kiri Puan Suraya yang duduk bersebelahan dengannya.
"Lauk yang lebih ni, ibu tolong simpan dalam peti ais, boleh? Nanti Asyraf panaskan semula lepas balik dari kerja." Asyraf cuba memujuk dengan harapan ibunya tidak berkecil hati dengannya.
Puan Suraya masih memilih untuk diam namun dia tetap membalas pujukan anak sulungnya dengan satu anggukan.
"Terima kasih ibu..." ucap Asyraf bersama senyuman di bibir.
Dahi Puan Suraya berkerut hairan. Dah kenapa pula tiba-tiba nak ucap terima kasih?
"Kenapa?" soalnya.
"Sebab sediakan semua ni untuk Asyraf dan Amira. Asyraf tahu ibu penat, tapi ibu tetap gigih bangun awal hanya untuk masak lauk-lauk yang sedap ni." Asyraf memandang adik bongsunya terlebih dahulu sebelum dia mengalihkan pandangan matanya ke arah Puan Suraya.
Amira mengangguk kecil tanda dia setuju dengan abangnya.
"Lauk simple je Asyraf. Amira pun reti kalau setakat masak sup ayam," bidas Puan Suraya.
"Mungkin bagi ibu sup ayam ni lauk yang simple. Tapi bagi kami bertiga, sup ayam air tangan ibulah yang paling sedap. No one can't beat you."
Kedengaran Puan Suraya tertawa kecil membuatkan bibir merah Asyraf mengukirkan senyuman. Dia berjaya membuat ibunya senyum kembali.
"Mulut manis eh anak ibu ni." Senyuman Asyraf semakin melebar sehingga menampakkan barisan gigi putihnya apabila mendengar pujian dari ibunya.
"Mestilah mulut manis. Asyrafkan anak Encik Ihsan dan Puan Suraya." Asyraf memuji dirinya sendiri.
"Habis tu Amira dengan Abang Luqman anak siapa?" Sampuk Amira.
"Korang berdua tu anak angkat," bidas Asyraf selamba.
Amira menjelingkan kedua bola anak matanya sebelum bibirnya memuncung. Sampai hati abangnya!
"Tak baik buat adik macam tu," tegur Puan Suraya dalam satu senyuman.
Adakah dia bahagia?
Ya.
Dia sangat bahagia kerana masih diberikan peluang oleh-Nya untuk menikmati sisa umurnya bersama tiga orang anak dan dua orang cucunya.
"Asyraf gurau je lah, ibu," balas Asyraf.
Lama mereka bertiga meluangkan masa bersama dengan bergurau senda, Asyraf memandang jam dinding yang menunjukkan sudah hampir tiba waktu solat subuh.
Dalam masa yang sama, dia risau kalau-kalau Adriez terjaga dan menangis jika tidak nampak kelibat papanya di sisi.
"Ibu, Asyraf minta diri dulu ya. Kesian Adriez sorang-sorang dalam bilik tu. Nanti dia menangis kalau Asyraf tak ada kat sebelah dia bila dia dah bangun nanti," pamit Asyraf terlebih dahulu sebelum dia bangun dari duduknya.
"Allah. Ya tak ya juga. Ibu hampir lupa cucu ibu yang sorang tu. Pergi tengok Adriez cepat." Khilafnya kerana hampir lupa tentang cucu sulungnya itu.
Asyraf melangkah ke arah singki untuk meletakkan pinggan kotornya sebelum dia terdengar rengekan anaknya dari dalam bilik tidur.
"Asyraf naik dulu." Pamitnya sekali lagi sebelum dia berlari pantas mendaki tangga rumahnya untuk meluru masuk ke dalam bilik tidurnya.
Amira menggeleng melihat gelagat abang sulungnya itu. Kalau bab lain, mungkin boleh dipertimbangkan. Tapi bab Muhammad Adriez Fahd? Tiada kompromi bagi seorang Muhammad Laith Asyraf.
"Haih... Sopan sangatlah anak sulung Puan Suraya ni. Setiap masa nak minta diri je kerjanya. Anak merengek pun still terfikir nak minta diri," Keluh Amira bersama gelengan kecilnya.
Anak siapalah sopan sangat ni?
Puan Suraya hanya mampu tertawa kecil mendengar keluhan anak bongsunya itu. Nak buat macam mana kalau Asyraf sudah dididik seperti itu sejak dia kecil lagi.
"Dah. Tolong ibu kemas semua ni. Dah nak masuk waktu ni," cantas Puan Suraya.
"Baik puan!"
YOU ARE READING
LA's: His Precious 2
Romance[SEQUEL LA'S: HIS PRECIOUS] Tidak mudah bagi seorang yang bernama Muhammad Laith Asyraf yang hidup sebagai bapa tunggal selepas isterinya, Airis Nur Farhah pergi meninggalkannya setahun yang lalu. "Papa bukanlah seseorang yang sempurna, malah jauh d...