"Asyraf balik dalam pukul berapa? Dapat balik sebelum waktu berbuka tak?" soal Puan Suraya dari dalam talian.
"Insya-Allah, Asyraf cuba balik sebelum waktu berbuka nanti. Kenapa ibu? Ibu ada nak kirim apa-apa ke sebelum Asyraf balik?" Soalan berbalas soalan. Hairan dengan ibunya yang tiba-tiba sahaja menyoalkan waktu balik kerjanya.
"Tak ada. Cuma ada tetamu nak datang rumah."
Mendengar balasan dari Puan Suraya membuatkan dahinya berkerut.
"Siapa? Saudara mara kita ke?
"Bukan. Nanti Asyraf tahulah." Puan Suraya ajak untuk berteka teki pula.
Asyraf diam seketika memikirkan siapakah gerangan yang akan datang ke rumahnya pada hari ni.
Keluarga arwah isterinya?
Tok Mi dan Shahril Raid?
Atau... rombongan meminang buat dirinya?
Cepat-cepat dia menggelengkan kepalanya. Tak akan ada orang nak masuk meminang dia pula.
"Asyraf letak telefon dulu ya. Ada kerja sikit," pamit Asyraf.
Selepas mendapat kebenaran dari ibunya untuk meletakkan telefon, barulah Asyraf mematikan panggilan telefon.
Enjin kereta dihidupkan terlebih dahulu selepas dia masuk dan duduk di tempat pemandu. Mujur sahaja segala tugasan berjaya disiapkan sebelum azan magrib berkumandang. Tinggal berbaki dua jam sahaja lagi sebelum waktu berbuka.
Pegawai yang ditugaskan untuk menjaga pagar utama menabik sebaik kereta Honda Civic berwarna hitam milik Asyraf ingin melepasi pagar utama tersebut.
Keretanya masuk ke dalam perkarangan rumah dan garaj yang terletak bersebelahan dengan rumahnya menjadi sasarannya untuk dijadikan tempat parkir kereta.
"Kereta siapa ni?" soalnya sendirian selepas nampak satu kereta asing terparkir elok di halaman rumahnya.
Langkah Asyraf terhenti apabila nampak dua kasut wanita yang sudah semestinya bukan milik Puan Suraya ataupun Lutfiyah Amira.
"Assalamualaikum..." ucap salam diberikan selepas dia membuka pintu utama rumahnya.
"Waalaikumsalam," jawab seluruh isi rumah tersebut termasuklah dua orang wanita yang asing bagi Asyraf.
Asyraf berjalan menghampiri ibunya yang sedang duduk di atas sofa kemudian meraih tangan tua itu untuk dicium dengan penuh hormat.
Kepala ditundukkan bersama senyuman dibibir buat dua orang wanita yang duduk bertentangan dengan ibunya sebagai tanda hormat.
"Adriez mana?" Matanya merayau di setiap sudut rumahnya untuk mencari kelibat Adriez. Namun, hampa.
"Adriez ada dalam bilik. Dengan Mira," balas Puan Suraya ringkas.
Asyraf mengangguk faham sebelum dia meminta diri.
"Kalau macam tu, Asyraf minta diri untuk masuk bilik dulu. Nak jumpa Adriez."
"Sekejap. Duduklah sini dulu. Berbual dengan Aunty Melur." Puan Suraya seakan melarang anak sulungnya untuk masuk ke bilik.
Enggan ingkar dengan arahan ibunya, Asyraf duduk bersebelahan dengan Puan Suraya.
"Siapa ni ibu?" soal Asyraf dalam nada yang berbisik.
Puan Melur mengeluarkan ketawa terpaksanya sebelum menjawab bagi pihak Puan Suraya.
"Mesti Asyraf dah lupa kami kan. Ni Aunty Melur, jiran depan rumah Asyraf dulu masa dekat Taman Selasih."
"Oh... macam tu," balas Asyraf walaupun dia sendiri sudah lupa sepenuhnya tentang bekas jirannya yang ini.
"Kalau yang dekat sebelah aunty tu, siapa pula?" soal Asyraf kembali, cuma sekadar untuk berbasa basi.
"Saya Haura Sofea. Boleh panggil Sofea je. Saya anak Aunty Melur," jawab Sofea sambil tertunduk malu. Malu hendak bertentangan mata dengan jejaka kacak seperti Asyraf.
"Oh..." Mulut Asyraf membulat tanpa mengeluarkan sebarang suara.
Sudah hampir 30 minit Asyraf menjadi tunggul di ruang tamu rumahnya. Dia menjadi kurang selesa apabila perasan akan pandangan Sofea ke atas dirinya.
Matanya tertancap ke arah jam dinding yang sudah menunjukkan tinggal beberapa belas minit sahaja lagi sebelum azan magrib berkumandang.
"Ibu, dah nak dekat waktu berbuka ni," bisik Asyraf.
Mendengar bisikan anak sulungnya, Puan Suraya terus memandang ke arah jam dinding dan ternyata benar apa yang dikatakan oleh Asyraf sebentar tadi.
"Saya minta diri dulu sekejap. Nak hidangkan juadah berbuka kita sekejap lagi," pamit Puan Suraya kepada Puan Melur dan Sofea.
"Sofea tolong aunty ya." Sofea menawarkan dirinya untuk membantu Puan Suraya.
Pada saat Puan Suraya dan Sofea ingin berdiri dari sofa untuk pergi ke dapur, Asyraf juga meminta diri.
"Asyraf pun nak minta diri sekejap. Nak pergi tandas."
"Pergilah. Nanti turun, bawa adik dengan Adriez sekali," pesan Puan Suraya tanpa dia tahu niat sebenar Asyraf untuk lari dari keadaan kekok itu.
"Baik ibu..." balas Asyraf sebelum dia berlari menaiki tangga dan masuk ke dalam bilik tidurnya.
YOU ARE READING
LA's: His Precious 2
Romance[SEQUEL LA'S: HIS PRECIOUS] Tidak mudah bagi seorang yang bernama Muhammad Laith Asyraf yang hidup sebagai bapa tunggal selepas isterinya, Airis Nur Farhah pergi meninggalkannya setahun yang lalu. "Papa bukanlah seseorang yang sempurna, malah jauh d...