Kerusi kayu yang diletakkan berhadapan dengan kolam renang menjadi sasaran Asyraf untuk beristirehat sebentar sambil menikmati pemandangan indah atas langit.
Secawan teh panas dihirup perlahan sebelum diletakkan di atas meja kayu yang berbentuk segi empat tepat.
Kepala didongakkan sedikit untuk menikmati salah satu pemandangan indah yang arwah isterinya suka, iaitu pemandangan bulan di malam hari.
Airis kembali mendongakkan kepalanya untuk melihat keindahan ciptaan-Nya. Terukir senyuman di wajah. Matanya bersinar memandang bulan purnama di atas langit gelap itu.
"Cantikkan bulan tu abang."
"Cantik sayang," sahut Asyraf sementara matanya merenung sisi wajah cantik Airis dan bukannya bulan purnama seperti yang dikatakan oleh isterinya.
Asyraf juga ikut tersenyum bila isterinya tidak habis-habis melakarkan senyuman di bibir merah bak tomato itu.
Isterinya bahagia, dia juga turut merasakan bahagia yang sama.
Menyedari dirinya direnung dari tadi, dia mengalihkan pandangan ke arah suaminya yang masih lagi memandang dirinya sambil tersenyum.
"Kenapa abang tengok sayang macam tu?" soal Airis kehairanan.
"Masya-Allah. Indahnya ciptaan Allah." tutur Asyraf lembut. Dia benar-benar dilamun cinta.
Dahi Airis berkerut.
"Isteri abang nak tahu seseuatu tak?"
"Apa dia?"
"Sayang ialah kurniaan Allah yang terindah dalam hidup abang. Abang bersyukur kerana Allah hadirkan Airis Nur Farhah dalam hidup abang." ucap Asyraf penuh keikhlasan.
Entah harus bagaimana lagi dia mengucapkan syukur kepada Allah kerana dikurniakan isteri sesempurna Airis.
Serta merta Airis tersengih lebar sebaik dia mendengar ucapan ikhlas dari suaminyaitu.
"Sayang abang." Pipi Asyraf dicium sekilas sebelum dia melentokkan kepalanya di bahu suaminya.
"Abang pun sayang precious. Sangat." tangannya naik mengusap lembut ubun-ubun Airis.
Sisi kepala Airis dicium lama sebelum mereka bersama-sama menikmati pemandangan indah bulan.
Airmatanya mulai bergenang setiap kali momen-momen bersama arwah isterinya singgah di minda.
"Abang tak kuat, sayang. Abang tak kuat macam orang lain," bicaranya perlahan.
Jika orang lain sering mengatakan dia kuat dan tabah mengharungi segala ujian yang oleh-Nya, maka mereka silap. Dia tidaklah sekuat itu. Hampir setiap malam dia menitiskan mata kerana merindukan arwah isterinya.
"Asyraf..." panggil Puan Suraya lembut sambil menapak ke arah anak sulungnya.
"Ya ibu," sahut Asyraf. Dia cepat-cepat menyeka airmata yang bergenang di tubir mata.
"Kenapa tak tidur lagi? Dah lewat ni." Puan Suraya juga turut melabuhkan diri di atas kerusi yang bersebelahan dengan kerusi yang Asyraf duduk.
"Tak boleh tidur. Mungkin sebab Asyraf terlelap sekejap lepas solat tarawih tadi."
Puan Suraya hanya menganggukkan kepalanya.
"Adriez mana? Tak dengar pun suara dia." Kepala ditolehkan ke belakang untuk melihat seisi ruang tamu rumahnya. Baru sebentar tadi dia mendengar suara Adriez bersorak kegirangan.
"Baru je tidur. Penat bermain agaknya,"
"Ibu nak cakap sikit boleh?" Segera Asyraf menolehkan kepalanya semula ke arah Puan Suraya.
"Ibu nak cakap pasal apa?" soal Asyraf kembali.
Puan Suraya menarik nafas dalam sebelum dihembus perlahan. Kemudian dia memandang tepat wajah sang anak.
Bibirnya mengukirkan senyuman terlebih dahulu sebelum dia menyuarakan soalan yang sudah lama terbuku di hati.
"Anak ibu belum terfikir ke nak mencari pengganti arwah Airis." Soalan dari ibunya membuatkan Asyraf terpempan seketika.
Dia benar-benar berasa tidak selesa dengan soalan yang diutarakan oleh ibunya.
Perlahan, Asyraf menggeleng. Bukan sekadar belum terfikir, malah hatinya sudah mati untuk mencintai mana-mana wanita selain daripada arwah isterinya.
"Ibu tahu Asyraf masih sayangkan arwah. Tapi Asyraf kena reda..."
"Asyraf bukan tak reda, ibu. Cuma bukan mudah untuk Asyraf lupakan cinta pertama Asyraf. Airis, wanita pertama yang berjaya buat Asyraf jatuh cinta dekat dia dalam sedalam-dalamnya," potong Asyraf. Dadanya sudah mula berombak apabila dia dituduh kerana tidak reda.
Mengapa semua orang mempersoalkan tentang keredaannya terhadap pemergian arwah isterinya sendiri?
"Ibu bukan minta Asyraf melupakan arwah Airis. Tapi... ini soal tentang meneruskan kehidupan. Asyraf yang masih hidup ni masih kena teruskan kehidupan. Yang dah pergi, biarkan dia pergi dengan tenang. Ibu yakin yang arwah Airis mesti nak Asyraf hidup bahagia meskipun dia tiada di sini," nasihat Puan Suraya lembut.
Wajah anaknya ditatap dengan penuh kasih dan sayang. Dia faham apa yang anaknya lalui saat ini.
"Kalau Asyraf tak boleh buat untuk diri Asyraf sendiri, sekurang-kurang fikirlah pasal Adriez. Dia tu kecil lagi. Dia masih lagi memerlukan kasih sayang dan belaian dari seorang ibu," sambung Puan Suraya lagi.
"Asyraf boleh jadi mama dan papa untuk Adriez. Hanya Airis sahaja yang layak jadi ibu Adriez, bukan orang lain." Asyraf masih berkeras. Dia tetap dengan pendiriannya.
"Tapi... kasih sayang ibu dan kasih sayang bapa tu berbeza."
Asyraf mengepal tangan kananya sambil memejam mata erat. Cuba memupuk sisa kesabaran yang ada.
"Ibu, Asyraf tak nak jadi anak derhaka hanya disebabkan soal pengganti Airis. Asyraf tak nak bersikap kurang ajar dengan ibu." Ujarnya dalam keadaan matanya masih tertutup. Suaranya sudah kembali kedengaran lembut.
Puan Suraya diam. Dia juga tidak mahu hubungan mereka anak beranak menjadi renggang hanya disebabkan ini.
Asyraf membuka mata kemudian dia berdiri menghadap sang ibu yang masih lagi duduk di atas kerusi kayu.
Dengan rasa rendah hati, Asyraf melutut di hadapan ibunya, menatap ke dalam anak mata dan memegang erat kedua tangan kedut insan yang sudah berjuang melahirkannya di dunia ini.
"Asyraf minta maaf kalau cara percakapan Asyraf tadi buat hati ibu tersinggung. Asyraf langsung tak ada niat nak buat ibu terasa hati. Cuma, Asyraf minta pada ibu untuk bagi Asyraf masa untuk pulihkan semula hati ni."
Genggaman tangan semakin dieratkan.
"Ibu cuma nak anak ibu yang dulu. Ibu rindukan gelak tawa Asyraf yang dulu. Ibu cuma nak tengok Asyraf bahagia semula sebagaimana bahagianya Asyraf bersama arwah Airis dulu." Suara lunaknya sudah semakin kedengaran sebak.
Setiap ibu di dunia ini pasti menginginkan anaknya bahagia.
Kini, Asyraf pula yang bungkam. Dia mengunci mulutnya untuk membiarkan ibunya berkata-kata.
"Kalau boleh, ibu nak tengok anak-anak ibu bahagia sebelum ibu menghembuskan nafas yang terakhir..." Belum sempat wanita yang berusia hampir 60 tahun itu menghabiskan ayatnya, Asyraf sudah mencantas ayatnya.
"Ibu... janganlah cakap pasal ni. Asyraf tak suka," tegah Asyraf. Semenjak isterinya pergi, dia benci dengan perkataan 'pergi'.
Masing-masing mereka bertatapan mata.
"Kalau itu lah keputusan Asyraf, ibu faham. Ibu hormat keputusan anak ibu. Tapi fikir-fikirkanlah apa yang ibu katakan tadi. Jangan pentingkan diri sendiri sehingga membuatkan Adriez tidak mendapat kasih sayang yang selayaknya." Sempat Puan Suraya memberikan pesanan sebelum dia melonggarkan genggaman tangan Asyraf dan beredar dari sana.
Asyraf hanya mampu menghantar ibunya masuk ke dalam rumah dengan pandangan mata. Rasa kecewa dengan diri sendiri kerana membuatkan ibunya berjauh hati. Terlalu banyak teka teki bermain di mindanya.
YOU ARE READING
LA's: His Precious 2
Romance[SEQUEL LA'S: HIS PRECIOUS] Tidak mudah bagi seorang yang bernama Muhammad Laith Asyraf yang hidup sebagai bapa tunggal selepas isterinya, Airis Nur Farhah pergi meninggalkannya setahun yang lalu. "Papa bukanlah seseorang yang sempurna, malah jauh d...