BERMULALAH hari-hari aku yang hectic!
Mula-mula aku selesaikan dulu hal sekolah Atief. Rana dah tolong aku buat pendaftaran sewaktu dia carikan sekolah tu untuk Atief. Jadi, aku hanya bawa Atief aje datang ke sekolah. Disebabkan ini pertama kali Atief bersekolah di sini, takut tak biasa... Aku masukkan dia untuk tiga jam sehari untuk beberapa hari sebelum dia mula bersekolah penuh.
Dan seperti dijangka...
"Why three hours, omma? Atief tak puas nak main dengan kawan-kawan!"
Aku pula yang kena marah!
Selesai hal Atief, aku uruskan hal kesihatan mak pula. Antara sebab aku nak balik ke Malaysia... Mak terkena serangan jantung. Tiba-tiba aje dia pengsan dan mujurlah... Cik Jam, jiran mak tu datang dan nak bagi kuih kat mak. Kalau terlewat... Aku dah kehilangan mak aku. Takut hal itu berlaku lagi... Aku baliklah. Aku mengajak mak tinggal dengan aku kat Ipoh supaya mak mudah untuk mendapatkan pemeriksaan berkala di JMC. Kat situ ada doktor pakar yang bagus untuk jantung. Aku tahu pun sebab Dato' Rafa, papa Rana mendapatkan rawatan di situ.
Dan...
Mestilah aku sibuk dengan hal diri sendiri.
Dah enam tahun aku meninggalkan Malaysia, Ipoh tak terkecuali. Banyak jalan yang baru... Walaupun digelar bandar pencen, tak adalah pencen sangat pun. Memang dah agak pesat pembangunannya berbanding dulu.
"Bangun Atief... It's your first full day to school! Takkan nak pergi lambat kut? Sekolah penuh hari ni..."
Aku menepuk buntut bos kecil aku tu. Dia bukan susah nak kejut pun. Tapi, tetap kena kejut jugalah. Atief terpisat-pisat bangun. Kemudian dia mencapai tuala dan terus masuk ke bilik air. Aku mengemaskan katil dan meletakkan baju seragam Atief yang aku dah gosokkan semalam ke atas katil.
"Atief... Omma dah letak baju kat atas katil. Omma kat bawah tau!"
Aku sempat menjerit depan pintu bilik air sebelum turun. Baru nak masuk dapur... Aku nampak mak tengah bancuh seteko kopi.
"Mak..."
Mak menoleh pada aku.
Tak berkelip mata dia melihat penampilan baru aku.
"Elok tak tudung Ally?"
Mak senyum.
"Mestilah elok. Anak siapa?"
Aku pun senyum juga. Aku memang dah berniat untuk melakukan perubahan macam ni. Masa sekarang masa yang tepat sekali untuk melakukannya.
"Tapi, nak ke mana bertudung dan berbaju korporat ni? Takkan nak pergi hantar Atief pakai macam ni?"
"Ally nak hantar Atief, lepas tu... Ally nak kena pergi hotel. Ingat tak yang Ally pernah cakap... Ally nak kena lapor diri. Hari ni, Ally nak kena lapor diri la."
"Oh... Ya. Mak lupa."
"Ally takut Ally lambat, jadi... Tengah hari ni kalau Ally call mak, mak tolong ambil Atief tau. Mak tahu kan... Sekolah tu kat mana."
"Mestilah mak tahu... Selang beberapa rumah aje. Dekat sangat. Atief pun boleh balik sendiri kalau dia mahu."
"Memanglah dekat dan Atief boleh balik sendiri. Tapi, tak boleh biasakan dia balik sorang diri. Sekarang ada macam-macam jenis kes..."
"Yalah, mak taulah. Takkan mak nak biarkan dia jalan sorang-sorang tengah panas terik tu. Hitamlah cucu mak tu nanti. Dia tu, panas sikit pun dah merah. Panas banyak... Jadi arang la nanti."
Aku tersengih. "Tau tak apa. Lagipun, mak bolehlah exercise jantung mak tu. Kena selalu jalan... Arahan doktor! Remember?"
"Member... Member."