PADANLAH aku ajak mak tinggal dengan aku kat London, mak tak nak. Sebelum kahwin pun, aku dah pernah ajak mak tinggal dengan aku kat Ipoh... Macam-macam alasan yang mak bagi. Aku ingat mak bersetuju ikut aku dan tinggal kat Ipoh sebab sakit jantung dia tu... Mana nak tahu sebab mak dah merasakan sesuatu.
Sebab mak dah boleh agak...
Ayah dah tak ada.
"Ayah..."
"Kenapa dengan ayah?"
"Ayah kamu... Dia selalu datang tengok kita dari jauh."
Tersentaklah aku.
"Hah? Serius? Sejak bila?"
"Lima tahun lepas dia tinggalkan kita... Masa kamu berusia 10 tahun. Dia selalu datang sejak itu naik kereta warna hitam, plat nombor 6336. Mula-mula, mak ingatkan orang jahat nak kutip hutang ke apa... Manalah tahu, ayah kamu tu berhutang sampai tak balik ke rumah. Ada mak pernah marah bila Ally suka keluar main kat taman, lepas tu... Mak tak bagi keluar dah. Sebab itulah..."
Memang mak selalu ugut aku... Keluarlah kata mak. Nanti orang jahat culik, bawa pergi ke Thailand... Jadi peminta sedekah baru tahu. Terus aku tak keluar dah la...
"Dah tu, macam mana mak tahu yang itu sebenarnya ayah pula?"
"Mak pernah nampak dia parkir kereta yang bernombor plat tu depan rumah kita. Lepas tu, dia keluar dan letak sampul surat berisi duit kat dalam peti surat kita."
"Oh..."
"Pernah sekali, ada pak gad kat sekolah kamu beritahu ada lelaki datang dan tengok kamu... Pak gad tu beritahu nombor plat kereta tu. Mak cakap, dia ayah kamu..."
Aku tak pernah perasan pun...
Masa tu, sibuk bermain...
Tak pernah peduli pun.
Bagi aku, tak ada ayah pun tak apa...
Dah biasa!
"Dulu-dulu... Masa kamu kecil, boleh dikatakan seminggu dua kali mak nampak dia. Lepas tu, seminggu sekali. Kadang-kadang, dua minggu sekali. Pernah juga sebulan sekali. Pernah juga mak cuba dekat... Kebetulan, kereta tu berhenti semalaman. Mak lalu jalan belakang dan nampak dia tertidur dalam kereta tu... Ayah kamu terus start enjin dan pergi. Sejak itu, mak tak tegur dia dah."
Huh...
"Masa Ally dah kahwin? Masa Ally ke London? Ayah masih datang ke?"
"Datang. Cuma tak sekerap dulu. Dia masih letakkan duit dalam peti surat. Tapi, sejak awal tahun... Dia dah tak kerap muncul. Kali terakhir, empat bulan yang lepas. Tiga bulan sebelum dia meninggal dunia. Mak dah agak, sesuatu dah berlaku... Mana mak nak sangka yang ayah kamu dah pergi buat selamanya."
"Mak tak pernah cakap dengan Ally pun!"
"Mak tak nak kamu risau."
"Pelik betul. Kenapa dia tengok dari jauh? Kenapa tak datang dekat-dekat? Bukan mak yang halau dia pergi. Dia yang pergi."
"Mungkin dia malu selepas apa yang dia dah buat dekat kita."
"Banyak ke duit yang arwah ayah tinggalkan dalam peti surat tu?"
"Banyak juga. Paling sikit seribu. Paling banyak, sepuluh ribu. Yang banyak tu, bila dia dah lama tak datang... Dia bagi banyak. Duit itulah yang mak kumpul-kumpul dan mak gunakan untuk kamu belajar sampai ke universiti."
"Oh, mak..."
"Duit arwah ayah kamu."
"Sebab itulah, mak tak bagi Ally kutuk-kutuk ayah. Sebab itu jugalah, mak setia dengan ayah. Sebab sebenarnya... Dia tak pernah tinggalkan mak dan masih bagi nafkah."
