ENCIK Romly, peguam arwah ayah datang tepat pukul 11 pagi. Kebetulan aku baru aje siap mengemas dan sedang memasang kunci untuk pintu bilik yang aku dah jadikan stor.
"Suara Encik Romly buat saya ingatkan Encik Romly ni berusia 30-an. Mana saya nak sangka, Encik Romly ni dah 50-an."
"Saya dah tua dah, Cik Ally. Saya bekerja dengan Tuan Hamzah hampir 15 tahun lamanya sejak dia tubuhkan H-Lodge."
H-Lodge...
Hmmm...
Aku tahu H-Lodge. Tapi, apa kena mengena ayah dengan H-Lodge? Baru aku nak tanya mak dah muncul dengan sedulang air. Atief pun sibuk nak pegang cawan, bukan tolong opahnya... Tolong menyibuk adalah!
"Minum, Encik Romly."
"Oh, terima kasih puan."
Mak duduk sebelah aku.
Aku menarik Atief supaya duduk dengan aku.
Dia kalau dengan aku, dia behave sikit!
"Air kosong aje, Encik Romly. Saya dah berpindah balik ke Ipoh ikut Ally dan rumah ni saya nak buat homestay. Jantung saya ni dah tak kuat, Encik Romly. Nak kena selalu buat check up. Saya dah masuk stent... Ada dua block."
"Ya... Cik Ally ada cakap dengan saya pasal tu. Saya faham dengan keadaan puan tapi... Saya perlu selesaikan amanah tuan dengan segera sebab syarikat... Syarikat perlu melantik pengarah urusan yang baru. Sekarang wakil pengarah urusan syarikat adalah berjawatan sementara. Wakil juga memegang jawatan CEO H-Lodge."
Pengarah urusan...
Errr...
"Maksud Encik Romly, pengarah urusan untuk H-Lodge? H-Lodge tu bukan ke syarikat yang mempunyai rangkaian hotel bajet seluruh Malaysia? Jangan cakap H-Lodge tu... Ayah yang punya?" Aku terus menyampuk.
"Ya, Cik Ally. Itu semua arwah Tuan Hamzah yang punya. Bermula dengan sebuah bajet hotel dan sekarang sudah menjadi 200 buah bajet hotel. Bukan saja hanya ada di Malaysia, Singapura, Thailand dan Indonesia.... Tapi, ada juga di Mekah dan Madinah. Tuan selalu cakap, senang orang kita nak pergi umrah atau haji... Jimat duit belanja penginapan."
Aku pandang mak.
Mak pun pandang aku.
Seperti tak percaya.
Macam mana ayah boleh memiliki semua itu?
"Saya selalu dengar tentang H-Lodge sebab saya berada dalam industri ni. Tapi, saya tak pernah tahu siapa owner dia. Lagipun, owner dia... Bukan seorang yang suka menonjol. Kebanyakan pengurusan hotel dia diserahkan kepada syarikat pengurusan hotel. Itu yang saya tahu sebab bekas suami saya mempunyai syarikat pengurusan hotel. H-Lodge antara hotel yang dia pernah uruskan. Tak tahulah kalau dia masih urus."
"Ya, betul. Phoenix Hotel Management merupakan salah sebuah syarikat yang menguruskan hotel H-Lodge di Malaysia."
Terdiam aku sekejap...
Serius tak sangka.
Aku begitu kagum dengan pemilik hotel H-Lodge yang tumbuh bagaikan cendawan tu. Tak perlu hotel yang besar pun... Tapi, ada. Pergi ke mana-mana pun... Boleh nampak bangunan hotel berwarna kuning tu. Kalau tak tengok papan tanda pun boleh tahu yang itu bangunan H-Lodge. Mana nak sangka... Itu arwah ayah yang punya!
"Sebenarnya, saya cari puan sebab saya nak serahkan surat daripada tuan. Dia amanahkan saya untuk berikan surat ini selepas dia meninggal dunia dan sebelum bacaan wasiat dibuat pada minggu depan."
