ZAYNN meletakkan kunci rumah di dalam bekas selepas menjejak kaki di rumah banglo mewah miliknya. Tali leher dilonggarkan supaya dia dapat bernafas dengan selesa. Tubuh sasa yang kepenatan direbahkan di atas sofa empuk.
Mata dipejam sejenak sambil menarik nafas panjang. Seharian dia menghadap kerja sampaikan tak sempat nak berehat panjang. Dalam satu hari, dia hadiri beberapa mesyuarat dan beberapa pertemuan dengan klien. Memang penat.
Mata dibuka kembali. Melihat sekitar ruang tamu dan suasana sunyi ketika itu membuatkan dia rasa benar-benar kehilangan sesuatu. Ya, rumah banglo yang besar dan mewah ini sudah lama sunyi. Semetelah hanya dia seorang menjadi penghuni utama di sini.
Selain itu, banglo mewah ini turut dihuni oleh pembantu rumah yang dia panggil Mak Ani dam suaminya, Pak Ajis, yang bekerja sebagai pemandunya. Dia juga mengupah orang untuk membersihkan halaman rumah agar tidak ada semak samun. Nak harapkan dia, rumput akan lebih tinggi daripada tuan.
Lamunan Zaynn terganggu. Telefon pintar yang berada di atas meja diambil. Melihat saja perkataan ibu yang tertera pada skrin telefon buat nafasnya semput. Tak ada topik lain, mesti nak gesa dia supaya cepat kahwin.
"Ibu... Ibu sihat?" soal Zaynn selepas memberi salam.
"Ibu kurang sihat," balas Hajah Hanum.
Lemah saja kedengaran suara wanita itu menusuk ke telinga Zaynn.
"Ibu sakit? Ibu demam ke?" Hati Zaynn mula risau.
Hajah Hanum satu-satunya wanita yang dia sayang dan hormati. Wanita yang melahirkan dan membesarkan dia sehingga dia berjaya hari ini.
"Aha... ibu sakit," akui Hajah Hanum.
"Kalau dah sakit, ibu kena cepat-cepat pergi klinik. Nanti sakit tu makin melarat." Zaynn benar-benar risaukan kesihatan ibunya.
"Sebenarnya, ibu sakit hati," beritahu Hajah Hanum.
"Ibu sakit hati? Kenapa? Siapa yang buat ibu sakit hati?" Kening Zaynn mula berkerut.
"Siapa lagi kalau bukan Zaynn," ujar Hajah Hanum.
Zaynn terus melepas tawa.
"Ibu ni... saja buat Zaynn risau tau. Ingatkan ibu betul-betul sakit tadi." Zaynn ketawa.
"Zaynn tahu tak, kenapa ibu sakit hati?" soal Hajah Hanum.
"Zaynn bukan ahli nujum nak meneka. Ibu beritahulah, apa yang buat ibu sakit hati. Kalau ada ubat untuk sembuhkannya, nanti Zaynn akan beli," ujar Zaynn dengan nada santai.
Terdengar keluhan daripada Hajah Hanum.
"Ibu sakit hati sebab ibu dengar cakap-cakap orang sekeliling pasal anak ibu ni. Zaynn tahu tak apa orang sekeliling cakap pasal anak ibu?" soal Hajah Hanum.
"Anak ibu? Anak ibu yang mana?" soal Zaynn.
Saja Zaynn nak menyakat Hajah Hanum memandangkan wanita itu memiliki lima orang anak. Dan, anak-anaknya yang lain sudah pun mendirikan rumah tangga, kecuali dia.
"Isk... geramnyaaa... Siapa lagi kalau bukan Zaynn? Kan ibu dah cakap tadi!" beritahu Hajah Hanum.
Zaynn menggaru kepala.
"Apa yang orang sekeliling cakap pasal Zaynn? Glamor sangat ke Zaynn ni sampai orang duk bercerita pasal Zaynn? Zaynn bukan artis tau yang orang duk sibuk nak bergosip," ujar Zaynn.
"Pasal apa lagi? Pasal Zaynn yang masih tak kahwin-kahwin sampai sekaranglah. Macam-macam cerita yang ibu dengar pasal anak ibu ni tau. Tu yang buatkan hati ibu sakit," luah Hajah Hanum.

ANDA SEDANG MEMBACA
ZAYNN AL-FATEH
RomanceTajuk: ZAYNN AL-FATEH Penulis: AZIENA Harga: RM34 / RM37 Dhiya belajar hidup berdikari di usia muda selepas kematian orang tuanya. Hidupnya tidak seindah remaja lain. Daripada duduk di kampung menghadap muka Puan Safiah, baik dia bekerja di bandar...