BAB 3

65 4 0
                                    

ZAYNN membuka pintu untuk keluar, tapi dia dikejutkan dengan kemunculan seseorang di depannya.

"Ops..."

"Erk..."

Kedua-duanya kaku di depan muka pintu.

Pada masa yang sama, Zaynn nak keluar dan orang yang muncul di depannya nak masuk. Maka, terjadilah ciku cak. Asyik bertembung, kiri sama kanan, kanan sama kiri. Sampai bila nak selesai?

"Stop!" Akhirnya Zaynn berdiri tegak di tengah-tengah muka pintu dan kedua-dua tangannya memegang bahu lawannya.

Menegah lawan daripada terus bergerak. Penat dia nak main ciku cak macam budak-budak.

Tasya mengawal senyum melihat aksinya itu. Malu pula Zaynn rasa. Tasya ni pun satu. Kenapa tak beritahu dia awal-awal?

"Awak ni siapa? Tiba-tiba muncul depan pintu ni?" soal Zaynn, memandang figura di depannya.

Mengenakan topi keledar dan hampir menutupi wajahnya.

"Saya datang untuk hantarkan pesanan kek ni pada Dato' Zaynn," beritahu Dhiya.

"Pesanan kek untuk Dato' Zaynn?" Kening Zaynn berkerut.

"Betul ke Dato' Zaynn ada oder? Pelik. Kenapa saya tak tahu?" Zaynn merenung wajah yang masih bertopi keledar itu.

"Maaf, saya cuma jadi tukang hantar je. Encik pula tak tahu sebab bukan encik yang oder," ujar Dhiya.

Dia datang sini atas arahan daripada Mustafa. Nak tolak, apa kata Mustafa sebab dia baru saja kerja. Ikut sajalah arahan.

Zaynn tarik nafas. Tangan mengusap leher. Masih hairan kerana setahunya dia tak ada buat apa-apa pesanan pun.

"Encik boleh ke tepi tak?" bentak Dhiya tegas.

"Kenapa saya kena ke tepi pulak?" tempelak Zaynn sambil mengerutkan kening.

"Sebab saya nak masuk ke dalam. Nak jumpa dengan Dato' Zaynn. Tu pesanan daripada Abang Mus tadi." Dhiya tetap bersuara dengan tegas.

Kalau boleh, dia nak cepat-cepat beredar. Nanti apa yang Mustafa fikir kalau dia balik lambat. Dahlah dia baru saja masuk kerja tak sampai seminggu.

"Abang Mus?" Mulut Zaynn ternganga.

"Ya, Abang Mus. Tauke kafe dan kek ni. Isy, banyak tanya pulak. Tepilah, saya nak masuk. Takkan encik nak jadi jaga pula kat sini? Nanti jaga kat pintu depan sana tu nak buat apa pulak?" Dhiya mendecit sambil menolak tubuh Zaynn dengan bahunya.

"Abang Mus? Mustafa Halimi?" soal Zaynn.

"Yang saya tahu nama dia Mustafa je. Nama bapa dia, saya tak tahu," balas Dhiya.

"Oh..." Zaynn mengukir senyum dengan jawapan yang diterima.

"Boleh ke tepi tak? Saya nak masuk ni," tutur Dhiya.

Geram pula dengan lelaki yang ada di depannya ini. Banyak songeh betul.

Nak tak nak, Zaynn terpaksa berganjak. Memberi laluan kepada gadis itu untuk masuk.

Mata Dhiya melilau sekitar bilik. Mencari wajah seseorang.

"Awak cari apa? Boleh saya tolong?" soal Zaynn yang kembali masuk ke bilik.

Tak jadi nak keluar jumpa Tasya untuk titipkan pesanan.

Dhiya melempar jelingan. "Sibuk je nak tahu."

"Saya tanya je, takkanlah salah kut?" bahas Zaynn bersama keluhan kasar.

"Saya cari Dato' Zaynnlah, siapa lagi? Nak bagi pesanan ni pada dia. Kan dah cakap tadi," balas Dhiya sambil mengunjuk plastik di tangan.

ZAYNN AL-FATEHTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang