DHIYA hanya mengikut langkah lelaki yang mahu dipanggil Pak Ajis itu. Orangnya agak mesra, membuatkan Dhiya rasa tak kekok walaupun ini pertama kali mereka berjumpa.
"Dato' ada kat dalam?" soal Pak Ajis kepada PA Dato' Zaynn.
"Ada, masuklah," tutur Tasya sambil mengukir senyum.
Pak Ajis mengetuk pintu. Sementara Dhiya hanya berdiri kaku di belakang lelaki itu.
"Masuk!"
Pak Ajis membuka pintu. Tangannya yang sebelah lagi memegang beg kertas. Dia terlebih dahulu melangkah masuk ke dalam bilik, diikuti oleh Dhiya.
"Dato', ni makanan tengah hari untuk Dato' dan Cik Dhiya," ujar Pak Ajis.
"Hmm, terima kasih. Letak aje atas meja." Zaynn bersuara tanpa memandang mereka berdua.
Sibuk menatap dokumen di depan matanya.
Pak Ajis akur. Beg kertas diletak di atas meja kecil.
Dhiya amati bilik itu seketika. Ada set sofa mewah menghiasi bilik itu, malah semua benda yang ada di dalam bilik itu boleh dikatakan mewah. Sesuai dengan karakter lelaki yang menjadi pemilik syarikat.
"Saya keluar dulu, Dato'." Pak Ajis bersuara lagi.
"Ya, terima kasih, Bang Ajis." Zaynn bersuara, memandang sekilas wajah pemandunya sebelum lelaki itu keluar dari bilik.
"Sama-sama, Dato'," balas Pak Ajis.
"Saya keluar dulu, Dato'." Dhiya turut bersuara, mengikut langkah Pak Ajis.
Tugas dia hanya membawa makanan tengah hari untuk lelaki berpangkat Dato' itu walaupun yang bawa makanan dari awal sampai ke bilik ini adalah Pak Ajis. Dia jadi tukang ikut sahaja. Kalau dia tak datang ke sini pun tak ada masalah sebenarnya sebab dia tak nampak apa fungsi dia.
Lainlah kalau dia yang jadi tukang hantar macam yang dibuat hari itu. Tapi, kali ini dijemput oleh pemandu dan dia jadi tukang lenggang sahaja.
"Eh, siapa suruh awak keluar?" Tiba-tiba suara tegas Zaynn memenuhi ruang bilik itu.
Dhiya segera memandang wajah Pak Ajis. Dia confuse. Soalan itu ditujukan untuknya atau Pak Ajis?
"Maaf, Dato'?" Dhiya buka mulut apabila Pak Ajis memberi isyarat supaya dia bersuara.
"Saya tak suruh pun awak keluar dari bilik ni, Cik Dhiya." Anak mata Zaynn memandang tepat wajah Dhiya.
"Serius, Dato'? Bukan ke tugas saya hanya hantar makanan untuk Dato'? Jadi, tugas saya dah selesai dan saya sepatutnya terus balik," ujar Dhiya.
"Habis tu, siapa nak hidangkan makanan atas meja tu dan bawa balik semula mangkuk tingkat tu ke kafe kalau bukan awak, Cik Dhiya?" soal Zaynn.
"Errr... Nak kena hidangkan ke? Ingatkan tugas saya hanya hantar aje." Dhiya buat muka bodoh.
Zaynn memandang wajah Dhiya dengan pandangan serius.
Dhiya mengerling Pak Ajis sebelum kembali memandang lelaki yang sedang merenungnya tajam. Marah nampak. Nak kena jual ni.
"Dah tu, apa gunanya saya upah awak datang sini?" soal Zaynn, tetap dengan suara tegas.
Dhiya garu dahi. Memang lelaki itu betul-betul marah.
"Yalah, yalah... Saya hidangkan untuk Dato'." Dhiya akur.
Kaki melangkah ke meja kecil di depan set sofa.
"Abang Ajis boleh keluar. Nanti saya beritahu Abang Ajis untuk hantar semula Cik Dhiya ke kafe," ujar Zaynn, sekali gus memberi arahan kepada Pak Ajis.
"Baik, Dato'." Pak Ajis angguk kepala.

ANDA SEDANG MEMBACA
ZAYNN AL-FATEH
RomanceTajuk: ZAYNN AL-FATEH Penulis: AZIENA Harga: RM34 / RM37 Dhiya belajar hidup berdikari di usia muda selepas kematian orang tuanya. Hidupnya tidak seindah remaja lain. Daripada duduk di kampung menghadap muka Puan Safiah, baik dia bekerja di bandar...