"LAWA tak jodoh yang aku carikan untuk kau? Bukan senang tau aku nak carikan jodoh istimewa untuk kau." Mustafa bersuara sebaik sahaja Dhiya beredar dari meja.
"Lawa tu memang lawa, tapi..." Zaynn tarik nafas, kemudian dihembus.
"Kau ni kan, kalau cakap tak ada tapi-tapi, tak boleh ke?" Mustafa geram. Rasa macam nak sekeh saja dahi Zaynn.
Zaynn tergelak. Kemudian dia mengukir senyum.
Mustafa semakin geram. "Apa masalah kau ni? Cuba terus terang. Senang aku nak faham dan tolong selesaikan."
"Masalahnya, jodoh yang kau carikan untuk aku tu muda sangat. Tak sesuai dengan aku," luah Zaynn.
"Tak adalah muda sangat. Dhiya tu dah 24, bukannya 14. Kiranya dah cukup umur, dah akil baligh. Dah kira sesuai untuk kahwin," balas Mustafa, menafikan kegusaran di hati Zaynn.
"Ya. Tapi, umur dia tu tak sesuai dengan aku. Aku ni dah masuk 40 tahun. Dia baru 24 tahun. Dah boleh jadi anak aku. Kau tahu tak?" Zaynn memberi alasan.
Jawapan dan alasan yang diberikan oleh Zaynn itu buat Mustafa tergelak.
"Aku serius ni. Memang budak Dhiya tu terlalu muda untuk aku," ujar Zaynn beria-ia.
"Zaman sekarang ni, soal umur, orang dah lama tolak tepi. Umur tu sekadar angka aje. Terutama kalau lelaki tu jenis poket tebal. Alah, Zaynn, ramai je anak dara sekarang kahwin dengan lelaki tua. Yang penting dia orang boleh hidup senang dan mewah. Boleh dapat apa dia orang nak. Rupa dan usia tu, belakang kira. Duit dan harta tu penting, bro. Ada duit, adik sayang. Takde duit, abang pula yang meroyan sebab kena tinggal," komen Mustafa, kemudian gelak.
"Yang kau beria-ia nak kenenkan aku dengan staf kau, apa hal? Macam tak ada perempuan lain dah," ujar Zaynn.
"Memang ada. Ramai je perempuan yang masih single dan matang. Tapi, kau nak ke?"
Zaynn tarik nafas.
"Aku rasa sepanjang hidup kau, kau dah kenal ramai perempuan. Tapi, nak cari yang sesuai dengan jiwa kau, tu yang susah. Betul tak? Kesimpulannya, kau tunggu jodoh, macam kau tunggu bulan jatuh ke riba," komen Mustafa.
"Perempuan yang aku dah jumpa, dah kenal, memang tak ada yang kena dengan jiwa aku. Aku tak nak yang jenis hipokrit, yang terlebih gedik, yang mata duitan, yang mengongkong, yang..."
"Dah. Cukup. Banyak betul kau punya alasan. Sah-sah kau tak akan jumpa perempuan yang sesuai dengan jiwa kau seumur hidup. Membujanglah kau sampai mati," ujar Mustafa.
"Bro, aku ni kalau boleh nak kahwin sekali seumur hidup. Aku tak nak kahwin untuk bercerai atau anggap perkahwinan sebagai satu eksperimen untuk menentukan perempuan mana yang sesuai," ujar Zaynn.
"Ya. Aku faham. Tapi, perkahwinan adalah satu perjudian. Kita akan kenal seseorang bila kita dah hidup bersama. Kenal, bererti kita kenal hati budi dia."
"Aku bukan memilih. Tapi, aku nak perempuan yang boleh sempurnakan hidup aku dan aku sempurnakan hidup dia. Kami akan saling melengkapi. Dan, aku nak perempuan tu lahirkan zuriat aku, jadi ibu terbaik untuk anak-anak aku. Aku tak minta lebih. Cukuplah perempuan tu sayang aku dengan seikhlas hati. Terima baik buruk aku dengan hati yang terbuka. Sebab tu aku nak dia lengkapi hidup aku dan aku juga lengkapi hidup dia," jelas Zaynn.
Mustafa mengangguk. Dia mula faham apa yang cuba disampaikan Zaynn.
"Bro, soal jodoh... tu rahsia Allah. Andai kata pasangan tu saling mencintai, kalau bukan jodoh, dia orang akan terpisah juga. Hakikatnya, kebahagiaan dalam rumah tangga bukan terletak pada kekayaan semata-mata, tapi juga keikhlasan dan kejujuran. Begitu juga dengan umur. Tak salah kalau ditakdirkan kau bertemu jodoh dengan perempuan yang lebih muda daripada kau, macam Dhiya tadi. Mungkin, tu sebagai bonus untuk kau," ujar Mustafa.
"Kau ni... Masih nak kenenkan aku dengan budak tu ke?" soal Zyann.
Mustafa mengukir senyum. "Apa salahnya? Aku tengok muka kau lain macam aje masa pandang Dhiya tadi. Tak pernah pula kau tunjuk reaksi macam tadi bila kau jumpa perempuan lain sebelum ni. Takkanlah sebab dia terlalu muda untuk kau? Atau sebab Allah nak tunjukkan yang dia adalah jodoh yang kau tunggu selama ni?" komen Mustafa.
Zaynn tarik nafas. "Kau tak rasa yang dia terlalu muda untuk aku ke?"
"Susah betul cakap dengan kau ni, bro. Yang muda tak nak, yang tua pun tak nak. Janda tak nak. Habis, kau nak yang macam mana? Ke kau tak berminat dengan perempuan tulen?" Mustafa dah picing mata. Geram betul.
Zaynn yang baru meneguk minuman, terus terbatuk akibat tersedak.
"Aku dah mula seriau ni. Tengok, bulu roma aku dah menegak!" Mustafa tunjukkan lengannya yang berbulu halus ke arah Zaynn.
"Kau ni kan, memang menguji kesabaran aku. Pandai-pandai aje buat andaian. Aku tak tergolong dalam golongan yang dimurkai Allah," jelas Zaynn.
"Habis tu?" Mustafa tenung muka Zaynn lama.
Zaynn tarik nafas panjang, kemudian angkat tangan separas bahu. "Okey. Kau menang."
"Aku menang? Bila aku masuk pertandingan?" Mustafa bingung.
"Pasal jodoh yang kau carikan untuk aku tulah," ujar Zaynn dengan perasaan segan.
Mustafa mula kemam bibir. Menahan diri daripada melebarkan senyum. Tapi, dalam diam, hati bersorak. Akhirnya...
"Okey. Apa kata kau cuba kenal dia dulu? Manalah tahu, rezeki kau dapat isteri muda, cantik, comel," ujar Mustafa.
"Dia masih single lagi ke? Yalah, orang muda sekarang laju aje bercinta. Manalah tahu kalau dia dah ada kekasih."
Mustafa gembira melihat Zaynn seperti berminat untuk tahu lebih lanjut pasal Dhiya.
"Pasal tu, aku tak tahu. Aku nak kenalkan kau dengan dia sebab aku tengok dia okey. Manalah tahu kalau-kalau tersangkut. Tapi, tak salah kalau kau cuba tanya dia sendiri. Dia pun, tengok kau tadi macam berminat aje. Lagipun, siapa nak tolak lelaki yang hebat macam kau ni, bro," ujar Mustafa.
"Aku cuma nak bantu kau. Lepas tu, terserah pada kau. Kau yang patut tentukan siapa pilihan hati kau," sambung Mustafa lagi.
"Terima kasih sebab selalu prihatin dengan aku." Zaynn mengukir senyum.
"Kau tak nak komen apa-apa pasal Dhiya?"
"Kan aku dah komen tadi yang dia terlalu muda untuk aku."
"Tapi, hati kau dah terdetik kan bila pandang dia tadi?" Mustafa angkat kening.
Zaynn kemam bibir.
"Tak payah malu, mengaku aje. Bukan rugi pun." Mustafa melepas tawa.
Akhirnya, Zaynn turut ketawa.Bermakna, dia mengakui apa yang Mustafa katakan.

ANDA SEDANG MEMBACA
ZAYNN AL-FATEH
RomantikTajuk: ZAYNN AL-FATEH Penulis: AZIENA Harga: RM34 / RM37 Dhiya belajar hidup berdikari di usia muda selepas kematian orang tuanya. Hidupnya tidak seindah remaja lain. Daripada duduk di kampung menghadap muka Puan Safiah, baik dia bekerja di bandar...