SEBUAH dongeng perihal tebing tinggi itu sekian lama berlegar di kalangan penduduk kampung. Malah ceriteranya dibawa dari mulut ke mulut oleh orang kampung dan penduduk sekitar tidak berapa lama dahulu. Kisah seorang ibu muda yang mengabdikan dirinya kepada keluarga.
Ceritera itu menjadi rasukan sehingga kini. Seorang perempuan yang berhabisan nyawa dek dihambat kawanan serigala berwarna putih. Giginya yang menyeringai, kakinya menapak gagah lantaran menghunjang perempuan pelarian itu ke cenuram. Tubuhnya hilang diiringi kedinginan. Cenuram itu menelannya dalam kabus yang bungkam.
Tebing tinggi itu sehingga hari ini masih wujud. Berkabus, dinaungi sebatang pohon akasia kuning yang akan berbunga apabila tiba musimnya. Ada yang mengatakan akasia itu tumbuh sejurus menelan korban. Pada malam bulan mengambang, tebing itu tampak melankolis. Pohon akasia itu ibarat terpanguk memanggil bulan yang memancarkan cahayanya ke serata tebing.
Pinggiran pergunungan itu tampak sunyi sepi. Waktu menghampiri maghrib dan teja di kaki langit mulai kelihatan. Kereta Dhul Fiqar meluncur laju merentasi pergunungan itu. Menuruni kawasan pergunungan itu, hatinya masih bergayut pada kedamaian dan kesunyian alam.
Pada kelajuan 50 kilometer sejam, pemanduannya sedikit perlahan menuruni gunung apatah lagi jalannya tidak selurus lidi, berkelok-kelok. Ekor matanya masih meliar ke puncak-puncak gunung. Sebelum dia menekan brek kereta perlahan-lahan dek kerana terpempan. Bukan kerana ada halangan di hadapan, akan tetapi apa yang dilihat olehnya di belakang. Mata pemuda itu mengecil. Nun jauh di sana, di puncak gunung di mana ceritera seorang perempuan lenyap ditelan cenuram, berdirinya seorang gadis. Pakaiannya yang berwarna lembayung berlambaian dirempuh angin.
"DI SITULAH pertama kali mereka bersua," luah Megat tanpa dipinta.
Rokok di sepitan tangan Megat bercahaya dalam kegelapan. Baranya merekah, memamah hilang puntung rokok yang dibiarkan tidak disedut. Malah Megat itu guram, hampir kecundang dimainkan situasi kabut. Sedari tadi dia perhatikan seorang tahanan yang ditempatkan di kamar siasatan. Melalui cermin pengawasan itu dia mencuri pandang tingkah lelaki yang leka berteleku.
"Jadi apa pendapat kau?" soal ketuanya.
Minuman di meja tahanan tidak bersentuh. Enam malam berlalu, enam hari yang penuh haru biru.
"Dia berkata benar. Tiada apa yang mencurigakan."
Kening Megat berkerut. Seakan-akan dia tidak gemar memecahkan kebenaran itu kepada ketuanya.
"Kalau begitu..."
"Bagi aku masa," rayu Megat.
Pandangan mata ketuanya menikam tajam. Baginya Megat kelihatan lelah. Berhari-hari dia memberi tumpuan kepada kes nan satu itu namun semakin hari dia tampak semakin tidak berkuku lagi.
"Megat, kalau dia tidak bersalah tiada apa lagi yang dapat kita lakukan. Itu aturannya," ujar ketuanya lagi.
Perlahan dia menganggukkan kepala. Mengakui kebenaran yang sukar ditelan. Kes itu tidak akan dibiarkan berakhir dengan dingin tanpa pemutus. Begitu ikrar Megat pada mula. Betapa ia semakin sukar untuk diteruskan sedangkan Megat enggan mengaku kalah. Andai dia menyerah, kredibilitinya selama bergelar seorang detektif ulung akan terpalit cemar. Dia akan menjadi bahan jenaka orang. Tidak betah Megat berhadapan dengan kekalahan.
"Aku akan buat dia mengaku. Percayalah."
Butir mata Megat membeliak ke arah ketuanya. Seakan-akan meminta restu demi meneruskan perjuangan yang tidak mungkin menjadi titik kekalahan buatnya. Ketua itu menggelengkan kepala lemah. Mengenali anak buah yang sukar berputus asa, dia akui Megat itu tidak pantas dihalang.
Lantaran itu Megat meluru ke dalam bilik soal siasat itu kembali. Tangannya mencengkam tepian meja.
"Apa yang Khadijah beritahumu sebelum dia mati?"
"Aku sudah ceritakan sebentar..."
"Sekali lagi!" tempik detektif itu seraya tangannya menghentam kuat ke muka meja.
Lelaki itu kekejutan. Langsung tubuhnya terjongket.
"Isteriku... Dia beritahu... Seorang lelaki aneh muncul. Lelaki bermata merah, senyumannya seperti ular."
Detektif itu tersenyum tawar. Tangannya menyeluk ke saku seluar. Langkahnya mundar-mandir mengelilingi lelaki itu yang berteleku dengan kedua-dua tangannya memaut kepala. Sepertinya dia sedang menampung beban sekeping hati yang lara.
"Ceritakan kejadian pertama kali kau bertemu dengannya."
Lelaki tahanan itu mengangkat kepalanya dari muka meja. Bukan tidak ingin dia menongkah kotak silam itu, namun ia berat. Seberat apa yang terpaksa dilalui semenjak enam hari sudah. Mengharung perit sebuah kehilangan lalu terdampar pula di kamar tahanan itu. Betapa dia juga lelah, mengulangi ceritera sama. Sukar bercerita tentang orang yang telah tiada.
Dia mengerling memandang detektif yang berpeluk tubuh memaku mata ke arahnya semenjak enam hari lalu. Matanya kian memerah. Ini bukan suatu rutin yang ingin dia lalui. Hatinya luluh namun tidak terpandang dek orang. Mereka sekadar menghurungnya demi sebuah cerita. Cerita yang akan menentukan nasibnya. Hidup atau mati.
"Bilakah kejadian di gunung itu?" tekan detektif itu lagi.
"Setahun sebelum aku berkahwin dengannya."
Tangannya mengusap kepala yang pusing. Tidak tidur dia sejak dua hari lalu. Sudahlah badannya masih kepenatan akibat perjalanan yang jauh. Dia mengalami jet lag yang agak teruk sebelum terperuk di kamar tahanan itu. Memikirkan rawan persoalan ini yang memamah hati dan fikirannya secara diam.
"Jadi, dua tahun lalu?"
Dia mengangguk, mengiakan. Jantungnya berdetak laju. Ingatan terhadap si dia itu memaksanya merapatkan kedua biji mata. Bukan tidak sanggup mengenangkan si dia itu, namun betapa sakitnya menagih rindu kepada yang tiada. Wajah yang penuh kecintaan seakan-akan menyapanya sekali lagi seperti mana dia disapa pada pertama kali di puncak gunung itu dahulu.
"Apa yang dia mahu lakukan di birai gunung itu?"
Terenjat, pertanyaan itu seperti menyebat pemikirannya. Dalam keadaan rawan begitu, siapa sahaja yang rela mengenang sebuah kisah hitam. Sementelah apa yang bakal dihamburkan itu pasti merombak cerita hitam tentang si dia yang dia puja.
"Jawab soalan aku. Apa yang dia mahu lakukan pada waktu itu?"
Soalan itu diulang berikutan keadaannya yang dilihat tertagak. Benar, pertanyaan itu demi menyenangkan urusan detektif itu, namun bakal menjahanamkan dirinya. Matanya bergenangan. Lalu perlahan-lahan dari ekor mata, setitis dua air mutiara gugur tanpa silu.
Dia menekur, mencari-cari sisa kekuatan untuk menyamari kerapuhan jiwa. Maka bergetaranlah kelakiannya yang bersabung dengan kepiluan dek kehilangan. Dengan berat hati, meluncur kata-kata itu dari bibirnya.
"Dia... Cuba membunuh diri."
Sejurus tangan detektif itu menghentak ke muka meja. Matanya seakan-akan menyala, menyoroti setiap kemungkinan yang cuba ditutup kesayuan.
"Kau yang membunuhnya!"
Lelaki tahanan itu kembali terpekin. Andai dapat dibelah dadanya lalu dipamerkan kepada orang, betapa rompang sekeping hati dek kehilangan orang tersayang, maka dia sanggup. Si mati itu mungkin dia, namun yang sebenar-benarnya hilang nyawa ialah dirinya.
"Kalau aku yang membunuhnya, kau tidak perlu menahan aku di sini selama enam hari."
Tercengang mendengarkan jawapan itu, wajah Megat berkalih rona. Senyuman sinis merekah di bibirnya. Dilayangkan untuk menggambarkan ketidakpuasan hati hanya kerana dirasakan kemampuannya direpih orang. Meskipun Megat sukar menerima kebenaran itu, bahawasanya lelaki di hadapannya itu tidak padan dengan gambaran pembunuh yang diburu. Wajah lelaki itu sugul. Jari jemarinya semenjak enam hari itu hanya menggeletar tidak tentu. Sepertinya dia sedang melawan kehibaan yang begitu meruntun. Disua minuman tidak lagi berjamah. Malam harinya tidak lagi terbuai dengan tidur yang lena. Maka mafhumlah Megat akan perilaku sedemikian. Persis orang sakit dek sebuah kehilangan.
YOU ARE READING
Taman Rahsia Khadijah
General FictionAngker dari mula, tugasan penulisan biografi seorang jutawan bernama Dhul Fiqar seakan memerangkap Aki Maylea. Hatinya penuh debar, emosinya dikacau seorang jejaka berkaca mata hitam. Sesi temu ramah yang tegang, Dhul Fiqar yang dingin dan seringkal...