HAMBALI mengerling di sebalik tingkap jendela yang tertutup. Dari luar, keadaan dalaman kediaman itu tidak kelihatan. Gerak geri Aki Maylea disoroti dari jauh. Dia mahu berwaspada dengan gadis itu.
"Penyihir."
Tanpa disedari tersembur perkataan itu di mulutnya. Matanya tajam tertumpu kepada satu sosok di laman.
"Apa yang tak kena Hambali?"
Berpaling wajah Hambali memandang kepada Dhul Fiqar di belakangnya. Dhul Fiqar yang dia pegang pada seutas tali boneka.
"Aku mahu kau lebih berwaspada dengan dia, Fiqar."
Dhul Fiqar tersenyum sinis. Tangannya meraup wajah, menghalang dia daripada ketawa.
"Dia cuma seorang penulis Hambali."
Hambali tertawa kecil. Dia memandang ke arah Dhul Fiqar dengan pandangan menusuk sehingga ke jiwa. Badannya merapati tubuh Dhul Fiqar. Telunjuknya laju disasarkan ke dada. Seakan-akan menusuk ke bahagian kiri dada. Tepat mengenai jantung.
"Percayalah, dia bukan orang sebarangan. Dia mahu sesuatu daripada kau, daripada kita."
Terjegil mata itu seakan-akan melancarkan amaran kepada Dhul Fiqar. Pandangan Dhul Fiqar menunduk, seperti mengalah. Dia harus menurut kata.
"Dia nampak seperti seorang gadis biasa. Baik dan..."
"Ada jarum di tangannya Fiqar. Itu yang kau tidak nampak. Gadis biasa yang mempunyai bisa."
Sejurus genggaman tangan Hambali dihentak ke dada Dhul Fiqar. Buku lima, tangan kiri pembantunya itu berbalut kemas. Malah lengannya kebiruan. Ada kesan biru lebam yang jelas di bahagian kiri wajah.
"Berhati-hati dalam bertindak. Kalau tidak, kau akan dilihat lemah. Ingat, Fiqar."
Hambali menyusur pergi dari tepian dinding seakan-akan ular. Pergerakannya pantas, berlalu menghilang membawa busung kehampaan. Dhul Fiqar mendengus perlahan. Dia membetulkan pakaian di badan sebelum melangkah keluar. Sebuah senyuman disemat di bibir agar tidak kelihatan canggung usai perbicaraannya bersama Hambali tadi.
Wajahnya seperti menerangi seluruh laman. Munculnya seakan-akan satu kemasukan gah ke pentas persembahan. Menawan namun masih angkuh dengan kedua tangan tersimpan rapi di saku. Sesungguhnya buat Aki, yang membayangi kemunculan itu ialah seorang padusi yang tidak berwajah.
Perakam diaktifkan. Satu persatu soalan yang disenaraikan di buku nota itu dipangkah. Sementara Dhul Fiqar menghilangkan haus, Aki bangkit ke tengah halaman. Perlahan-lahan dia menabur umpan. Sebentar sahaja, langkahnya dibontoti oleh Dhul Fiqar. Helaian nota diselak. Penanya tersemat kemas di jemari.
"Ayahmu seorang yang bijak. Adakah dia yang menjadi inspirasi buat kamu?'
Dhul Fiqar tampak bermenung seketika.
"Ya, benar. Tapi aku banyak mengikut jejak langkah ibu. Ibuku seorang yang luar biasa."
Dia kembali bermenung. Kemudian perlahan-lahan sebuah senyuman terburai di bibirnya.
Tenang. Semakin terbuka. Matanya itu aman.
Pandangan Aki meliar buat sekalian kalinya. Matanya meneliti dan menyasarkan sesuatu. Seperti helang lagaknya. Dia perhatikan juga pandangan Dhul Fiqar yang kelihatan aman tanpa melilau lagi. Mungkin perisai dirinya itu sudah dilonggarkan saat bersemuka dengan Aki. Tidak seperti sebelumnya, Dhul Fiqar dilihat tertagak. Ketiadaan perisai 'manusia' di sampingnya menyebabkan dia kepatahan sayap.
Kelibat Hambali tidak dikesan di mana-mana. Aki menggigit hujung pena. Dia memberanikan diri.
"Kau nampak bersahaja dan tenang tanpa Hambali."

ANDA SEDANG MEMBACA
Taman Rahsia Khadijah
General FictionAngker dari mula, tugasan penulisan biografi seorang jutawan bernama Dhul Fiqar seakan memerangkap Aki Maylea. Hatinya penuh debar, emosinya dikacau seorang jejaka berkaca mata hitam. Sesi temu ramah yang tegang, Dhul Fiqar yang dingin dan seringkal...