Bab 13

10 0 0
                                        

TAHUN itu kekal di sampingnya. Memorinya sebagai seorang anak sialan menyeret pada tahun 2002. Jilid yang penuh sakit, ceritanya berjudul azab.

Buku hidup seorang durjana yang menjadi nadi pemula sebuah kisah kekejaman. Riak-riak bonda bertempikan. Seorang anak yang menari berpusing mengelilingi tubuh bonda. Anak yang memuja bonda, menagih sayang yang tidak kesampaian. Itulah dirinya.

Bonda yang jelita, rambutnya berkelok-kelok. Bibirnya menyala dengan berahi cinta. Tangannya bersepuh dengan kasih sayang.

Ya, bondanya yang ketara bahagia bilamana tidak bersama dia atau ayah. Kejelitaannya buat orang, untuk disepah jantan kebanyakan. Bibirnya yang menyala itu bak jerangkap samar, menjerat asmara dunia. Jemarinya utuh menggenggam kasih yang rapuh tersua di tangan jantan tidak bernama.

Suara bonda dan nyanyian halusnya sering kali bermain di telinga. Kekar di memorinya sebagai punca rindu yang menggigit rasa.

Kerinduan itu yang mematikan. Kerinduan yang membangkitkan kekejian. Dek rindu itu dia berkalih memuja perempuan sembarangan. Perempuan seakan bonda.

Ada natijahnya setiap kali ingatan silam itu mendatanginya. Si durjana itu akan kesedihan. Kesedihan yang berkalih menjadi ngiauan sayu dan tangisan di kamar itu.

Ada masanya dia menyoroti diri di pantulan cermin. Dia tidak senyum. Dia tidak betah senyum. Apa lagi kalau menghadap wajahnya di cermin itu. Sebuah wajah asing sepertinya membalas renungan itu, menatapnya kembali. Dalam sebuah dunia yang dihuni seorang diri, sesungguhnya dia masih terasing. Cerminan itu tempat dia membelek diri. Di dalam dan di luar cermin, dua buah dunia yang tampak sama. Yang berbeza adalah sisinya yang dipaut misteri. Dunia yang tidak sesiapa ketahui.

Matanya melirik wajah sendiri. Memicing, sempit. Rona kekerasan pada wajah itu seakan lambang keperwiraan. Seorang lelaki yang tidak harus ditentang.

Raungan nama itu bergegar di kepala. Lantas merintis jalan kesumat di hatinya. Nama yang digegar namun tidak menjadi pendar itu sekian lama mencarik rasa. Maka benar, ketakutan dan kesepian yang menjarah jualah yang menukar rona kehidupan seorang manusia.

Bau tengik di kamar rahsia itu mendera deria. Selangkah kakinya menyentuh muka lantai, telapak-telapak berdarah merah menandai diri. Sepertinya memberi khabar itu adalah wilayahnya.

Tubuhnya bertenggek di tepian dinding. Tempat di mana seorang tawanan masih menggagahi sisa hidupnya.

"Lepaskan aku. Tolong!"

Satu suara merayu dalam gentar, mendayu. Aliran air jernih kelihatan terburai di pipi. Si lelaki durjana itu bergeming sahaja pada mula.

"Kau takkan ke mana jika berkelakuan lembik begini."

"Lihat dirimu di cermin. Kau lemah!" kata si durjana itu lanjut.

Si durjana itu menyorong tubuh lelaki tawanan itu ke hadapan cermin. Lalu dia memandang ke dalam cermin yang kacanya retak seribu. Wajahnya yang kebiruan tampak berpecah-pecah di cermin itu. Seperti jatinya kini. Seakan dipasung di tangan seorang celaka. Ya, lelaki gagah yang bermata merah itu. Lelaki yang tidak gentar akan apa-apa.

"Lepaskan aku. Lepaskan!"

Entah buat kali ke berapa rayuan yang tidak diendahkan itu merabik mulutnya. Dengusan kasar mulai kedengaran. Sepasang mata merah yang mulanya tajam kini kelihatan tenang.

"Shhh!"

Sudahnya mata yang kemerahan itu terpejam rapat. Sepertinya dia sedang bertafakur menyusun langkah kejam yang tidak dapat diteka oleh tawanannya.

Menyedari dirinya menjadi permainan seorang manusia keji, lelaki tawanan itu tidak tertagak lagi mengatur akal demi keselamatan dirinya.

"Tiada siapa yang mengenali kau sebaik aku. Hanya aku," umpan si tawanan itu.

Taman Rahsia KhadijahTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang