Bab 14

11 0 0
                                    

MALAM itu berlalu sebagai mimpi. Seperti bermimpi, tubuhnya didukung umpama anak kecil. Terbayang seorang ayah yang kasih akan anak. Langsung tangan Aki berpaut erat di leher itu. Dia merengkok seakan-akan anak kecil yang kasihkan bapanya.

Terbuka sahaja matanya, siling tinggi menjamu penglihatan. Satu perasaan asing menjengah, membuatkan hatinya tertanya-tanya akan keberadaan diri. Dengan pandangan yang masih berbalam, dia melihat sebatang tubuh di pintu. Tubuh yang berdiam, tangannya terseluk di saku.

"You had panic attack," tegur si dia di muka pintu.

Aki mencuba mengangkat kepala. Jendela kaca terbentang di hadapan mata. Di luar sana, kehijauan alam. Kepalanya lentok kembali di perbaringan. Semuanya kelihatan aneh sekali.

"Kau harus rehat Aki. Semua keperluan telah disediakan."

Suara itu bergema, berdentang seperti dia berbicara dari dalam gua. Samar dan aneh, itu yang terfikir dek Aki sebelum dia menutup mata kembali. Suara erangan Aki kedengaran dalam tidurnya yang dihimpit mimpi-mimpi lama. Sebentar tubuhnya terawang-awang sebelum dia kebasahan dibadai ombak. Mimpi-mimpi itu berterusan menyeksa jendera yang merimpuhkan emosi.

Sehingga dia dibangkitkan dengan ringkikan dari kejauhan. Bingit namun jauh. Sedar-sedar sahaja tubuh Aki terpacang di hadapan jendela. Terpisat-pisat dirinya dengan tangan yang mengurap kepala yang masih memberat.

"Ya Tuhan!"

Tersembur perkataan itu di bibirnya. Rambutnya yang kusau menambah riak kekejutan. Wajah yang pucat pudar itu tercengang.

Gerangan jejaka yang dia saksikan nun jauh bersama beberapa ekor kuda itu yang mencetuskan segala. Dia memejam rapat mata.

"Itu bukan ayah."

Bahawasanya yang mendukungnya itu bukan ayah. Yang dirangkul erat itu bukan ayah. Sosok yang muncul di pintu kamar itu juga bukan ayah. Seraya tangannya menepuk kuat dahi. Kini dia lebih rela melelapkan mata, membiarkan dirinya dihimpit mimpi-mimpi aneh daripada bersemuka dengan gerangan itu.

Aki mengorak langkah dalam keberatan. Pilihan beberapa persalinan di sisi katil itu ditatap sebelum dia membersihkan diri. Tidak lama sebelum kakinya mulai menjejak ke laman belakang. Dia mengekori bunyian meringkik yang kedengaran kian mendekat. Dari celahan pepohon di laman, dia terdiam tercacang sepertinya tidak reti untuk bertingkah lagi. Hanya kerana dia menyimpan silu terhadap jejaka yang membawanya ke mari, ke sebuah kediaman asing yang dilingkungi kehijauan itu. Nun di padang yang saujana, kelihatan Dhul Fiqar memacu di belakang seekor kuda berwarna hitam pekat.

Mendekati pagar berwarna putih yang memisahkan padang dan halaman belakang itu, Dhul Fiqar melepaskan kudanya ke tangan seorang pekerja. Kelibat Hambali bersama seekor kuda berwarna putih juga melakukan serupa. Lantas kuda-kuda itu berkeliaran di padang rata seraya diawasi beberapa orang pekerja.

Saat Dhul Fiqar melangkah ke laman itu bersama Hambali dan beberapa orang pekerjanya, kepalanya tunduk memandang tanah. Sehinggalah jejaknya merapati pohon sena. Saat segalanya bertukar hening, sepertinya tersampuk sesuatu, mata-mata mereka itu terpaku kepada sesusuk tubuh. Di bawah pohon sena yang galak menyerak dahan, terlihat seorang perempuan yang berpakaian berwarna lembayung. Yang takjub umpama terkena sihir hanya Dhul Fiqar seorang. Terkaku, tanpa dapat berkata-kata. Blaus itu melambai-lambai dirempuh angin. Wajah yang Dhul Fiqar lirik itu, senyum kepadanya. Lalu menyerbu seribu kenangan cinta. Hatinya membuak dengan sebuah rasa. Jantungnya berlarian deras.

"Fiqar."

Khadijah.

Lambang cinta unggul seorang perempuan yang pada suatu kala dimiliki oleh seorang jutawan itu menerpa. Hati Dhul Fiqar tidak keruan. Matanya sukar berkelip menjauhkan pandangan.

Taman Rahsia KhadijahWhere stories live. Discover now