Bab 5

24 0 0
                                    

Sabtu. 3:00pm. Akan dijemput.

TULISAN itu seperti menempelaknya. Dibaca setelah terlambat begitu membuatkan dia menanggung malu. Pertemuan yang mengharukan. Satu permulaan yang janggal. Mahu saja Aki Maylea menyorongkan wajah ke bawah meja. Dia dijejak sendiri oleh jutawan itu sehingga ke pejabat.

Natijah kebodohan kerana berusuh hati dan menjadi hamba perasaan. Aki menepuk dahi. Andai tidak terlalu ikutkan perasaan, perkara itu tidak mungkin terjadi. Temu ramah itu pasti berlangsung lancar pada Sabtu, jam 3.00 petang yang kini berlalu. Sejurus kejadian janggal pada hari Isnin itu dapat dihindar.

Dia berkira-kira tentang perkara yang tidak mungkin diundur masa.

"Terlajak perahu boleh diundur. Terlajak bodoh...Mundur pun masih tersungkur," bisiknya sendirian.

Sedar sahaja dirinya kini berada di sebuah balkoni di bangunan tinggi. Dari ketinggian 20 tingkat, angin pagi menderu aman. Sebuah meja putih siap tersedia. Beberapa tumbuhan hijau berpasu melata dengan daunnya yang terbuai ditiup angin. Nafasnya ditarik sedalam mungkin. Dia cuba bertenang. Kelibat Dhul Fiqar masih hilang sejak mereka keluar dari perut kereta. Malahan Dhul Fiqar itu langsung tidak bersuara. Sepertinya Aki itu tidak wujud, seperti dia halimunan. Itu menambahkan kucam dan gemuruh yang sedia membarah.

Setidaknya Dhul Fiqar tidak mengesan roman wajahnya yang berintik keresahan. Dia menunggu di balkoni itu. Didendangi ciapan sekawan merpati kecil yang kedengaran seperti mengecam kebodohan dirinya. Gementar, sebuah buku nota berserta pena dia keluarkan. Dia mahu tampil bersedia.

"Come on, Aki! You can do this."

Perasaannya terhadap si juwatan itu masih sama. Menaruh sangsi terhadap pertemuan mereka yang tidak berhasil pada pertama kali itu. Hatinya malah tercucuh mengenangkan sandiwara tidak bernama yang dimainkan jutawan itu. Jejaka yang tega memberi komentar buruk tentang Dhul Fiqar di pantri itu berlegar di benaknya. Ya, jejaka yang membelakangi dirinya. Pada hari Isnin itu, bercermin mata hitam, jejaka yang sama muncul di bilik Harun. Itulah Dhul Fiqar. Dek kerana kejadian itu juga, Aki seperti menaruh dendam.

Aki memejam mata. Menarik nafas sedalamnya. Membentuk cakra semangat yang terpelanting dek kelemahan diri.

"Dia manusia biasa. Anggap saja dia bunga, seperti bunga bonda. Bunga tiga bulan..."

"Hydrangea."

Terpana, sebelum sempat pula Aki bertingkah, Dhul Fiqar telah sedia melabuhkan duduk di hadapannya. Aki memberikan sebuah senyuman kelat. Tertanya-tanya sama ada jutawan itu memasang telinga mendengar celotehan resah daripadanya.

"Hydrangea senang ditanam. Elegan. Lebih senang ditanam pada musim luruh," menurutnya lagi.

Aki kembali gamam. Tidak tahu bagaimana harus memberi tindak balas kepada penyataan Dhul Fiqar itu. Dia menganggukkan kepala sahaja sambil terkenangkan pula kesalahan yang telah dia lakukan perihal temu janji itu.

"Tuan Dhul Fiqar sukakan bunga?"

Tiada respon. Melalui sepasang kaca mata hitam yang tidak memperlihatkan sebarang emosi itu, Aki dikerah meneka.

"Not really my thing."

Dingin. Justeru Aki mengepit pena di tangan. Kemas. Sebelum mengumpul kekuatan yang tidak dia punyai pada waktu itu.

"Aku minta maaf. Temu janji pada hari Sabtu itu dan terima kasih kerana tidak memberitahu Encik Harun tentang itu."

Andai Dhul Fiqar tersasul tentang pertemuan yang tidak berlaku pada hari Sabtu, dia bakal hancur. Betapa malu. Tidak seharusnya terjadi. Adakala dia mahu sahaja mencabut lari dan menggugurkan diri sendiri daripada cabaran biografi ini. Mungkin nanti dia akan menulis tentang Biografi Kebodohan Seorang Aki Maylea. Perihal bagaimana tugasan ini yang dikira mahu menjahanamkan karier penulisannya. Namun nyata dia sendiri yang menjunamkan diri ke gaung jahanam itu.

Taman Rahsia KhadijahWhere stories live. Discover now