Bab 8

13 0 0
                                        

AKI MAYLEA tercacang di hadapan gerai akhbar di kaki lima itu. Ratusan manusia berjalan melepasinya. Ada yang laju, ada yang perlahan, malah ada juga yang berlenggang sambil membawa tas dan lembaran akhbar untuk dibaca. Namun pandangan Aki Maylea terarah kepada satu wajah. Sebuah wajah yang masih asing dan kurang menyenangkan buatnya. Kali ini wajah perkasa itu terpapar pula di muka hadapan naskhah International Men. Aki mencebik bibir yang kering. Cemburu mungkin. Sedangkan dia masih di situ, setiap pagi mengelek dua cawan kopi milik orang.

"Tiadalah segak mana. Biasa-biasa," jujur dia berkata-kata.

"Aku juga fikir begitu."

Terpana. Melihatkan sahaja empunya badan yang berkata-kata itu, cawan kopi melurut dari pegangan. Namun tangkas pula disangga oleh sang jejaka di sampingnya. Aki meniup nafas yang berisi kekesalan. Kekesalan bercampur kebodohan buat entah ke berapa kali agaknya. Butir matanya hampir sahaja bergolek sendiri, melarikan aib yang membera di wajah.

"Aaa... oh..."

'Molek juga kiranya aku mati,' bisik hatinya. Yang berdiri di sampingnya itu, selepas lebih dua minggu menghilang ialah Dhul Fiqar. Kini muncul secara tiba-tiba pula. Apa dia sememangnya mahir membuat kemunculan tidak diundang sebegitu? Membuatkan jantung orang berdetak laju seperti terkenangkan hantu.

Kini dia yang tersipu-sipu sendiri.

"Jadi, sudah sedia?" tanya Dhul Fiqar di khalayak ramai sebegitu.

Aki terpinga-pinga. Selepas memalukan diri, dia tidak sanggup lagi berdepan dengan figura yang mendatangkan misteri itu. Jelas, jutawan itu seperti hantu. Datang tiada diundang, pergi tanpa disuruh pulang.

"Sedia? Selepas dua minggu lebih... Aku... Maaf..."

Dia berfikir sejenak. Jutawan itu ialah tugasannya. Ini bermakna jejaka itu ialah jambatan Aki demi menyeberangi lurah kejayaan dalam bidang penulisan. Itu impian Aki sekian lama. Apa yang memisahkan Aki dan tampuk kejayaan untuk menerbitkan sebuah karya sendiri, ialah jejaka ini. Ya, jutawan yang muncul secara tiba-tiba dan lesap secara tiba-tiba itu. Aki menggenggam jemari sendiri. Jadi tidak harus dia melahar api kemarahan. Sabar itu kelak ada hasilnya.

"Ya. Tapi, aku harus hantar minuman ini terlebih dahulu," katanya seraya tersengih kerang.

Terpandangkan sahaja nama yang terpapar di cawan kopi, Dhul Fiqar menganggukkan kepala kepada pembantunya, Hambali.

Cawan kertas itu bertukar tangan. Aki Maylea membontoti pergerakan Dhul Fiqar ke kereta tanpa alasan.

Selepas 20 minit mengharungi perjalanan yang sepi, akhirnya mereka tiba di sebuah rumah yang berlaman lapang. Kedua-duanya melabuhkan duduk di kerusi di laman itu. Aki tangkas mengeluarkan buku nota dan sebatang pena. Buat pertama kalinya dia melihat susuk Dhul Fiqar yang tampil tenang. Sepasang cermin mata yang tidak pernah lekang daripada wajahnya itu masih menyamari rasa-rasa yang tidak dapat Aki teka. Mahupun begitu, Aki sedaya upaya mengamankan perasaan sendiri. Gusar itu masih bersisa. Yang membuahkan bibit ketakutan langsung membuatkan Aki berkelakuan janggal. Walhal sebelum ini bukan dia tidak biasa bersemuka dengan doktor, peguam, ahli perniagaan malah segala macam orang.

Namun kali ini, subjek ini berlainan sekali. Bukan kerana kekayaan dan siapa dirinya malah ada sesuatu tentang jejaka itu. Sesuatu yang tidak dapat Aki baca. Subjek itu menjadi kegagalan Aki yang pertama. Tiada hantaran maklumat yang terpapar di fikirannya seperti yang berlaku dengan kebanyakan orang. Dhul Fiqar bagi Aki, kosong.

Sebagai seorang yang profesional dan banyak menulis tentang seseorang, Aki pantas mengendalikan emosinya sendiri. Namun apabila bersemuka dengan Dhul Fiqar di sebuah tempat yang begitu asing, hatinya pula tidak keruan. Umpama satu sistem penggera, secara automatik hatinya terusik lalu memaksa empunya badan merentik.

Taman Rahsia KhadijahTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang