Bab 11

11 0 0
                                    

HELAIAN buku itu seperti telah menelan dirinya. Matanya terkaku pada helaian yang sama sejak 10 minit lalu. Terngiang-ngiang di telinga, patah perkataan yang terpacul dari bibir Dhul Fiqar.

"Sekuat bunga ditiup angin katanya..."

Itu yang meniti di fikiran Aki semalaman. Buku itu ditolak sepi. Akhirnya tubuh Aki jatuh ke perbaringan. Helaian nota terselak memaparkan barisan catatan.

'Masih tertutup tingkahnya. Masih angkuh'.

'Tidak sudi memandang. Gementar'.

'Checkmate!'

'Pencinta alam. Tidak gemar dipanggil bos'.

'Akhirnya cermin mata itu dibuka. Menampakkan sepasang mata'.

'Coklat...seperti mata rusa'.

'Butir katanya dipetik daripada Ayat al-Quran'.

'Memberi tumpuan kepada aku.' Begitu pun perkataan 'aku' pada akhir catatan ini dirintang berkali-kali. Diganti dengan perkataan 'temu bual'.

'Hambali'.

Seakan dirasuk, dia sukar menumpukan perhatian. Tulisan terakhir itu membuatkan keningnya bersilang. Apa yang terlintas di fikiran saat patah kata itu tercatat di dada kertas. Dia cuba mengingati.

Aki akui pada temu bual yang sudah, ia berlalu dengan aman. Namun masih ada lohongnya. Ada sesuatu tentang Dhul Fiqar. Sementelah jejaka itu tidak dapat dia baca, maka cubaan Aki untuk merisik sebarang pengetahuan daripadanya kian sukar. Lantas dia menggaris nama Hambali.

"Jauhkan subjek daripada Hambali."

Hubungan antara Dhul Fiqar dan Hambali itu mendatangkan takjub kepada Aki. Setiap isyarat dan komunikasi rahsia antara mereka hanya memberikan buah fikiran baru kepada penulis itu. Bahawa Dhul Fiqar itu begitu bergantung kepada pembantunya Hambali. Tanpa Hambali, jejaka itu tempang. Aki kini gila akan sensasi sebuah jalan cerita. Cerita tentang isteri jutawan yang semahunya cuba didiamkan.

Satu e-mel dilayangkan buat Dhul Fiqar. Selepas pertemuan terakhir lalu, Aki kian haus. Haus dengan jalan penceritaan yang masih kabur hala tujunya namun bau-bau kemisterian itu yang menitip kelakuan Aki. Itu yang membuatnya penuh teruja. Dia mahu menggesa waktu, mempercepatkan masa. Seperti mana wartawan yang mengejar subjek dan sentiasa mengancam dengan bermacam soalan sensasi. Dia hanya penulis yang mahu menyelesaikan sebuah tugasan. Tugasan berat demi meletakkan dirinya ke puncak kejayaan. Harus Dhul Fiqar juga memahami bahawa penulisan itu kini menjadi keutamaan.

Adakalanya apabila dia di jalanan, di gerai akhbar mahupun di kedai kopi, dia seakan ternanti-nanti. Persona itu muncul entahkan dari mana, mengiringi Aki dan cawan-cawan kopi. Tersenyum dia seorang diri, menghamun kegeringan hati yang menuntut kehadiran Dhul Fiqar. Paku itu, paku yang tidak akan dia biarkan terbenam. Sejurus ingatannya melencong kepada seseorang.

"Penin."

Nama itu tersembur saat dia kerinduan. Benar, begitu dia merindukan Penin dan daerah itu. Daerah yang dikunjungi lembu dan kerbau. Sebuah daerah duka yang disorok jauh di dasar hati.

"Penin."

Dua kali nama itu bergema di tubir bibirnya. Rasa yang menyesak dada seakan bangkit perlahan. Setiap kali dia terkenangkan daerah suram itu, nama Penin pasti tersingkap sama. Namun kerinduan itu sering kali membuatkan dia sakit. Sakit kerana terusik dengan setiap kejadian masa silam. Dek kerana itu, nama Penin jarang sekali dibangkitkan. Dia tidak mahu menyeru sebuah nama yang bersamanya timbul kisah duka. Akan tetapi begitu jua nasib Penin itu. Dipinggirkan tatkala Aki tidak betah dilukakan oleh cerita lama.

Sekonyong-konyong satu notifikasi e-mel muncul di skrin telefon. Sejurus hatinya bagai diketuk seseorang.

Aku di Prague. Maaf sekiranya membuat kau ternanti-nanti. Sabtu hadapan, jam 9.00 pagi di rumah bukit. - Subjekmu

Jantungnya mula berlarian tidak sekata. Laju sebentar, kemudian perlahan semula. Selepas matanya melirik buat kali kedua membaca pesanan itu, detak jantungnya berlarian kembali. Laju.

Nama Penin perlahan-lahan sirna.

Senyuman lain mula terbit di wajah Aki Maylea. Sebuah senyuman yang menandakan hati girang. Akhirnya permintaan Aki berbalas. Malahan e-mel itu membuatkan dia tidak kering gusi. Tertawa-tawa umpama orang yang bertemu bahagia. Perkataan 'subjek' yang digunakan Dhul Fiqar itu yang menjadi punca.

Maaf Dhul Fiqar. 9.00 pagi terlalu awal. Jika boleh dilewatkan sedikit masa. - Objekmu

Dia menekan butang hantar. Seraya mengekek dengan tawa yang masih bersisa. Perkataan 'objek' ditulis sebagai balasan kepada 'subjek' yang digunakan oleh Dhul Fiqar. Malangnya jadual masa pukul 9.00 pagi tidak dapat dia penuhi. Dia mengambil kira jarak perjalanan yang harus ditempuhi untuk ke kediaman Dhul Fiqar dan arusan trafik yang pasti sesak pada hari minggu. Tidak lama menunggu, sebelum dia menerima balasan daripada Dhul Fiqar.

Maaf, aku perlu berada di Shanghai pada hari yang sama. Kalau begitu, aku menjemput kau untuk bermalam sahaja di rumah bukit. - Subjekmu

"Ya Tuhan, jika kita berterusan bermaafan begini, raya bakal tiba awal tahun ini."

Dia berdekah lagi. Sementara fikirannya berputar ligat mengambil kira undangan Dhul Fiqar untuk bermalam di kediamannya. Kecut hatinya memikirkan diri keseorangan di rumah asing. Tidak bertemankan sesiapa melainkan seorang jutawan yang sekadar dikenali melalui temu bual sahaja. Aki merinding lagi. Sejurus kedua tangan memeluk erat tubuh.

Tidak perlu. OK, Sabtu 9.00 pagi.

- Objekmu

Keputusannya muktamad.

Begitu sahaja perkara itu menjadi judul perbicaraan di meja kopi. Harus dia khabarkan kepada teman seperjuangan, Khalid.

"Brrrr!"

Tersembur air yang ditogok Khalid memercik ke tepian meja. Betapa teman itu terkejut. Walhal Aki pula berwajah tenang. Tiada menampakkan sebarang perasaan tentang undangan Dhul Fiqar itu.

"Kenapa kau tolak? Patut kau terima saja."

Naskhah majalah di tangan dihentak mengenai kepala Khalid. Sejurus si teman itu tertawa melihatkan tingkah laku Aki yang terusik dengan kata-katanya sebentar tadi.

"Kau rugi Aki. Tahu? Kau sudah lepaskan peluang keemasan. Untung badan boleh menjadi isteri jutawan."

Bibirnya mencebik demi mematahkan pendapat liar Khalid yang kurang berasas itu. Namun sejurus itu juga dia terdiam. Perkataan 'isteri' itu membuatkan dia terdiam. Mengenangkan siapa gerangan si isteri, yang pasti menjadi suri di hati Dhul Fiqar. Demikian, ketidaktahuan menyeksa Aki Maylea. Memasung tubuhnya tinggi di mercu ketidakpuasan hati. Dia menggigit kuku jari. Berdetar hatinya yang kini membayangkan cerita-cerita perihal Dhul Fiqar itu telah mengusai dirinya tanpa dia sedari. 

Taman Rahsia KhadijahWhere stories live. Discover now