Bab 1

29 2 0
                                    

ADA yang bermula namun tidak pernah berakhir. Buku hijau pemberian ayah itu masih tersisip kemas di simpanan. Namun ceritanya sudah berdarah. Meskipun ada kematian, kisahnya masih tidak bernoktah. Sepertinya tidak akan berakhir selagi Aki Maylea merodong jalan cerita yang dibauri kehilangan dan manusia yang menyembunyikan rupa dan tingkah. Pada tahap ini Aki Maylea percaya, sebuah nama adalah pemula segalanya. Selepas siri-siri kematian tiga tahun sudah, hukum adat kehidupan tersemat sebagai pegangan. Tidak mahu kehilangan, selamatkan semuanya. Tidak ingin buta dipermainkan manusia yang menyorok wajah dan perlakuan, Aki hanya mempunyai satu cara. Cara yang tersemat di tangan kanan yang kini bersarung hitam.

Matahari menjatuhkan layar cahayanya yang terakhir. Lalu kehitaman menyusup menukar suasana yang kini gelita. Aki Maylea menyoroti ketidaktahuan di lorong itu. Matanya sedaya upaya mengekang kegelapan, mengesan apa sahaja yang mendatangkan curiga. Mustahil untuk tidak buta bilamana dikelilingi sebuah suasana yang ditelan cahaya.

Tangan itu dilurut perlahan. Sedari tadi dia mengesan sesuatu. Ada manusia yang mengelit pantas di sampingnya. Yang menyusun kata namun tidak menyatakan rasa sebetulnya. Lalu bergetaran tangan kanan yang kini kemas bersarung hitam. Yang berpilin di tangan itu kini adalah keresahan, hanya akan menggeletar seperti dikejar anjing gila. Andai tidak kerana sekeping artikel untuk diserahkan kepada seorang ketua pada esok hari, lorong hitam itu tidak mungkin dijejaki.

Gelap. Sunyi.

Kepala Khalid terjongol dari lubang tingkap kereta yang terbuka.

"Dia sudah datang!"

Kedua mereka melangkah keluar. Seorang lelaki terhuyung-hayang meniti langkah di atas tubir longkang yang cemar. Berpakaian lusuh segala, wajahnya tidak kelihatan. Sebiji topi besbol di kepala melengkapi watak misterinya di lorong nan gelita.

Tanpa memperkenalkan diri lelaki itu menjembakan tangan ke arah Khalid, sebelum tangan itu memanjang menghulur salam ke arah Aki. Tidak bersambut, sekadar dijeling dengan ekor mata.

"Jangan ambil hati. Dia tak bersalam dengan orang," terang Khalid tanpa dipaksa.

Lelaki itu tersenyum sinis. Dari atas ke bawah dia mengukur peribadi teman kepada Khalid itu. Aki sekadar memerhati urusan mereka berdua tanpa mencampuri. Tangan gharib itu tidak lagi menyentuh orang sebarangan. Keistimewaan yang tergenggam di tangan itu bagaikan satu malapetaka. Tangan itu adalah satu lohong kesedaran intuitif yang mencetuskan gerak hatinya.

Yang menjadi gerbang menyisip kehidupan mana-mana jiwa yang disentuhnya. Malah setiap kali tangan itu menggeletar, siri-siri hitam dan tragis yang memburuk di pangkal pohon hujan-hujan itu langsung tersiar.

Lelaki itu mendekati Khalid. Lalu separa berbisik dia bersuara, "14, Apartmen Tropikana. Pablo."

Mata Khalid menyala. Sinaran mata yang mengatasi kegelapan malam yang kian menyorot rasa. Rasa curiga Aki terhadap seorang teman kini menyelinap mempengaruhi pertimbangannya. Tiadalah dia hairan dengan lelaki misteri itu. Malah peribadinya dapat ditelah dengan mudah oleh Aki. Berpejam mata juga dia dapat menghalusi lelaki itu tanpa jerih. Hanya dengan meneliti mata, raut wajah dan menilik bahasa tubuh, maka dapat Aki membuat kesimpulan ringkas tentang seseorang. Dek kerana itu Aki terlalu sensitif dengan tingkah manusia. Perincian dan isyarat itu secara langsung terpapar di minda sekiranya dia menumpukan sepenuh perhatian.

Pemerhatiannya tertumpu kepada Khalid. Yang gelisah, bergemuruh dalam berkata itu ialah seorang teman yang menyembunyikan rasa. Pandangan yang sering dilarikan dan sukar bertemu itu menandakan satu perkara. Ada sesuatu yang dia sembunyikan daripada Aki.

"Kau lambat," balas Khalid kepada lelaki itu.

Lelaki itu memalingkan wajahnya ke belakang. Seakan-akan berwaspada andai ada yang mencuri kata. Tangannya menyapu wajah.

Taman Rahsia KhadijahWhere stories live. Discover now