BAB 2

38 8 0
                                    

Pada suatu pagi, dia sedang menyemak jadual pemeriksaan apabila pegawai senior Iskandar memasuki bilik. "Elena, saya nak perkenalkan beberapa pegawai baru yang akan bertugas di sini."

Elena mengangguk. "Baiklah. Terima kasih, Iskandar."

Namun, saat dia melihat tiga pegawai baru yang diperkenalkan, jantungnya berdegup kencang. Salah seorang daripada mereka adalah Luth Rayyan. Lelaki yang dia kenali dulu. Lelaki yang pernah menjadi pusat hidupnya, sebelum meninggalkannya tanpa sebarang penjelasan. Wajah yang penuh dengan kenangan manis, namun juga pahit.

Luth Rayyan berdiri di sana, kelihatan tenang dan yakin. Dia masih kelihatan seperti dahulu, tetapi dengan sedikit perubahan—lebih matang, lebih berkeyakinan, dan mungkin lebih jauh.

Elena merasakan seluruh tubuhnya menjadi tegang. Tangannya hampir menggigil, tetapi dia berusaha untuk berlagak biasa.

"Selamat datang, Pegawai Luth Rayyan," kata Iskandar sambil memandang Elena seolah-olah memintanya mengesahkan rekod perubatan pegawai baru itu.

Dengan nafas yang dalam, Elena mengangkat kepalanya dan bersikap profesional. "Selamat datang, Pegawai. Saya Dr. Elena, bertugas di sini sebagai doktor maktab. Jika ada keperluan, boleh rujuk kepada saya."

Mata Luth Rayyan bertemu dengan mata Elena. Sekilas pandang itu penuh dengan kisah yang tidak terungkap. Dia tidak berkata apa-apa, hanya mengangguk.

Selepas pertemuan itu, Elena berlari ke bilik rawatannya. Dia cuba menenangkan dirinya, bersembunyi di sebalik kertas kerja dan rekod perubatan. "Kenapa dia di sini? Kenapa sekarang?" bisiknya dalam hati. Dia tidak tahu bagaimana untuk menghadapi kenyataan ini—bahawa lelaki yang pernah menghancurkan hatinya kini bekerja di tempat yang sama dengannya.

Ketika makan tengahari, Hana dan Farah perasan kegelisahan Elena. "Elena, kau okay tak? Sejak perkenalan tadi, kau nampak macam tak fokus," tanya Hana, matanya penuh dengan kerisauan.

Elena cuba tersenyum. "Aku... aku okay. Cuma tak sangka dengan pegawai baru tu," jawabnya pendek.

Farah, yang sentiasa peka, merenung wajah Elena dengan curiga. "Luth Rayyan tu... kau kenal dia ke?"

Elena memandang ke arah Farah, cuba mencari jawapan yang sesuai. "Ya... dia seseorang dari masa lalu aku." Elena akhirnya mengaku, walaupun cuba mengelak terlalu banyak berkongsi.

Hana dan Farah terdiam sejenak, menghormati privasi Elena. Namun, mereka tahu ada sesuatu yang berat di hati rakannya itu.

Hari-hari selepas itu tidak mudah bagi Elena. Setiap kali dia melihat Luth Rayyan, perasaan lama kembali menghantui. Setiap langkah, setiap suara lelaki itu membuatkan luka lama berdarah semula. Namun, Elena bertekad untuk tidak membiarkan masa silam menghancurkan hidupnya lagi. Dia tidak mahu kelihatan lemah, apatah lagi di hadapan Iskandar yang selalu bersikap prihatin terhadapnya.

Namun begitu, di satu sudut hatinya, dia tidak dapat menafikan ada sesuatu yang tidak pernah selesai antara dia dan Luth Rayyan.

Beberapa hari selepas pertemuan pertama dengan Luth Rayyan, Elena berusaha sebaik mungkin untuk menjalani tugasnya seperti biasa. Dia fokus pada pesakit-pesakitnya dan cuba untuk tidak terlalu memikirkan lelaki itu. Namun, semakin dia cuba mengabaikan kehadiran Luth Rayyan, semakin jelas bayangan masa silam menghantui fikirannya.

Pagi itu, Elena sedang memeriksa seorang anggota tentera yang cedera ketika Iskandar datang menghampiri. "Elena, nanti selepas tugas kau selesai, ada mesyuarat kecil untuk pegawai-pegawai baru. Boleh tak kau hadir?" Iskandar bertanya dengan nada lembut tetapi serius.

Elena mengangguk. "Boleh, saya akan datang."

Petang itu, ketika dia melangkah masuk ke dalam bilik mesyuarat, Elena dapat merasakan jantungnya berdegup kencang. Di hadapannya, Luth Rayyan duduk bersama dua pegawai baru lain, Faiz dan Haris. Iskandar sedang bercakap dengan mereka, memberikan arahan dan tugasan baru.

Sepanjang mesyuarat, Elena cuba menumpukan perhatian kepada perbincangan, namun setiap kali Luth Rayyan mencuri pandang ke arahnya, dia dapat merasakan darahnya mengalir deras. Dia tidak boleh menafikan bahawa lelaki itu masih memberi kesan kepadanya, walaupun segala yang berlaku di antara mereka sudah lama berlalu.

Selepas mesyuarat selesai, Elena cepat-cepat beredar dari bilik itu, tetapi sebelum dia sempat keluar dari pintu, suara yang dia cuba hindari selama ini memanggilnya.

"Elena," suara Luth Rayyan kedengaran, lembut dan penuh pengharapan.

Elena berhenti sejenak, memejamkan mata untuk mengumpul kekuatan sebelum menoleh. "Ya?"

Luth Rayyan berjalan mendekatinya, berdiri beberapa langkah dari Elena. "Saya tak sangka akan jumpa awak di sini..." katanya dengan nada rendah.

Elena cuba berlagak tenang. "Ya, saya pun tak sangka."

"Kita perlu bercakap, Elena. Saya tahu ada banyak yang belum selesai antara kita," kata Luth Rayyan, pandangannya penuh penyesalan. "Saya... saya nak jelaskan semuanya."

Elena menggeleng kepala perlahan. "Tak ada apa yang perlu dijelaskan, Luth. Apa yang berlaku dulu... itu sudah berlalu. Saya dah teruskan hidup."

Luth Rayyan diam seketika, seolah-olah mencari kata-kata yang tepat. "Saya tahu saya banyak salah dulu. Tapi percayalah, saya tak pernah bermaksud untuk tinggalkan awak tanpa penjelasan. Saya terpaksa..."

"Saya tak mahu dengar alasan, Luth. You cheated on me twice and enough. Berhenti muncul di hadapan saya dan berkomunikasi dengan saya," Elena memotong kata-katanya dengan nada yang lebih tegas. "Apa yang awak buat dulu, dah cukup untuk musnahkan hidup saya."

Dia berundur sedikit, tidak mahu terperangkap dalam perasaan yang mula membuak-buak di dalam dirinya. "Saya ada kerja. Kalau awak nak teruskan perbualan ini, maaf, saya tak ada masa."

Elena terus melangkah keluar, meninggalkan Luth Rayyan di situ dengan perasaan bercelaru. Dia tahu dia harus menutup bab lama itu, tetapi kehadiran lelaki itu di sini membuatkan semuanya lebih sukar daripada yang dia sangka.

Pada malam yang sama, Elena berbaring di katilnya, matanya terpaku pada siling. Dia memikirkan semua yang berlaku sepanjang hari. Fikiran tentang Luth Rayyan dan masa lalu mereka terus bermain di mindanya. Tetapi dalam kekeliruan itu, ada sesuatu yang lain yang mengganggu fikirannya—Iskandar.

Elena mengakui kepada dirinya sendiri bahawa Iskandar adalah seseorang yang berbeza. Sikap tenang dan perhatian lelaki itu membuatkan Elena rasa selesa, sesuatu yang dia tidak rasakan sejak Luth Rayyan meninggalkannya. Dia mula tertanya-tanya, adakah Iskandar hanya sekadar rakan sekerja? Atau ada sesuatu yang lebih mendalam sedang terbina antara mereka?

Beberapa hari kemudian, Elena menjalankan tugas di klinik apabila Iskandar muncul sekali lagi. "Elena, boleh kita berbual sekejap?"

Elena melihat wajah Iskandar yang serius tetapi masih mesra. Dia mengangguk, menjemputnya masuk ke dalam pejabatnya. "Ada apa yang awak nak cakap?"

Iskandar duduk berhadapan dengannya, kelihatan sedikit ragu-ragu sebelum membuka mulut. "Saya perasan, sejak pegawai baru masuk, awak nampak sedikit... terganggu. Saya tak nak masuk campur, tapi kalau ada apa-apa yang saya boleh bantu, awak boleh beritahu saya."

Elena terdiam, terharu dengan keprihatinan Iskandar. Dia tahu Iskandar tulus dalam perhatiannya, tetapi Elena tidak mahu melibatkan orang lain dalam masalah peribadinya.

"Saya okay, Iskandar. Cuma... ada beberapa perkara peribadi yang saya kena uruskan. Tapi terima kasih sebab prihatin."

Iskandar menatap Elena dengan pandangan yang sukar dibaca. "Kalau awak perlukan apa-apa, saya ada di sini."

Selepas Iskandar berlalu pergi, Elena menghela nafas panjang. Dia tahu dia tidak boleh lari selama-lamanya daripada Luth Rayyan, tetapi pada masa yang sama, dia tidak mahu terbeban dengan perasaan lama yang menyakitkan. Dan dalam kekusutan itu, muncul pula kehadiran Iskandar yang semakin mendekatkan diri dengannya.

𝐓𝐀𝐊𝐃𝐈𝐑 𝐓𝐄𝐑𝐂𝐈𝐏𝐓𝐀  [𝐎𝐆]Where stories live. Discover now