BAB 5

18 5 0
                                    

Malam semakin larut, dan suasana di bilik Elena terasa sunyi. Dia duduk di sisi katil, termenung memandang sejadah yang sudah terbentang di hadapannya. Fikirannya bercelaru, hatinya berbolak-balik antara perasaan yang tidak mampu dia tafsirkan. Iskandar. Nama itu seringkali muncul di benaknya, bersama persoalan yang tak terjawab.

Elena menghela nafas panjang, merasakan keperluan untuk mencari jalan keluar daripada kekeliruan yang membelenggu hatinya. Dia tahu hanya satu sahaja cara yang bisa memberinya petunjuk yang jelas – solat istikharah. Solat yang diajar dalam agama sebagai panduan untuk mereka yang sedang keliru, mereka yang sedang mencari jawapan.

Dia bangun perlahan, mengambil wudhu' dengan hati yang penuh pengharapan. Saat air menyentuh kulitnya, ada sedikit kelegaan di hati, seakan bebanan itu sedikit terangkat. Elena berdiri di atas sejadah, memulakan solatnya dengan penuh khusyuk. Setiap ayat yang dilafazkannya terasa dekat di hati, seolah-olah dia sedang berbicara terus dengan Tuhan, memohon petunjuk dan kekuatan.

Selesai solat, Elena berdoa dalam hati, suaranya perlahan, tapi penuh harapan.
"Ya Allah, andai dia yang terbaik untukku, dekatkanlah hatiku padanya. Andai bukan, jauhkanlah perasaanku darinya dan tunjukkanlah aku jalan yang lebih baik."
Air mata bergenang di pipinya tanpa disedari. Doa itu lahir dari dalam hati, dan Elena benar-benar berharap agar Tuhan memberikan petunjuk yang jelas kepadanya.

Malam itu, Elena tidur dengan hati yang masih berdebar. Dalam mimpi, bayangan Iskandar muncul, tetapi kali ini dalam situasi yang berbeza. Mereka tidak lagi keliru, tidak lagi bertanya-tanya. Ada ketenangan dalam pertemuan mereka, seolah-olah segala kekusutan perlahan-lahan terlerai.

Pada hari-hari berikutnya, Elena mula perasan perubahan kecil dalam hidupnya. Setiap kali dia bertemu Iskandar di akademi, ada rasa tenang yang mula menyelubungi dirinya. Mereka tidak banyak berbicara, tetapi senyuman kecil yang dilemparkan Iskandar membuatkan jantungnya tidak lagi berdebar seperti dulu. Dia teringat akan doanya – adakah ini petunjuk dari Tuhan?

Namun, kekeliruan masih ada. Elena mula memerhatikan lebih teliti setiap perkara yang berlaku di sekelilingnya.

Suatu hari, rakan sekerjanya, Dr. Zara, bertanya dengan nada berseloroh, "Kau tak pernah fikir nak kahwin ke? Aku rasa dah sampai masa kau jumpa seseorang yang sesuai."

Elena tersenyum nipis. "Mungkin. Tapi aku masih belum pasti siapa yang sesuai." Dia teringat akan Iskandar, tetapi memilih untuk diam.

Malam itu, sebelum tidur, Elena teringat kembali akan solat istikharah yang dilakukannya. Mungkin Tuhan belum memberikan jawapan yang jelas, tetapi dia mula merasakan hatinya semakin lapang. Dia tahu, mungkin proses ini memerlukan masa.

Dan dia perlu bersabar.

"Kenapa aku tak boleh lupakan dia?" bisiknya perlahan. Dia menggenggam tangannya, mencari kekuatan untuk melangkah. Sudah lama dia cuba menjauhkan diri daripada perasaan itu, tetapi semakin dia cuba, semakin hatinya meronta.

Saat berganti saat nama lelaki itu tidak pernah tinggal dari fikirannya. "Aku boleh teruskan hidup tanpa lelaki disisi bukan? Bukan engkau dah janji dengan diri engkau yang engkau tidak percaya dengan cintakan Elena?" Bisik hatinya, dia memandang ke arah meja. Telefon bimbitnya berbunyi, paparan nama abangnya. Idris Ehsan.

Sebaik sahaja dia melihat nama abangnya itu, dia menarik nafas panjang sebelum mengangkat panggilan telefon itu.

"Assalamualaikum abang." Kata Elena lembut, hatinya terasa berat secara tiba - tiba. "Waalaikumusalam. Elena sihat ke?" Suara abangnya lembut. Ehsan merupakan seorang abang yang sangat baik dan sentiasa prihatin kepada keluarganya.

"Sihat, Alhamdullilah. Elena cuma penat bekerja sahaja di sini, banyak tugas yang perlu diselesaikan," Elena mengeluh berat, Ehsan mendengar keluhan adiknya itu.

𝐓𝐀𝐊𝐃𝐈𝐑 𝐓𝐄𝐑𝐂𝐈𝐏𝐓𝐀  [𝐎𝐆]Where stories live. Discover now