Bunga Aurellia ( 1 )

641 30 5
                                    

“TAK payah nak belikan Zara itu ini, budak tu bukannya tahu nak hargai apa yang kita bagi. Lama-lama Abang layan baik macam ni, makin naik kepala pula dia. Sekarang pun perangai dia dah buat saya sakit hati.”

Sehelai gaun ala-ala barbie ditepis dari tangan Akram. Riak wajah Adeeba seolah-olah menyampah bila Akram tidak habis-habis mahu membelikan Zara pelbagai hadiah. Sudahlah harga baju-baju yang dipegang Akram semuanya mahal-mahal belaka. Adeeba pun berfikir dua tiga kali saat mahu mengambil baju-baju berjenama didepannya saat ini. Menelek harga baju saja sudah buat mata Adeeba terbeliak luas.

“Ish awak ni. Ini kan bahagian dia. Abang cuma nak bagi keselesaan dekat Zara. Dia sekarang berada di bawah tanggungjawab kita. Semua baju yang Abang beli ni bukannya pakai duit kita pun. Satu sen pun Abang tak keluarkan duit dari dompet Abang."

Akram ambil semula gaun yang ditepis Adeeba tadi. Mulut Adeeba yang terkumat kamit itu buat Akram geram. Mereka sekarang sudah menjadi tontonan beberapa pasang mata. Akram malu kalau Adeeba buat perangai dekat sini.

“Itu sajalah jawapan Abang. Budak tu lambat lagi nak membesar. Banyak lagi belanja yang kita kena tanggung untuk bagi dia makan pakai. Kalau dah Abang boros macam ni, lambat laun duit Abang juga yang akan tanggung budak tu.” bebelan Adeeba disertakan dengan cebikan geram.

Akram gelengkan kepala. Semakin hari perangai Isterinya semakin menjadi-jadi. Zara yang sudah menjadi anak yatim piatu pun masih lagi membuat Adeeba dengki. Padahal Zara itu anak saudara Adeeba juga.

“Abang tak akan miskin kalau setakat nak bagi anak yatim piatu macam Zara tu makan pakai.” sembur Akram tepat didepan muka Adeeba.

Jenuh Akram mahu melayan isterinya. Sudahnya Akram berlalu dengan membawa beberapa helai gaun yang sudah dipilihnya tadi.

Adeeba merengus. Kalau pasal Zara saja Akram selalu begitu. Entah apa mantera yang sudah budak sekecil Zara itu buat pada suaminya. Tengoklah sekarang, Akram tak segan-segan sindir dia depan-depan.

Usai membayar, Akram berjalan semula kearah Adeeba. Ada dua beg plastik kertas ditangannya. Adeeba yang pada awalnya mahu protes terpaksa mengalah bila Akram menonong saja berjalan pergi tanpa mengajaknya. Dengan hentakan kaki Adeeba membuntuti Akram bersama perasaan marah. Sampai begitu sekali Akram mengabaikannya.

“Tak payah nak buat perangai muncung macam tu sekali. Kalau awak masih nak bermasam muka dengan Abang, balik saja jalan kaki.” ujar Akram ketika kedua-duanya menginjakkan kaki ke arah tempat letak kereta.

Muka Adeeba cemberut. Adeeba mahu merajuk, tetapi mendengarkan saja Akram akan tinggalkan dia dan balik berasingan, terus riak muka berubah tidak semasam tadi.

“Sejak Zara tu datang Abang selalu layan saya macam saya ni tak wujud depan Abang. Pantang bercakap tak elok pasal Zara sikit mulalah Abang nak melenting macam ni. Ingat sikit saya ni masih isteri Abang. Zara tu tak ada setitik darah pun dengan saya.” pintu kereta dibuka. Adeeba peluk tubuh lantas muka ditarik lebih masam lagi.

Akram mengeluh. Dia hanya mampu terdiam disaat mengingat status Zara dan Adeeba. Memang kedua-duanya tidak mempunyai pertalian darah walau setitis pun. Namun Akram masih ada hati yang isinya penuh dengan rasa simpati. Tidak mungkin Akram sanggup melihat Zara dibiarkan terkapai-kapai tanpa pengawasan orang dewasa.

Sekurang-kurangnya Zara kenal mereka sebagai bapa dan emak saudara. Ahli keluarga yang masih ada untuk menjaga dan merawat Zara sehingga anak perempuan itu tumbuh dewasa nanti.

“Awak yang bersikap tak matang-matang. Zara tu amanah arwah Abang Long dengan Kak Long yang patut kita jaga. Abang tahulah awak tu tak ngam dengan Kak Long, tapi janganlah sampai ke anak dia sekali awak nak jadikan musuh. Budak sekecil Zara tu dia mana tahu apa-apa.”

Bunga AurelliaWhere stories live. Discover now