< BAB 1 (Edited) >

328 12 0
                                    

Gelombang lautan menggulung, menghempas kuat di lambung kapal perang milik Tentera Laut Diraja Malaysia. Di tengah-tengah keheningan malam yang hanya diterangi bintang-bintang dan pancaran samar bulan, Kapten Taufiq berdiri gagah di atas dek kapal, memandang jauh ke arah lautan yang seakan tidak berpenghujung. Lengannya yang berotot disilangkan di dada, wajahnya serius, dan matanya tajam mengawasi setiap inci horizon.

Sejak usia muda, Taufiq telah dilatih menjadi seorang pejuang sejati. Kepimpinannya yang tegas dan keberaniannya yang luar biasa menjadikannya ketua pasukan Paskal yang sangat dihormati. Setiap keputusan yang diambilnya bukan sahaja menentukan keselamatan anak buahnya, malah masa depan negara tercinta. Di usia 27 tahun, dia sudah melalui lebih banyak misi berbahaya berbanding ramai yang sebayanya. Dan malam ini, sebuah lagi misi menanti mereka.

Mereka sedang dalam perjalanan menuju ke satu koordinat rahsia di perairan antarabangsa, di mana terdapat laporan tentang aktiviti lanun yang semakin menjadi-jadi. Kapal perang KD Pahang meluncur laju, membawa harapan dan keyakinan untuk mengembalikan keamanan di lautan yang luas ini.

"Semua anak kapal, sedia di posisi masing-masing. Ini bukan misi latihan, ini misi yang sebenar." suara tegas Taufiq bergema melalui sistem interkom kapal. Segala persediaan telah dilakukan dengan rapi, dan setiap anggota telah diingatkan tentang tanggungjawab mereka.

Seorang lelaki berusia pertengahan 30-an dengan wajah yang tenang namun penuh karisma, berdiri di sisi Taufiq. Nama panggilannya di kalangan rakan-rakan adalah Yusof dengan kod namanya, Harpoon , dikenali kerana sikapnya yang sentiasa steady dan tidak mudah melatah walaupun dalam situasi tegang. Tanpa menoleh, dia bersuara perlahan tetapi jelas.

"Kapten, saya baru sahaja menerima laporan dari radar. Ada kapal yang tidak dikenali sedang bergerak pantas ke arah kita. Mereka telah menembak amaran."

Taufiq mengerutkan dahi, namun ekspresinya tetap tenang. Dalam detik-detik genting seperti ini, dia perlu kekal fokus dan tidak menunjukkan sebarang tanda kelemahan. "Berapa jauh lagi mereka dari kita?"

"Lebih kurang lima batu nautika, Kapten. Mereka mendekati dengan laju." Yusof menatap wajah ketuanya dengan keyakinan, bersedia menerima apa sahaja arahan yang akan diberikan.

Taufiq berfikir sejenak. Ini bukan masa untuk panik. Dia perlu bertindak cepat dan tepat. "Baiklah, kita tidak boleh biarkan mereka terus mendekat. Pastikan semua bersedia untuk pertempuran. Arahkan pasukan tempur bersedia di bahagian hadapan dan tengah kapal. Kita akan berpisah mengikut formasi standard."

Yusof mengangguk, segera menghantar arahan melalui alat komunikasinya kepada semua anak kapal. Ketegangan mula terasa di segenap penjuru kapal. Suara-suara anggota yang sedang mengisi peluru dan memeriksa senjata bergema di setiap sudut.

"Pasukan satu, ambil posisi di hadapan! Pastikan senjata siap untuk menembak bila-bila masa. Pasukan dua, lindungi bahagian tengah. Jangan beri ruang untuk mereka mendarat di atas dek!" Taufiq memberi arahan dengan nada yang tidak sedikit pun goyah.

Beberapa detik berlalu dengan perlahan, seolah-olah masa berhenti bergerak. Kedua-dua kapal semakin mendekat. Suara deruan enjin yang semakin kuat memberi isyarat bahawa pertembungan tidak dapat dielakkan.

"Kita akan berdepan mereka dengan penuh strategi," Taufiq berkata tegas. "Jika mereka menyerang, kita balas dengan serangan yang lebih hebat. Ingat, keselamatan anak kapal adalah keutamaan kita." Tambahnya.

Anggota Paskal yang berjumlah tidak ramai tetapi sangat terlatih itu segera bergerak ke posisi masing-masing. Tiada seorang pun yang menunjukkan rasa gentar. Mereka semua telah dilatih untuk situasi seperti ini. Senjata ditangan, kalimah Allah dimulut. Mereka bersedia mempertahankan kapal mereka dan juga kedaulatan perairan negara mereka.

PASKAL : Love Beyond the Waves (OG)Where stories live. Discover now