< Bab 4 >

166 5 0
                                    

Sejak pertembungan pendapat antara Taufiq dan Hayyan, suasana di pangkalan semakin tegang. Apa yang bermula sebagai ketidaksefahaman kini bertukar menjadi perpecahan nyata dalam kalangan anggota. Hayyan, dengan karisma dan kepetahannya, semakin berjaya mempengaruhi ramai anggota untuk menyertai kumpulannya. Dengan menawarkan janji-janji tentang kehidupan yang lebih baik, peluang untuk mendapat ganjaran lebih besar, serta kestabilan kewangan, dia menarik ramai yang mula goyah kesetiaan mereka terhadap Taufiq.

“Apa yang kita dapat selama ini? Pengorbanan nyawa, masa jauh dari keluarga, tapi apa ganjaran kita?” Suara Hayyan lantang mengisi ruang di bilik mesyuarat yang kecil itu. Beberapa anggota yang berkumpul di situ mengangguk setuju, wajah mereka menunjukkan ketidakpuasan hati yang jelas.

“Kita perlukan lebih daripada sekadar ucapan terima kasih dan pingat!” Hayyan menambah, menyemarakkan lagi perasaan yang membara di kalangan mereka.

“Kalau kau rasa macam tu, kenapa kau masih ada kat sini?” tanya salah seorang anggota, Ahmad, yang kelihatan agak ragu-ragu. Dia bukan jenis yang mudah dipengaruhi, tetapi kata-kata Hayyan membuatkan dia berfikir.

“Kerana aku percaya kita layak untuk lebih dari ini. Aku ada jalan, aku ada rancangan, tapi aku perlukan sokongan korang semua.” Hayyan mengukir senyuman penuh makna, pandangannya tajam menikam ke arah setiap orang di bilik itu. “Dengan kita semua bersatu, kita boleh buat perubahan. Kita tak perlu lagi tunduk dengan perintah yang tak memikirkan kebajikan kita.”

Beberapa anggota mula kelihatan terpengaruh, masing-masing mula memikirkan tentang apa yang dikatakan oleh Hayyan. Ramai di antara mereka yang sebenarnya merasakan beban berat menjadi seorang anggota elit Paskal. Pengorbanan yang dibuat, risiko yang diambil, semuanya kadang-kadang terasa tidak setimpal dengan apa yang mereka perolehi.

Di luar bilik mesyuarat, Taufiq yang sedang berjalan menuju ke pejabatnya tidak sengaja terdengar perbualan tersebut. Hatinya bagai ditusuk sembilu. Selama ini, dia menganggap kesetiaan pasukan adalah sesuatu yang tidak akan goyah, tetapi kini dia melihat dengan mata kepala sendiri bagaimana pengaruh Hayyan meresapi fikiran mereka.

Dia tahu, situasi ini semakin serius. Dia tidak boleh membiarkan perkara ini berlarutan. Taufiq mengatur nafas, cuba menenangkan dirinya sebelum melangkah pergi. Dia perlu mencari jalan untuk menyatukan kembali pasukan ini sebelum segalanya musnah.

---

Di kantin pangkalan, Taufiq bertemu dengan Ridzuwan dan Iskandar. Wajah mereka kelihatan cemas, sama seperti yang Taufiq rasakan.

“Ada yang tak kena, Taufiq. Aku dengar ramai anggota mula menyebelahi Hayyan. Aku tak tahu apa yang dia janjikan, tapi ramai yang mula menyokong dia,” kata Ridzuwan, suaranya penuh dengan kegusaran.

“Aku tahu. Aku dengar sendiri apa yang dia katakan tadi. Dia berjaya buatkan ramai orang ragu dengan arah tuju pasukan kita. Aku tak sangka keadaan boleh jadi macam ni,” balas Taufiq dengan nada hampa.

Iskandar memandang Taufiq, cuba menenangkan sahabatnya itu. “Kau kena buat sesuatu, Taufiq. Kita tak boleh biarkan dia terus meracuni fikiran orang-orang kita. Kau ketua, mereka perlu tahu kenapa kita di sini dan kenapa kita buat apa yang kita buat.”

“Aku akan cuba. Tapi aku tak pasti macam mana nak hadapi semua ini. Hayyan bijak bermain dengan kata-kata. Kalau aku buat silap, mereka semua akan hilang kepercayaan pada aku.” Taufiq mengeluh perlahan. Dia merasa dirinya terhimpit dalam situasi yang sukar, antara cuba mempertahankan prinsip dan menjaga keutuhan pasukan.

“Aku rasa kau kena buat pertemuan terbuka dengan semua orang. Jelaskan apa yang kita perjuangkan. Kalau ada yang tak setuju, biar mereka buat keputusan mereka sendiri, tapi sekurang-kurangnya kita tahu siapa yang masih bersama kita,” cadang Iskandar.

PASKAL : Love Beyond the Waves (OG)Where stories live. Discover now