"MACAM mana boleh cuai, Badrina?" Soal Ray pada pembantu peribadinya itu. Tajam pandangannya menghunus gadis itu tetapi Badrina hanya kekal menunduk.
"Saya minta maaf, Encik Ray. Saya ingatkan lepas Laura berhenti, Encik Ray dah tak perlukan private housekeeper lagi jadi saya suruh pihak HR untuk turunkan iklan tu," jawab Badrina cukup perlahan. Tubuhnya agak menggigil, lagi-lagi tatkala mendengar namanya diseru oleh Ray dengan suara bekunya itu.
"Ada saya suruh?" Soalan dibalas kembali. Jelas dia tidak puas hati dengan jawapan gadis itu.
"Tak ada." Geleng.
"Jadi kenapa buat?" Pertanyaan lelaki itu ringkas tetapi entah kenapa seluruh atmosfera bilik ini terasa sejuk sehingga ke tulang-temulang.
"Saya minta maaf, Encik Ray. Saya mengaku saya cuai. Saya akan perbetulkan semula kesalahan saya." Akur Badrina. Sudah memang dia yang salah jadi dia akan lakukan apa sahaja agar lelaki itu tidak lagi marah padanya.
"You better be, Badrina. You know I don't tolerate silly mistakes." Sambung Ray lagi. Wajahnya serius, bibir langsung tidak mengukir sebarang senyuman.
Badrina angguk. Dia tahu akan kenyataan itu. Cuma entah bagaimana dia boleh tersilap tingkah.
"Sementara kita terima pekerja baru, saya nak awak arahkan beberapa orang housekeeper daripada department lain untuk bersihkan penthouse saya. Nanti saya akan beritahu pada Kak Gee soal ni." Ray segera menukar topik.
"Tapi saya nak ingatkan sekali lagi yang saya tak suka pekerja sambil lewa dan suka ambil kesempatan. It's your responsibility to ensure they get the job done right, Badrina." Kali ini ayatnya berbunyi amaran menandakan dia serius dengan kara-katanya.
"Saya faham, Encik Ray." Badrina anggukkan lagi kepalanya.
"Good. You may go now."
Badrina tundukkan sekali lagi wajahnya bersama tangan yang bergerak mencapai buku nota yang berada di atas meja untuk melangkah pergi manakala Ray pula sudah memutarkan tubuhnya menghadap iMac.
Seketika Ray mula teringatkan akan sesuatu buatkan dia kembali menyeru nama Badrina.
Badrina toleh kepala. "Ya, Encik Ray?"
"Tolong batalkan semua appointment saya untuk hari Jumaat nanti. Saya ada urgent matters di kampung." Beritahunya senada.
Badrina kerut dahi. "Boleh saya tahu Encik Ray balik bila? Mudah untuk saya arrange semula semua appointment yang dah cancel." Mood profesional Badrina kembali tatkala bibirnya sudah tertampal senyuman.
"Tak lama pun. 3 hari."
Badrina anggukkan kepalanya lagi. "Ada apa-apa lagi, Encik Ray?"
"Tak ada." Ray geleng kepala.
Usai pemergian Badrina, Ray sandarkan tubuhnya ke kerusi. Tangan naik memicit kepala yang kusut.
Sejujurnya dia tidak berniat langsung untuk marah pada sesiapa tetapi amarahnya tidak tertahan tatkala dia lihat penthousenya kelihatan tidak terjaga dan dibiarkan begitu sahaja.
Memanglah masanya tidak diabadikan 24 jam di penthouse tetapi sesekali dia akan tetap bermalam di sana jika dia terlalu kepenatan untuk pulang ke rumah.
Lamunan Ray yang sudah semakin jauh itu terhenti tatkala deringan telefon bimbitnya berbunyi. Melihatkan nama yang terpapar pada skrin tika itu, Ray kerling pula jam di dinding.
Seketika nafas ditarik dan dihembus sebelum Ray bangkit. Sempat dia padamkan iMac yang masih menyala dan dia terus melangkah keluar dari ofis.