KOMPUTER RIBA yang sudah selesai digunakan itu ditutup bersama senyuman yang tidak lekang dari bibir. Langit yang membiru di luar ditatap penuh kegembiraan bersama tangan yang menongkat ke dagu.
Manakan tadi? Seketika tadi baru sahaja dia melayari website universiti yang menawarkannya tawaran untuk menyambung pelajaran di sana. Masih terngiang-ngiang lagi di kotak fikirannya betapa besar dan gahnya universiti itu.
Pasti seronok kan jika dia dapat menjejakkan kakinya ke sana? Dan yang lebih menyeronokkan lagi jika papa turut ada bersama bagi memberi sokongan penuh untuk meneruskan impiannya di sana nanti.
Alice hela nafas. Agaknya bilalah masa yang sesuai untuk dia beritahu pada papa soal ini? Sesungguhnya dia masih ragu-ragu dengan tindakannya yang satu ini dek kerana adanya mama dan dua orang kakak tirinya itu.
Dia terlalu yakin dan pasti mereka bertiga tidak akan pernah membenarkan dia keluar dari rumah ini. Melainkan dengan kebenaran papa, pastinya tiada bantahan lagi dari pihak mereka.
Alice pejamkan matanya, kepala kini dilentokkan pula pada meja. Sukar benar rasanya menjadi seseorang yang tidak mampu mempertahankan kemahuan; mahu pada orang lain atau pada dirinya sendiri.
Lamunan Alice yang kian menjauh itu tiba-tiba sahaja terhenti tatkala pintu biliknya diketuk dari luar bersama suara seseorang yang amat dikenalinya.
"Lis! Buka pintu ni!" Suara Ungku Faizah berselang-seli dengan ketukan pada pintu itu buatkan Alice cepat-cepat bergerak menuju ke pintu. Air liur ditelan terlebih dahulu sebelum pintu tersebut dikuak lebar.
"Ya, mama? Mama cari Lis?" Alice pamer senyumannya tatkala pandangannya mula bersabung dengan Ungku Faizah.
"Kau buat apa dalam bilik? Nak tunggu aku ketuk sampai roboh baru nak buka?" Sindir Ungku Faizah bersama jelingan tajam.
"Sorry, mama. Lis terlelap sekejap tadi." Alice beri alasan yang agak munasabah namun Ungku Faizah sekadar mencebik.
"Ada apa mama panggil Lis tadi?" Soal Alice kembali, cuba untuk menukar topik.
"Nah, gosokkan semua baju ni sekarang. Kitaorang nak keluar sekejap lagi." Arah Ungku Faizah pada Alice. Baju yang berada di dalam pegangannya ditolak ke arah Alice secara paksa.
"Keluar? Keluar pergi mana, mama?" Soal Alice ingin tahu. Mengapa dia tidak diberitahu soal ini?
"Pergi makan." Ucap Ungku Faizah tanpa rasa bersalah.
"M-makan? Dengan papa sekali ke?" Tanya Alice teragak-agak.
"Ya, dia ikut. Ada masalah?" Soal Ungku Faizah, tangannya naik mencekak pinggang.
Alice diam, kepalanya tergeleng ke kiri dan kanan buatkan Ungku Faizah senyum puas hati.
"Fai! Dah siap ke belum tu?"
Suara Tan Sri Alias yang kedengaran dari bawah serta-merta membuatkan Alice dan Ungku Faizah pusingkan kepalanya.
Seketika kemudian Ungku Faizah kembali pusingkan wajahnya menghadap Alice sebelum lengan gadis itu ditarik menuju ke bilik seterika.
Tingkah Ungku Faizah yang agak tiba-tiba itu tidak mampu ditolak dan Alice terpaksa menahan sakit tatkala tubuhnya ditolak oleh wanita itu.
"Gosok baju tu sekarang. Lepas gosok, tinggalkan aje dekat bilik ni nanti aku ambil. Ingat, jangan sampai papa kau nampak." Keras suara Ungku Faizah memberi amaran. Jari telunjuknya dihalakan ke wajah Alice.

ANDA SEDANG MEMBACA
Vow Of Hope
RomansVow Of Series #1 Alice Dayana. Namanya secantik orangnya, namun kehidupannya jauh dari sempurna. Lahir dalam keluarga yang retak, dia hanya mampu menumpang kasih dari ibu tiri yang tidak pernah benar-benar menyayanginya. Dalam perjalanan hidup yang...