________
Sara duduk di satu sudut taman kolej, memandang kosong ke arah langit yang biru. Di sekelilingnya, pelajar-pelajar lain sibuk berborak dan gelak ketawa bersama kawan-kawan mereka, menikmati waktu rehat yang terhad sebelum kelas seterusnya. Namun, Sara merasa jauh dari semua itu, walaupun dia berada di tengah-tengahnya. Dia seolah-olah berada di dunia yang berbeza.
Haknyeon berjalan perlahan di koridor yang menghadap taman. Matanya tertumpu kepada sekumpulan pelajar yang sedang berbual-bual. Wajah-wajah mereka penuh dengan senyuman dan gurauan, namun satu wajah yang dikenalinya tidak berada di kalangan mereka. Di hujung pandangannya, dia terlihat Sara duduk sendirian, termenung jauh.
Haknyeon menghampiri Sara dengan langkah yang tenang, rasa ingin tahunya semakin mendalam. Dia tahu Sara jarang berada bersendirian, tetapi hari ini, ada sesuatu yang aneh.
"Kenapa tak rehat dengan kawan-kawan yang lain?" tegurnya lembut, sambil berdiri di sebelah bangku tempat Sara duduk.
Sara terkejut sedikit, menoleh memandang Haknyeon dengan senyuman kecil yang nampak dipaksa. "Tak ada apa-apa lah" jawabnya dengan suara yang lembut, tetapi matanya menceritakan sebaliknya.
Haknyeon duduk di sebelahnya tanpa ragu, matanya terus memerhati Sara dengan penuh prihatin. "Kalau betul tak ada apa-apa, kenapa kau duduk kat sini sorang-sorang?" soalnya lagi, suaranya penuh dengan rasa ingin tahu tetapi tidak memaksa.
Sara diam seketika, menarik nafas dalam-dalam. Dia tidak tahu bagaimana mahu menjelaskan perasaannya. Rasa tersisih dan dipinggirkan oleh kawan-kawan yang dulu rapat dengannya. Setiap hari di kolej terasa semakin sukar. Setiap perbualan, setiap gelak tawa di sekelilingnya terasa seperti luka baru yang semakin dalam.
"Diorang... mungkin tak perlukan aku," katanya perlahan, hampir berbisik.
Haknyeon mengerutkan kening, tidak puas hati dengan jawapan itu. "Apa maksud kau? Mereka kawan kau, kan? Apa yang dah jadi?"
Sara hanya menggelengkan kepala, tidak mahu membuka lebih banyak cerita. "Mungkin... aku yang tak pandai jaga hubungan dengan orang."
Haknyeon memandang Sara dengan serius. "Jangan cakap macam tu. Kalau ada yang tak kena, kau boleh cakap dengan aku. Kau tahu aku sentiasa ada untuk dengar," katanya dengan suara yang lembut, tetapi penuh ketulusan.
Sara menoleh, mata mereka bertaut seketika. Ada sesuatu dalam pandangan Haknyeon yang membuatkan Sara rasa selesa, walaupun hanya sedikit. Walaupun dia tidak tahu apa yang dia layak terima daripada orang sekeliling, Haknyeon tetap di situ, menawarkan dirinya sebagai tempat untuk bersandar. Dan entah bagaimana, itu membuatkan Sara rasa sedikit tenang.
"Terima kasih, Haknyeon," kata Sara perlahan, senyuman kecil terukir di bibirnya.
Ketika mereka sedang bercakap, lagu 'Mungkin Hari Ini, Esok Atau Nanti' tiba-tiba berkumandang dari corong kafe yang berdekatan. Melodi lembutnya mengisi udara, membuatkan Sara terhenti seketika. Kenangan bersama Haknyeon datang membanjiri fikirannya.
Dia teringat saat-saat Haknyeon menemaninya, mendengar impian dan harapan mereka bersama. Tiba-tiba, rasa kerinduan menampar wajahnya. Kenangan itu kini menjadi semakin pahit.
"Haknyeon," panggilnya lembut, "Apakah kita akan selalu ada untuk satu sama lain?"
"Selama-lamanya," jawab Haknyeon dengan senyuman, tanpa tahu apa yang akan terjadi kemudian.
________