Tahun 2011, Julai - Ahmad Farhan
WIRA SEDAN hitam itu berhenti di hadapan sebuah rumah. Ahmad Farhan menebar pandangannya ke arah rumah tersebut. Kedua-dua tangannya kejap memegang stereng.
Peristiwa yang berlaku petang tadi singgah di benaknya. Terasa begitu sebal hatinya. Terkejut. Itu yang dia alami. Tidak disangka sama sekali. Kali pertama menjejakkan kaki semula ke kampung dia sudah dipertemukan dengan Ji'a. Sudah beberapa tahun wajah itu hilang daripada pandangannya. Namun itu bukanlah penghalang untuk dia mengecam wanita tersebut. Ingatan terhadap Ji'a masih tersimpan kemas di sudut ingatannya.
Tadi dia begitu ralit memerhatikan Ji'a yang sedang memerhatikan tayar basikal yang pancit itu. Hatinya terasa ingin menghampiri wanita itu. Namun ketika itu mereka dipisahkan dengan sebatang tali air. Jadi dia hanya mampu memandang sahaja.
Tadi sepasang matanya itu terarah kepada seorang kanak-kanak lelaki. Pada firasatnya, kanak-kanak itu mungkin berumur dalam lingkungan dua hingga tiga tahun. Wajah kanak-kanak itu sama seperti Adilea, anak kepada rakan sekuliahnya dahulu, Azra Amani.
Nafasnya dihela. Panjang. Hatinya berdenyut menahan rasa. Ada rasa pedih di situ. Nampaknya dia hidup bahagia dengan Hardi. Kata-kata itu disusuli dengan satu keluhan.
Nama Hardi masih melekat kuat dalam ingatan. Seperti sudah digam. Sukar untuk dia melupakan nama lelaki yang berjaya mendapat tempat di hati sahabatnya itu. Walau tahun berganti tahun, nama itu tidak pernah pudar daripada ingatannya.
Mengenang peristiwa dulu itu buat hatinya ngilu. Dia rasa bersalah sangat dengan Ji'a. Sekalipun dia kecewa dengan keputusan Ji'a, dia tak patut menggoreskan hati Ji'a.
Pernah dia ceritakan hal ini pada Firdaus, rakan sebiliknya di kolej dulu. Kata Firdaus, dia tak cuba memandang Ji'a sebagai seorang perempuan. Dia tak cuba untuk memahami perasaan Ji'a waktu itu. Kata Firdaus lagi, hati perempuan itu lebih sensitif. Dalam tak sedar, dia dah lukakan hati Ji'a.
Waktu dia memandang tepat ke wajah Ji'a, wanita itu masih belum menyedari kehadirannya lagi. Waktu itu mahu sahaja dia melompat ke seberang sana. Sudah lama dia menyimpan hasrat untuk memohon maaf daripada wanita itu. Sebelum ini dia pernah cuba untuk berhubung dengan Ji'a, namun dia belum mempunyai kekuatan untuk berhadapan dengan wanita itu.
Mungkin terasa diri sedang diperhatikan, wanita itu membuang pandang ke arahnya. Dia senyum pada Ji'a. Nyata wajah itu terkejut melihat akan dirinya. Seketika mereka saling berbalas pandang. Namun selepas itu dia menyaksikan sendiri Ji'a dibawa pergi oleh seorang remaja lelaki dengan motosikal. Saat itu hatinya menjadi sayu tiba-tiba. Nampaknya Ji'a masih marah pada dia lagi. Dia menebak sendiri. Tapi jika difikirkan dari sudut yang positif, itu sudah cukup baik. Tandanya, dia masih dalam ingatan Ji'a.
Ketara sangat dia cuba menyedapkan hatinya. Badannya disandarkan ke tempat duduk kereta. Mata dipejamkan rapat. Cuba mengusir kenangan yang sedih itu.
Tiba-tiba cermin tingkap keretanya diketuk perlahan dari luar. Seorang lelaki yang agak berusia sedang memandangnya tajam. Mungkin sebaya abinya. Lelaki itu berbaju Melayu ungu muda dan berkain pelekat. Kopiah putih tersemat di kepalanya.
Dia menurunkan cermin tingkap keretanya.
"Assalamualaikum."
"Wa'alaikumsalam." Jawabnya perlahan.
"Buat apa kat depan rumah Pakcik ni?" tanya lelaki itu, membuatkan dia terdiam sebentar.
"Errr... saya tunggu orang, pakcik."
Jawapan daripada dia mengundang renungan yang sangat tajam daripada mata lelaki itu.
Dia menggaru-garu pelipis kanannya. Adakah dia tersilap cakap? Memang pun dia sedang menunggu orang. Menunggu umi. Umi masih berada di dalam rumah di hadapannya itu.
ANDA SEDANG MEMBACA
1,2,3... Bintang di Langit
RomanceNovel ini telah pun diterbitkan pada Mac 2014 di bawah label Jemari Seni Publishing. http://www.jemariseni.com/js-novel/470-novel-umum-mac-2014-1-2-3-bintang-di-langit-bidayatul-h.html ooo Dia pernah ditanya oleh seseorang, mengapa dihitung bintang...
