Mulanya di sini
ku kenali dirimu
sehingga kini
sehingga ke akhir waktu..
Mulanya di sini
ku kenali hatimu
kita berteman
seiring jalan dan sehaluanLagu "Mulanya Di Sini" dari kumpulan Freedom yang penyanyinya Shuib dan arwah Seha berkumandang di YouTube di komputer saya. Apabila mendengar lagu ini, memori saya terarah ke zaman saya kanak-kanak dulu.
Kemudiannya, secara naturalnya, Youtube itu menyiarkan playlist lagu-lagu 80an Melayu seperti Sheila Majid (crush artis pertama saya) dan kemudiannya Headwinds, Sudirman, Ekamatra, Gersang, dan lain-lain.
Semasa Kuala Lumpur tahun 80an, bangunan paling tinggi ialah Maybank, Dayabumi, Tabung Haji. Saya tidak boleh bayangkan apa yang berlaku sebelum itu kerana saya masih belum wujud.
Tetapi lagu-lagu Melayu 80an begitu melodik dan indah, walaupun ada yang kata, tahun sebelum itu lebih best. Tapi macam saya kata dulu, saya tak boleh bayangkan kerana saya masih belum lahir, dan cuma saya boleh bayangkan kerana adanya Internet dan rekod-rekod terdahulu. Bukan zaman saya lahir.
Tahun 80an menyaksikan pertumbuhan ekonomi Malaysia yang baru mula rancak. Banyak bangunan pencakar langit baru mula naik. Ketika pada saya darjah dua saya tercengang mendengar ada bangunan yang lebih tinggi bakal dibina di pinggir Jalan Ampang di bekas tempat lumba kuda di Kuala Lumpur.
"Serius, bangunan tertinggi di dunia? Lagi tinggi dari Amerika, Jepun? Whoaaa, Wawasan 2020 nanti mesti kita lebih maju dan lebih power. Ada kereta terbang!"
Itulah kata saya semasa darjah dua. Saya yakin negara ini boleh menjadi sebuah negara maju. Saya yakin, dengan keazaman dan cita-cita seluruh rakyat Malaysia, kita akan menjadi sebuah negara maju dan masa depan saya akan jadi cerah.
Saya membayangkan negara kita serba canggih dan membayangkan rakyat semua kaya-raya.
Tapi itu kira-kira dua puluh lebih tahun yang lalu. Air tebu masih 50¢, sate secucuk masih 20¢, nasi lemak sebungkus 50¢, dan nasi ayam $2.00.
Tapi hari ini semua dah berubah. Tak ada siapa peduli lagi bangunan Dayabumi atau Maybank, KLCC bukan lagi top ten bangunan tertinggi dunia, dan lagu dalam radio balik-balik Akim and The Majistret, sekali sekala Eleena Harris.
Zaman dah berubah. Alah, masa hari-hari P. Ramlee masa 70an dulu pun, tak ada siapa pun minat dia. Cuma bila dia mati barulah dia dianggap legenda dan 90an barulah filemnya ditayang semula sebagai klasik.
Pada masa 90an dulu, muzik seperti SM Salim, atau Samsudin Lamin, atau A Ramlee semua dianggap sebagai klasik. Pada masa itu orang yang berusia 30an seperti pakcik saya kata lagu 90an ni semua tak best, banding dengan zaman dulu, berseni.
Ye lah, zaman saya kecik dulu, tahun 90an,kenalah banding dengan Ziana Zain, Fauziah Latiff, atau Jamal Abdillah, atau Ukays, Exist (Mamat), Slam, dan XPDC.
Dan pada 80an lebih best, seperti artis-artis yang saya sebut pada awal tadi.
Dan terus ke tahun 2000an bila ada Siti Nurhaliza, Too Phat, Exist (Ezad), sebelum Mawi memusnahkan segalanya.
Hari ini, saya jarang dengar radio. Secara jujurnya saya tidak mendengar radio secara serius sejak 2007. Secara jujurnya saya tidak minat dengan muzik zaman sekarang. Mungkin saya dah tua, macam pakcik saya.Dan saya sekarang dah jadi macam pakcik saya, yang kata pada anak muda, "muzik zaman sekarang tak best, zaman dulu, berseni!"
Mungkin itulah perasaan bila mula menua. Rasa seperti ditolak dengan peredaran zaman.
Cuma bila kita duduk seketika, di tengah hiruk-piruk kota Kuala Lumpur, ada kedengaran bunyi harmonika yang dimainkan oleh seorang homeless, yang bunyinya merdu, tapi sayu.
Dari dulu lagi bunyi itu tak pernah lenyap, dan tak pernah hilang. Dari saya kecil apabila saya berjalan dengan ibu bapa saya menuju ke Yaohan untuk membeli baju raya, hingga saya dah remaja melepak di BB, dan bila sudah berumur 3 series mula kembali melepak di Sogo, itulah bunyi yang selalu saya sedar saya sering dengar.
Bunyi lagu yang dimainkan oleh homeless, oleh peminta sedekah, lagu sayu ini akan terus kekal didengari di jalanan, dan tidak di radio, sepanjang masa, sepanjang zaman, tak kira tahun bila.
Itulah lagu yang sebenar-benarnya, menggambarkan Kuala Lumpur. Lagu itu dicipta, dimainkan bukan kerana mahu sales record, atau menjadi ikon di TV, tapi sekadar menghiburkan hati yang sepi di sebatang jalan raya yang sibuk di sebuah metropolitan, ibu kota neraka celaka ini, dengan harapan secebis simpati dihulur dalam bentuk sekeping kertas agong, untuk melepaskan rasa lapar dan dahaga, sementara hidup masih ada.
Bila dia dah mati nanti, tiada siapa peduli. Sesedih-sedih kisah kematian P. Ramlee, atau Sudirman, atau Seha, sedih lagi kisah si homeless ini bila dia pergi nanti.
Itu sudah pasti.
YOU ARE READING
Bukan Fiksyen, Bukan Fakta.
De TodoTulisan yang datang bukan dari akal pemikiran logik mahupun datang dari khayalan. Ia datang korteks serebrum yang berserabut dari Nami.