Legasi Si Ayah

941 38 7
                                    

Ketika saya menulis tulisan ini, saya sedang menonton siaran langsung keputusan pilihanraya di Kanada. Saya mengikuti pilihan raya Kanada sejak arwah mantan kekasih saya tinggal di situ. Tak, sebenarnya sejak 2008 bila arwah mantan kekasih saya menulis di blognya bahawa dia penyokong Parti Liberal di sana.

Pada ketika itu dia cuba mengisi kekosongan hatinya sejak arwah adiknya meninggal dunia tahun sebelumnya. Dia sering bercerita tentang Stephane Dion, bekas ketua Parti Liberal.

Tetapi, ketika saya berbual dengannya tentang politik dunia (kerana 2008 adalah tahun pilihan raya, USA, Canada, Malaysia menjalankan pilihanraya), mata saya terpandang kepada nama seorang calon Parti Liberal bernama Justin Trudeau.

Saya tidak kenal Justin Trudeau, tetapi saya pernah dengar nama Trudeau. Saya bertanya pada arwah, Trudeau ini pernah saya dengar namanya, siapa ek dia? Namanya agak gah dan dikenali ramai.

"Google kan ada," jawabnya ringkas. Saya terus type 'Trudeau' dan saya terjumpa nama Pierre Trudeau.

Perdana Menteri Kanada dari 1968 hingga 1979, sebelum tewas dengan calon Parti Progresif Konservatif, Joe Clark pada 1979. Kemudian, kerana kerajaan brader bernama Joe ini lemah dan mudah goyang, sekali lagi pilihan raya diadakan pada 1980, dan Trudeau The First menang, dan menjadi Perdana Menteri hingga 1984.

Wow, saya lahir, dia dah berhenti jadi Perdana Menteri.

Dia dianggap Perdana Menteri paling 'swag' di eranya. Zaman mudanya dia hisap ganja, dia rebel dan lepak dengan Rolling Stones, zaman jadi Perdana Menteri, hmm, kena jaga imejlah sikit. Tapi dia antara pemimpin negara kapitalis liberal yang berani lepak dengan Fidel Castro, selain John F. Kennedy.

Pierre Trudeau meninggal dunia pada tahun 2000, dan meninggalkan legasinya di negara Maple Leaf ini.

Saya seraya berkata pada arwah mantan kekasih saya: "Percayalah, si Justin ini satu hari nanti akan jadi PM Kanada dan dia akan menang besar."

Tetapi, arwah mantan kekasih saya menolak kemungkinan itu, dan berkata saya tidak faham politik Kanada. Dia berkata, ''Ini Kanada, negara maju, mana ada nak main nepotisme macam Malaysia".

Saya kata dengannya "pegang saja kata saya."

Tahun 2008, Stephane Dion yang dia sanjung-sanjung itu hampir kalah di kerusinya dan Parti Liberal kalah teruk. Stephen Harper dari Parti Konservatif menang dengan penuh bergaya.

Dan memandangkan dia tinggal di Calgary yang menjadi kubu kuat Parti Konservatif, dan kebetulan rumah tempat tinggalnya itu merupakan kerusi Perdana Menteri (pelik sebab kampungnya di Malaysia di Pekan, dan lebih pelik lagi masa dia berada di Itali dia tinggal di kawasan parlimennya adalah kawasan Silvio Berlusconi), dan keretanya dibaling telur kerana tampal bumper sticker Parti Liberal.

Tahun 2011, sekali lagi Pilihan Raya di Kanada. Kali ini Michael Ignatieff menjadi calon Perdana Menteri Parti Liberal. Arwah tetap setia dengan Liberal, tetapi tidak yakin dengan Ignatieff, kerana tengok muka pun dah tak boleh percaya.

Saya tanya sekali lagi, "bagaimana dengan Justin Trudeau?"

"Dia masih baru, tak berpengalaman. Nama Trudeau sahaja tak cukup nak jadi Perdana Menteri," katanya.

"OK, kita bet. Kalau Justin Trudeau jadi Perdana Menteri, belikan tiket untuk saya ke sana berjumpa kalian semua kembali."

"Set," katanya pendek.

Hari ini, Justin Trudeau dan Parti Liberal menang besar, terbesar dalam sejarah, mengalahkan bapanya sendiri, mengalahkan yang paling besar selama ini iaitu Brian Mulroney pada tahun 1984 (selepas Pierre letak jawatan ada satu malaon bernama John Turner ni jadi Perdana Menteri tapi dia kalah teruk.)

Sebab John Turner tak swag macam Pierre Trudeau.

Semasa keputusan pilihanraya diumumkan satu per satu, dalam hati saya kata, "kan dah kata".

Okay, Justin Trudeau, George W. Bush, Najib Razak, Hishamuddin Hussein, Mukhriz Mahathir, Enrique Iglesias - semua ini menjadi popular kerana ayah mereka. Mereka menyambung semula legasi yang dibina ayah mereka.

Bukanlah nak cakap mereka ini hanya tumpang nama ayah mereka sahaja, mereka pun ada fikrah dan kekuatan mereka sendiri, walaupun ramai yang bangang (macam George, Hishamuddin, Mukhriz dan Najib).

Fikiran kita masih lagi feudal. Tak kisahlah kita ni negara membangun macam Malaysia ni, atau negara maju macam Kanada atau USA. Kita masih tak boleh buang feudalisme dalam diri kita.

Pepatah "ke mana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi" dan "bapa borek anak rintik" ini bukti, kita masih feudal.

Baik, ayah saya, Nozwir bin Shukor adalah seorang chef di sebuah hotel di Kuala Lumpur. Di kalangan rank chef-chef di Kuala Lumpur, ayah saya mungkin tidak sepopular Chef Wan atau Chef Ismail sebab tak keluar TV, tetapi sesama chef di Kuala Lumpur, nama ayah saya agak top juga.

Dia mula bekerja di dapur hotel sejak 1978 hingga dia berhenti kerja pada tahun 1994 untuk perniagaan makanan, dari 1994 hinggalah tahun 2014 apabila krisis ekonomi di Malaysia mula dirasai sekarang.

Ayah saya survive krisis ekonomi Asia 1997-98, krisis ekonomi dunia 2007-08, tetapi tidak krisis ekonomi Najib si wan-em-di-bi ini.

Mungkin disebabkan itu, kebencian saya terhadap Najib Razak sudah jatuh ke tahap personal.

Tetapi saya tidak berminat untuk menjadi tukang masak. Saya hanya memasak jika saya mahu, kerana saya tidak mempunyai 'passion' memasak seperti ayah saya.

Adik lelaki saya, mungkin.

Saya akhirnya memutuskan bahawa saya terus berpegang pada cita-cita saya untuk jadi penulis, dan saya jadi penulis seperti hari ini.

Tetapi, saya bangga nama ayah saya masih disebut-sebut di arena permasakan di hotel-hotel KL, walaupun kini sudah ada banyak pesaing di hotel-hotel yang baru dan lebih glamer.

Menu masakan yang dicipta ayah saya masih kekal di hotel tersebut walaupun ayah saya buat menu tersebut pada tahun 1989.

Sebelum hipster Melayu makan aiskrim di atas congkak macam tahun lepas, ayah saya dah buat dulu. Ayah saya hanya gelakkan saja trend budak muda zaman ini kononnya "mereka dapat idea yang swag".

Saya bangga dengan ayah saya, walaupun kami jarang berbual dan jarang bertegur sapa, tapi saya bangga dengan dia. Cuma saya tidak ada 'passion' dan 'patience' dalam bidang memasak seperti dia.

Tapi kalau saya ada semua itu dalam bidang memasak, mungkin saya akan jadi power macam ayah saya, ditambah pula dah ada kabel kuat yang berlingkar di Kuala Lumpur ini.

Saya masih tidak memberi anak, walaupun di usia 31 tahun, ayah saya menjadi ayah saya, ketika saya dilahirkan pada 1984, zaman Pierre Trudeau berhenti jadi Perdana Menteri.

Hari ini, Justin membina legasi yang ditinggalkan oleh ayahnya. Legasi ayah saya, diharapkan adik lelaki saya dapat menyambungnya, tapi, ayah saya tak pernah memaksa pun sesiapa untuk sambung legasinya. Dia adalah dia, dan adik saya adalah adik saya. Dan saya adalah saya.

Legasi saya? Saya rasa biarlah anak saya (jika ada) membina legasinya sendiri dalam bidang yang dia suka.

Legasi. Hmm, berat sungguh perkataan itu. Nasib baik ayah saya bukan seorang perdana menteri. Jenuh juga, takut bangang tapi masih terpaksa jadi sebab nak menyambung legasi si ayah.

Silap-silap, menghancurkan nama si ayah. Takut terseksa ayah di kubur melihat kebangangan kita.

Tapi, apapun, saya bukanlah minat sangat dengan Justin Trudeau ni. Saya takkan percaya dengan temberang dia kerana tugas ahli politik adalah untuk temberang. Cuma dia mengingatkan saya pada seseorang, yang pernah mewarnai sejarah saya.

Legasi dia hanya dirasai oleh sesiapa yang rapat dan mengenalinya. Dia, yang teristimewa.

"Kan I dah beritahu you, baby."

Selamat malam.

Bukan Fiksyen, Bukan Fakta.Where stories live. Discover now