lari

3.3K 156 36
                                    


"Ya Allah, Maimon! Lari! Selamatkan anak-anak kita!"

Jeritan ngeri suaminya menderaukan darah. Maimon yang sedang leka memungut buah-buahan tersentak. Bakul kecil berisi makanan bertaburan di atas jalan raya. Suaminya berlari laju ke arahnya tetapi langkahnya terhenti. Matanya membuntang melihat Maimon. Sekelip mata badannya terputus dua. Khalid menggelupur seketika sebelum tubuhnya kaku.

"Abang!!!"

Maimon tidak sempat bersedih dan meratapi kematian yang pantas berlaku di depan mata. Dia perlu menyelamatkan diri. Matanya melilau mencari anak-anaknya yang masih kecil.

"Aaron! Beto! Cepat! Masuk ke dalam rumah!" Hatinya berdegup kencang. Jeritan orang kampung semakin membingit.

Maimon sempat menoleh ke belakang. Leman, anak Pak Ngah Deris menggelupur. Badannya sahaja yang tinggal. Kakinya melayang entah ke mana. Ah! Itu Dura, jirannya yang selalu ke kebun mencari buah-buahan. Yang tinggal hanyalah kakinya sahaja. Maimon kenal kaki Dura. Ada parut akibat terjatuh dari pohon jambu. Mereka membesar bersama-sama di situ.

"Cepat, anak-anak! Masuk ke dalam rumah!"

Sumpah! Maimon tidak pernah berlari sepantas itu. Sampai ke dalam rumah, dia memeluk erat anak-anaknya sementara orang-orang kampung lari lintang pukang menyelamatkan diri.

Seluruh kampung hiruk pikuk. Sudah lama mereka bermastautin di situ, hidup aman damai tanpa sebarang gangguan. Tiba-tiba sahaja hari ini musibah melanda.

"Jangan bimbang, anak-anakku. Kita sudah selamat."

Si kembar yang belum mumaiyiz memandang wajah ibu mereka yang pucat. Deraian air mata dan tubuh si ibu yang menggigil tidak dapat menggambarkan betapa dahsyatnya kematian yang baru disaksikan.

+

"Fadli!", suara wanita tua memanggil dari dalam rumah.

"Saya, nenek!"

"Buat apa dengan gunting nenek tu?"

"Takde apa-apa, nek!", si cilik menjawab.

"Dah, dah, masuk ke dalam. Sekejap lagi maghrib. Tak elok bermain di luar petang-petang begini".

"Baik, nenek!"

Fadli bangun dan mengibas seluarnya. Gunting kain nenek dipegang erat. Sebelah tangannya menepuk pohon mangga yang berdiri teguh di hadapan rumah datuk.

"Rasakan! Hari ini kau gigit aku ya? Esok aku datang lagi bawa mancis pula."



RemangWhere stories live. Discover now