Bab 3

3.5K 45 0
                                    

SEBIJI mug putih bersih dengan pemegang berikat reben merah memukau pandangan Puteri pada pagi itu. Perlahan-lahan dia mengorak langkah menghampiri. Di kepalanya segera terbetik nama Hakim, disusuli imbasan kejadian semalam.

Dia meletakkan beg dokumen di atas meja lantas tangannya mencapai mug itu lalu ditelitinya kiri dan kanan. 'My lovely baby' diungkapnya tulisan italik yang tertera di dada mug tersebut. Lantas bibirnya memekar senyum. Tetapi sesaat kemudian senyuman itu lenyap.

Mindanya tiba-tiba sahaja menyingkap satu gambaran silam. Wan Intan! Wan Intan, teman sebiliknya yang manis dan tinggi lampai sedang melangkah longlai sambil membelai mug hadiah daripada buah hati. Sama bentuk malah sama ungkapan.

Sedetik, mug itu membawa ingatannya kembali kepada kenangan silam. Kisah Intan. Intan yang pernah memuja mug hadiah daripada kekasihnya siang dan malam.

Sedarkah Hakim bahawa mug itu sebenarnya sama dengan mug yang pernah dihadiahkannya kepada buah hatinya itu suatu ketika dahulu? Entah kenapa rasa pedih tiba-tiba sahaja menjengah hati.

Puteri segera berundur menjauhkan diri daripada mug itu bagaikan ia adalah satu objek berbisa. Matanya merenung tajam.

Imbasan-imbasan silam kini kian cergas melayari mindanya. Tidak mampu dihentikan umpama alat projektor yang mulai hilang kawalan.

Hakim dan Intan adalah sepasang kekasih yang juga pernah berikrar cinta sehidup semati.

Cinta yang mekar di kampus berlarutan sehinggalah Hakim tamat pengajian dan mula bekerja di syarikat milik ayahnya. Manakala Intan pula masih berjuang meneruskan pengajian di tahun akhir.

Puteri adalah salah seorang saksi pada semarak cinta antara Hakim dan Intan. Alangkah baiknya seandainya dia tidak pernah di sisi Intan lima tahun yang lalu.

Tidak mungkin timbul perasaan sebegini kalut sekiranya Intan tidak melibatkan Puteri di dalam urusan peribadinya suatu ketika dahulu.

Kerana itu juga kehidupan Puteri sendiri turut berubah secara mendadak. Dia bukan lagi Puteri yang dahulu.

"Good morning, Puteri."

Teguran ceria daripada Kakak Ana membuat Puteri tersentak bagaikan baru dibangunkan dari igauan.

Dia segera berpaling dengan rupa cemas. Wajah cantik Kakak Ana yang sentiasa bersolek sempurna itu ditenungnya tanpa sepatah kata.

"Ha... macam baru nampak alien? Apa yang you perhatikan sangat tu?" tanya Kakak Ana sambil renungan mata galaknya melangkau ke setiap ceruk bilik itu, mencari sesuatu yang begitu menarik perhatian Puteri sejak tadi. Baginya tingkah laku gadis itu pada awal pagi itu memang pelik.

Puteri tampak terpaku hampir lima minit. Entah apa gerangan yang menyampuk.

"Wau!" Kakak Ana maju ke hadapan.

"Siap dengan reben merah!" ujar Kakak Ana seketika kemudian apabila tangannya mula membelai lembut pada mug putih itu.

"Cutenya! Pagi-pagi buta dah dapat cenderahati?" sambung Kakak Ana. Menilik sakan. Tidak mungkin benda secantik itu membuatkan semangat Puteri melayang pada pagi hari?

Kalau ya pun hadiah mengejut daripada Julian, lelaki yang paling Puteri menyampah di muka bumi ini, air muka Puteri tidak perlu sekeruh itu. Itu cuma sebuah mug yang cute bukannya T-Rex!

"Daripada siapa?"

"Daripada saya!" jawab satu suara tiba-tiba. "Maaf, kalau mengganggu."

Kakak Ana dan Puteri masing-masing tercengang. Kemunculan bos baru mereka yang secara mendadak begitu memang mengejutkan.

Selamat Tinggal SayangWhere stories live. Discover now