Bab 14

1.9K 15 0
                                    

MISI yang diberikan selama tempoh enam bulan telah diselesaikan oleh Puteri dalam masa kurang daripada sehari! Sama ada Puteri sedar ataupun tidak, memang begitu kenyataannya. Hakim sudah puas menggeleng tidak percaya dengan kedangkalan iman sendiri. Bagaimana semua itu boleh terjadi? Bagaimana dia boleh rebah di dalam dakapan Puteri? Rebah dan rebah lagi berkali-kali?

Sungguh Hakim geram. Dia benci terhadap diri sendiri. Walaupun rasa bersalah bertitik tebal di hati, namun detik-detik bersama Puteri tidak mampu dikikis dari ingatan. Semuanya begitu sempurna. Sungguh indah... hebat! Sentuhan Puteri memberi kebahagiaan yang tidak terucap dengan perkataan.

Malah bayangan paduan asmara antara dia dan Puteri tempoh hari menghantui kehidupannya hampir setiap detik. Desah suara Puteri bagai kedengaran di telinga. Menggiurkan. Sesungguhnya tiada muzik yang kedengaran seindah suara itu. Buat dia jadi tidak tentu arah. Jadi pemenung dan pemarah kerana yang wujud di fikirannya kini hanyalah Puteri. Berhari-hari sudah dia cuba bergelut dengan perasaan aneh itu tetapi Puteri bagaikan satu ketagihan yang sukar ditepis dan dia mula jelik terhadap kelemahan diri sendiri. Bagaimana dia boleh jadi selemah dan seteruk itu?

Hakim menyedari akan suasana tegang yang timbul di pejabat akibat kekeliruan yang dialaminya kini. Masalah peribadi tidak mampu dihalang daripada memakan diri. Dirinya terseksa. Setiap hari ia muncul bagaikan taufan. Tiada lagi ketenangan. Serius dan gawat. Seharian ada-ada sahaja yang tidak kena. Tiada kesalahan yang nampak kecil di matanya.

Semua orang mula gerun untuk menunjukkan muka melainkan kalau terpaksa. Saat-saat dia meninggalkan pintu pejabat merupakan detik lega buat semua kakitangannya.

Dia tahu namanya laris jadi bualan. Begitu juga dengan Puteri. Ramai yang tertanya-tanya sesama sendiri apa yang telah terjadi dan ada juga yang cuba mengaitkan mood teruknya dengan cerita cuti sakit Puteri yang sudah pun melebihi seminggu itu. Tetapi apa jua kisah di sebalik keributan itu hanya dia dan Puteri sahaja yang tahu.

Tengku Aida yang resah dek gagal mengambil hatinya khabarnya sibuk mencungkil cerita daripada kakak sulungnya, Saloma. Entah sejak bila pula kedua-dua perempuan itu mula menjalinkan hubungan akrab.

Tiba-tiba sahaja nama Tengku Aida tidak lekang dari bibir Kakak Saloma. Puji-pujian tidak berkurang. Ada-ada sahaja kelebihan Tengku Aida yang mengagumkan Kakak Saloma. Pertemuan ahli keluarga sempena hari lahir ayahnya yang akan berlangsung malam itu pada jam lapan pasti meriah dengan pertanyaan dan jawapan serta tidak ketinggalan... syarahan daripada ayahnya yang lazim mesti didengar dengan penuh akur.

Komen Encik Rashid sama banyaknya dengan soalan yang diperdengarkan ke telinga Hakim. Katanya nada suara Puteri kedengaran lebih seperti orang kecewa daripada orang demam.

Katanya lagi, Puteri bagaikan anak kecil yang cuba menyembunyikan sesuatu. Hakim diminta agar cuba merisik punca kekalutan itu. Sifat kebapaan dan keikhlasan Encik Rashid itu kian membuat fikiran Hakim kacau. Berserabut!

Daripada berdiam diri dan berterusan dihambat rasa bersalah, Hakim akhirnya berterus terang. Dia mengaku bahawa dia adalah punca masalah Puteri. Puteri patah hati kerana cinta tidak berbalas.

Akhirnya Encik Rashid mengangguk kesal, menepuk bahunya tanda memahami sambil memuji sikap Hakim yang tidak mengambil kesempatan ke atas kelemahan Puteri itu. Sesunguhnya Hakim jadi malu. Aib benar rasanya untuk terus menghadapi orang tua itu. Diri terasa tidak ubah bagaikan pengkhianat. Prinsip diri sudah dipijak. Segala janji yang pernah disuarakannya kepada Encik Rashid sudah tiada makna. Pagar sudah makan padi...

Manakala Kakak Ana yang pernah terserempak dengan Hakim pada pagi Ahad yang lalu ketika datang menjenguk Puteri pula agak relaks.

Wanita itu seolah-olah memilih untuk menyimpan kesimpulan pada diri sendiri. No comment. Tiada kenyataan ataupun sebarang pertanyaan yang mengaitkan soal peribadi. Seperti biasa Kakak Ana cuma sibuk bercakap soal strategi dan kontrak.

Selamat Tinggal SayangWhere stories live. Discover now