Bab 4

3.4K 46 0
                                    

HAKIM membuka sutnya lalu disangkutkan ke kepala kerusi. Dia menarik dan melepaskan nafas panjang.

Dia keletihan minda dan juga fizikal selepas seharian bersengkang mata dan bertegang urat berunding dengan beberapa orang ahli korporat berbangsa asing daripada sebuah syarikat multinasional dan kemudiannya diminta pula oleh kawan rapatnya, Syed Awang supaya meneliti serta menjadi saksi kepada urusan jual beli sebuah hotel di Bangkok, Thailand.

Lewat petang dia terpaksa pula mengharungi kesesakan lalu lintas yang teruk untuk kembali ke pejabat.

Sungguh, dia penat. Malah betul-betul penat untuk terus bersandiwara di pentas dunia. Kadang-kadang hidup ini sungguh membosankan. Tidak ada seri. Hambar dan kosong! Apa yang dia ada hanyalah satu kerjaya yang tidak pun dia minati. Kerjaya yang sebenarnya sekadar sebuah tanggungjawab kerana dialah anak lelaki tunggal di dalam keluarga.

Dua kakaknya pula lebih selesa menjadi suri rumah, tetapi tidak pernah lupa untuk bertanya khabar tentang akaun syarikat. Seperti bapa mereka, Saloma dan Sharifah lebih rajin meminta daripada memberi. Memang anak-anak bapa!

Tetapi lain pula dengan Sherina, adik perempuan Hakim yang kini sedang melanjutkan pelajaran di Amerika Syarikat di dalam bidang komunikasi.

Walaupun agak manja dan suka melaram ke sana sini, Sherina lebih suka berdikari dan tidak banyak menyusahkan keluarga. Anak bongsu itu memang merupakan permata hati Dato' Salihin Omar.

Hakim sememangnya mempunyai tanggungjawab besar. Tetapi walaupun tanggungjawab itu sungguh membosankan serta membebankan, pulangannya memang memuaskan.

Dia mampu hidup mewah. Bertukar kereta bagaikan orang bertukar teman wanita dan tempat kediaman pula tidak ubah bagaikan hotel lima bintang.

Pendek kata kehidupannya begitu selesa. Dari segi material memang tiada yang kurang. Kini dia sudah pun berada di puncak. Pernah juga menyandang gelaran 'Man of The Year'. Namun semua itu sebenarnya tiada makna. Kosong.

Tiada apa-apa yang lebih bererti baginya melainkan sebuah keluarga, tetapi malangnya itulah satu-satunya 'benda' yang paling tidak mampu dia miliki.

Perkataan sepi tidak asing lagi di dalam kamus hidupnya. Hanya dia sahaja tidak pernah menyuarakan ke halwa telinga orang lain melainkan kepada diri sendiri.

Tetapi apa guna merintih memandangkan segala yang terjadi adalah kerana tindakan sendiri.

Demi prinsip, kesalahan itu nampaknya terpaksa dia tanggung sehingga ke akhir hayat melainkan ditakdirkan Tuhan dia dipertemukan semula dengan perempuan itu. Tetapi bilakah masa itu akan tiba?

Berapa lama lagi harus dia menunggu sedangkan senja tidak pernah menunggu sesiapa?

Mengeluh kesal, Hakim membetulkan kedudukannya di kerusi. Dari melunjur relaks, dia menegakkan badan. Tidak ingin lagi menghitung penyesalan di atas ketelanjuran ataupun berfikir tentang kemungkinan yang tidak akan terjadi.

Kepalanya sudah cukup sarat dibebankan oleh urusan perniagaan, inikan pula mahu memikirkan soal kehidupan peribadi.

Selama tiga hari berturut-turut dia asyik keluar masuk ke bilik mesyuarat. Jumpa orang itu dan ini yang bermacam-macam ragam. Padat benar jadualnya sedangkan semua kertas kerja terpaksa dilakukan sendiri.

Sejak akhir-akhir ini berjaga sampai ke dinihari sudah menjadi rutin.

Hanya kerja remeh sanggup dilepaskannya kepada setiausaha Encik Rashid yang sememangnya sudah pun dibebankan dengan tugasan daripada lelaki itu sendiri.

Selamat Tinggal SayangWhere stories live. Discover now