Bab 10

1.7K 20 0
                                    

TELEFON bimbitnya diletakkan di sisi meja. Puteri menghela dan melepaskan nafas panjang cuba melegakan ketegangan. Mengeluh kecil lalu pandangan matanya dilepaskan ke luar tingkap. Hatinya gelisah. Nanu yang bercinta tetapi dia pula yang di dalam dilema.

Pasangan yang sedang kemaruk bercinta biasanya sibuk menempah berbagai-bagai bentuk jambangan bunga dan juga tempat untuk meraikan percintaan di bawah cahaya lilin sempena hari Valentine pada hari itu. Sebaliknya Nanu pula sedang berura-ura untuk putuskan ikatan kasih dengan tunangnya, Izad.

Sekiranya benar seperti tuduhan Nanu bahawa teman serumahnya telah menggoda Izad dan Izad pula sudah mula berubah sikap, memang itu sudah menjadi kes belot. Apa akan jadi pada majlis pernikahan yang sudah pun ditetapkan tarikhnya pada dua bulan akan datang itu?

Di antara suara esak tangis Nanu, Puteri hanya mampu menasihati agar gadis itu bertenang dan cuba menyelidik kedudukan sebenar dengan sabar.

Lara di hati sendiri tidak mampu diatasi inikan pula mahu mengubati luka hati orang? Tetapi tidak mungkin dia membiarkan kawan karibnya menangis sendirian. Nanu juga anak yatim piatu sepertinya. Tiada tempat mengadu melainkan kepada kawan-kawan. Puteri sekurang-kurang ada Datin Zaidah.

Tetapi soal Hakim tidak mampu Puteri luahkan kepada Auntie Zaidah. Yang buruk mahupun yang baik tidak mungkin akan terlepas dari bibirnya ke telinga Auntie Zaidah. Biar sedikit hipokrit tetapi dia tidak mahu dipandang sebagai anak gadis yang rendah moralnya. Lebih-lebih lagi kini dia bukan lagi sekadar anak angkat tetapi bakal menantu.

Sesungguhnya memendam perasaan membuat hidup ini penuh sengsara. Lebih pahit lagi apabila bertepuk sebelah tangan. Mengenangkan Hakim, tidurnya asyik bertemankan air mata. Pilu benar rasanya perasaan. Namun hari demi hari sikap Hakim pula kian dingin. Bagaikan kuntum kembang tidak jadi, begitulah keadaannya di antara dia dan Hakim.

Demi mengubati hati sendiri, Puteri pernah mengambil keputusan membawa diri. Dia ingin pergi jauh. Surat peletakan jawatan telah siap ditaipnya, dan sudah pun dimasukkan ke dalam sampul rasmi berwarna coklat, tetapi setiap kali terpandang sahaja kelibat Hakim pada pagi hari, hatinya tidak kuat untuk melangkah pergi.

Walau bagaimana dingin sekalipun layanan Hakim terhadapnya, dia tetap sayangkan lelaki itu. Hatinya berkata bahawa dia perlukan Hakim di dalam hidupnya.

Tetapi apabila hati sekali lagi terasa pijar dek jelingan dingin serta bidasan pedas Hakim, keesokannya surat yang di dalam laci dikeluarkan sekali lagi, namun kebetulan mood Hakim berubah ceria dan senyuman tampak tersemat di bibirnya, hati Puteri cair dan terubat. Luka di hati hilang dalam sekelip mata. Akhirnya sampul berwarna coklat itu entah untuk kali ke berapa dilemparkan semula ke dalam laci.

Puteri tidak sepatutnya jatuh hati pada Hakim. Dia tidak ingin mencintai Hakim. Dia rela hatinya terpikat kepada lelaki lain asalkan bukan Hakim. Namun apakan daya... di antara ramai lelaki yang pernah dikenalinya, mata dan hatinya tetap memilih Hakim.

Setiap kali Hakim di sisi, bulu romanya pasti tegak meremang dan degup jantungnya memecut kencang. Sungguh dia tidak mengerti bagaimana sekeping hati boleh berubah sedemikian rupa. Beberapa tahun yang lalu perasaan sebegitu tidak pernah wujud di hatinya. Memiliki Hakim tidak bererti harus mencintainya. Kini tidak memandang wajah Hakim walau cuma untuk setengah hari, dunianya terasa hilang seri. Murung. Hakim adalah nyawanya! Malangnya mengapa kasih tidak berbalas?

Dia mengeluh hiba lalu Puteri melangkah gontai ke tingkap. Langsir dikuaknya sedikit sekadar untuk mengintai ke pejabat Hakim.

Walaupun menyedari bahawa Hakim tiada di pejabat sejak pagi, matanya teringin jua untuk memandang ke arah sana. Tidak bersua muka dengan Hakim membuat dia gagal berfungsi. Lemah. Bersama Hakim pula hatinya dipagut sayu. Dia kempunan disentuh Hakim dengan sepenuh kasih sayang sehinggakan terbawa-bawa ke dalam mimpi. Dia ingin meletakkan kepala ke bahu Hakim dan meluahkan segala rajuk di hati, sedangkan Hakim pula kian menjauh.

Selamat Tinggal SayangWhere stories live. Discover now