Bab 13

1.8K 14 0
                                    

"HAI, good morning!"

Salam selamat pagi daripada Hakim dibalas Puteri dengan senyuman segan. Selimut yang berada di paras paha segera ditarik ke paras dada, cuba menutupi gaun tidur tali spageti yang disarungkan ke tubuhnya sebaik sahaja Hakim meninggalkan kamar itu beberapa jam yang lalu.

Pada saat mata sedang terpaku mengikuti setiap langkah Hakim, tangannya pula sibuk membetul-betulkan rambut yang sudah berjam-jam tidak pernah didandan itu. Sama ada sakit ataupun tidak, dia ingin sentiasa kelihatan anggun di mata Hakim.

Melihat Hakim bersusah payah menjaganya sepanjang malam, hati Puteri dibuai rasa terharu. Cinta di hatinya kian subur. Tubuh yang pada mulanya terasa lemah longlai kini bertambah cergas. Sesungguhnya kehadiran Hakim di situ walaupun cuma untuk beberapa jam, telah memberi kebahagiaan yang jauh lebih bermakna daripada apa yang pernah dirasainya seumur hidup ini. Namun begitu, kepiluan yang bersarang di hati akibat daripada penolakan Hakim juga sebenarnya tidak pernah mati. Ianya tetap di situ.

"I bawa sarapan untuk you," ujar Hakim lalu meletakkan dulang sarapan pagi di atas sebuah meja kecil di sisi katil. Kemudian dia melangkah pantas ke arah balkoni, menarik langsir dan membiarkan cahaya pagi menyimbahi kamar itu. Kamar yang muram kini tampak berseri.

Dia menghela nafas dalam, menghirup udara pagi yang segar. Mendengar bunyi kicauan burung yang begitu indah pada pagi hari, bibirnya tiba-tiba sahaja mekar dengan senyuman. Fikiran terasa lapang.

Kembali ke katil Puteri seketika kemudian, Hakim melabuhkan punggung ke tilam. Dia merenung pada wajah sendu Puteri. Pada mata yang sembap akibat tangisan yang entah bila akan berhenti dan pipi serta hidung yang acap kali dikesat sehingga kemerah-merahan itu.

Malang sekali wajah Puteri tidak seceria cahaya pagi. Wajah Puteri lebih mirip senja yang muram. Dia sedar kata-kata melampau yang terlontar dari bibirnya semalam telah menambah luka di hati Puteri. Tetapi apakan daya... sudah terlanjur kata, menyesal pun tidak berguna.

Seperti dia sendiri, sisa-sisa subuh telah dihabiskan oleh Puteri dengan bersengkang mata. Cuma cara mereka menghabiskan masa itu jelas berbeza. Seperti biasa Puteri asyik meladeni kecewa di hati, manakala dia pula duduk berfikir, kemudian berfikir dan berfikir lagi. Cuba mencari jalan penyelesaian. Kesimpulannya dia tidak mampu memaksa diri untuk bermain cinta, namun dia juga tidak sanggup membiarkan kesedihan terus memakan diri Puteri. Salah seorang daripada mereka harus berubah. Harus mengalah.

Renungan mata Hakim akhirnya membuat perasaan Puteri tidak keruan. Lelaki itu tetap ranggi di matanya walaupun berkemeja putih yang sudah pun berkedut seribu dan dagu yang mulai membiru.

Dia tidak tahu bahawa Hakim tampak bertambah-tambah seksi apabila berada di dalam situasi yang kurang terurus. Memandang Hakim hatinya teruja. Alangkah indahnya kehidupan seandainya Hakim muncul di sisinya setiap kali bangun pagi!

"Lepas makan, you boleh mandi. I dah sediakan semuanya."

"Terima kasih," bisik Puteri sambil melirik segan kepada Hakim.

"Peti sejuk you dah mula kosong. Lepas ni I kena pergi shopping. You berehat."

"Tak payah, Hakim. You tak perlu bersusah payah macam tu, I..." Belum sempat Puteri menghabiskan kata-katanya, jari telunjuk Hakim singgah menekap pada dua ulas bibirnya. Terpegun Puteri. Debaran di dada tidak terkira lagi. Dia tidak berani bernafas!

"I yang sudi buat. It's no big deal," bisik Hakim. Dia melemparkan senyuman.

Semua itu membuat Puteri tertanya-tanya apa yang sudah terjadi? Kenapa Hakim begitu mesra terhadapnya? Apa yang telah menyebabkan perubahan mendadak itu? Seandainya Tengku Aida berada di tempat Puteri, adakah layanan Hakim tetap sama? Adakah Hakim juga akan bersengkang mata sampai ke pagi seperti sekarang? Melayani pertanyaan yang tiada berpenghujung itu, hati Puteri digamit sayu.

Selamat Tinggal SayangWhere stories live. Discover now