Bab 9

1.7K 17 0
                                    

"SO, is there a man in your life?"

Terpempan Puteri apabila soalan itu tiba-tiba sahaja keluar dari bibir Hakim. Di dalam suasana hening soalan itu kedengaran bergema. Jelas. Kenapa soalan begitu yang ditanya? Sangkanya Hakim tentu sahaja tidak ada masa untuk beramah mesra pada saat-saat genting begitu.

Sebaik melangkah kaki ke pejabat pagi itu, dia dikerah menaip kertas kerja setebal hampir dua inci itu dengan pesanan 'extra urgent'. Hendak menarik nafas pun rasanya tidak sempat inikan pula mahu melayan sebarang perbualan. Hakim sendiri tidak berenggang daripada telefon bimbitnya. Deringan jarang berhenti.

"Well, sekali-sekala I nak you ikut I pergi outstation. I tak nak nanti timbul masalah," jelas Hakim, berdalih apabila melihat wajah Puteri yang berkerut penuh tanda tanya.

Sesungguhnya dia teringin benar mendengar Puteri berterus terang barang sekali. Kalau jawapan 'ada' bererti Puteri bercakap benar tetapi kalau jawapan sebaliknya, jelas sekali Puteri berlakon. Siapa yang lebih tahu kebenarannya kalau bukan Hakim sendiri?

"Takkan timbul masalah," balas Puteri. Masih berusaha memberi tumpuan sepenuhnya kepada kerja yang diberikan oleh Hakim walaupun hati mula berentak cemas. Entah apa helah Hakim bertanya soalan itu.

"Maksud you... boyfriend you jenis tak kisah walaupun buah hati diusung ke seluruh pelosok dunia?" duga Hakim sambil melirik pada Puteri yang tampak tenang menghadapi skrin komputer.

Memiliki kekasih seanggun Puteri, dia memang resah dan kisah kalau kekasih outstation bersama lelaki lain, tidak kira sama ada sekali-sekala ataupun kerap kali. Hubungan sulit di antara Syed Awang dengan pembantunya yang sudah pun bersuami menjadi sempadan agar dia sentiasa beringat.

Soal kepercayaan lain cerita. Tetapi setahunya lelaki tetap lelaki walau berserban ataupun tidak.

Hakim menilai diri sebagai seorang lelaki yang agak baik, tetapi label baik itu tidak pula menegah dia daripada 'menikmati' keindahan ciptaan Ilahi. Tambahan pula Puteri semula jadi seksi tanpa perlu berusaha untuk tampil seksi.

Pokoknya, lelaki sebaik mana pun boleh terpanggil untuk menawar diri menjadi kuli kepada Puteri hanya sekadar untuk menjeling lengan putih mulus gadis itu.

"No problem," balas Puteri lagi. Dengan ekor mata, dia memerhatikan Hakim yang sedang berdiri di tepi tingkap.

"No problem, hmmm! Good," ujar Hakim. Dia tersenyum. Dia mengerti bahawa Puteri sengaja tidak mahu bercerita panjang.

Melihat senyuman panjang Hakim yang tampak sarat berisi itu, hati Puteri tergerak untuk memberi jawapan yang lebih jelas. Runsing pula perasaan sekiranya Hakim salah mentafsir. Walaupun Hakim sekadar menduga, dia tidak sepatutnya membiarkan Hakim membuat andaian bahawa dirinya sudah pun berpunya. Tiada lelaki lain di hatinya melainkan Hakim sendiri.

"Maksud I... I tak ada sesiapa. Tak ada boyfriend yang nak runsing pasal I," ujar Puteri sambil merenung galak pada Hakim.

Berfikir dan mimpikan Hakim sejak akhir-akhir itu terasa bagaikan satu keperluan. Tetapi mengharapkan Hakim memandangnya seperti Romeo merenung Juliet... memang sungguh menyeksakan kerana Hakim seolah-olah tidak pernah perasan bahawa dia juga seorang wanita. Puteri tidak ubah seperti notebook kesayangannya. Dikendong ke sana sini tetapi ditenung hanya ketika perlu. Atau Puteri sendiri yang tidak berikhtiar? Dia sepatutnya belajar melentok daripada Tengku Aida.

"Hard to believe," komen Hakim selamba lalu berpaling mencapai telefon bimbitnya dan mendail.

Matanya terpaku pada Puteri. Pandangannya menjalar perlahan dari hujung rambut ke dada yang subur mengkal sedang turun naik sehinggalah ke hujung kaki. Darah jantan terasa beriak. Seingatnya itu bukan kali pertama untuk hari itu. Entah kenapa hatinya sentiasa berkenan pada warna serta fesyen pakaian pilihan Puteri.

Selamat Tinggal SayangWhere stories live. Discover now